Shahbudin…

Mencatat Hitam Putih Malaysia

Bukan Saja Najib, Zahid Dan Hishammuddin Juga Berdebar Menanti Keputusan Permatang Pauh

Berikutan keputusan pilihanraya kecil Parlimen Rompin yang mengejutkan dan di luar jangkaan, perhatian kini tertumpu kepada Permatang Pauh pula yang mana hari pengundiannya ialah esok, 7 Mei.

UMNO dan BN mungkin sukar menjangka mereka akan menang di Permatang Pauh kerana ia memang kubu kuat Anwar Ibrahim dan PKR sejak sekian lama. Di tambah dengan faktor simpati kerana Anwar kini berada di penjara, Dr Wan Azizah dilihat tidak ada masalah besar untuk mengekalkan kerusi tersebut.
Dengan wujudnya sedikit masalah antara PKR dengan PKR, yang menjadi isu hanyalah majoriti kemenangan saja.
Harapan yang rasional bagi UMNO dan BN di Permatang Pauh ialah sama ada dapat menambah jumlah undi, mengurangkan majoriti kemenangan atau menurunkan undi yang diperolehi  PKR. 
Berdasarkan keputusan pilihanraya 2013, PKR menang di kerusi itu dengan majoriti 11,721 di mana Anwar meraih 37,090 undi, manakala calon BN, Dr Mazlan Ismail mendapat 25,369 undi. Jika calon BN kali ini, Suhaimi Shabudin yang disokong oleh jentera dan kewangan daripada seluruh negara, kejayaan dapat mencapai salah satu daripada harapan itu, ia tentu saja sudah dianggap memadai.
Sebab itu, jika diimbas daripada penetapan tarikh pilihanraya Permatang Pauh ini, ia diadakan dua hari lebih lewat berbanding Rompin sedangkan kekosongannya sudah diwartakan lebih awal lagi.
Pewartaan kekosongan kerusi Permatang Pauh ialah pada 16 Mac manakala nahas helikopter yang melibatkah kematian Jamaluddin Jarjis pula berlaku pada 4 April.
Secara logik dan kebiasaan, tentunya pilihanraya Permatang Pauh perlu diadakan lebih dahulu berbanding Rompin. Tetapi oleh kerana Rompin dianggap kubu kuat BN serta tiada masalah untuk mencapai kemenangan yang besar dan gelombang kemenangannya pula mahu dialirkan untuk mempengaruhi pengundi di Permatang Pauh, maka itulah sebabnya ia diadakan lebih awal.
Namun semua perancangan nampaknya tidak menjadi. Rompin bukan saja tidak menjanjikan kemenangan lebih besar, bahkan majoriti BN jauh merosot. Daripada majoriti 15,114 pada 2013, kini jumlahnya hanyalah 8,895 undi saja.
Meskipun undi Pas tidak banyak berbeza, tetapi undi BN mengalami penurunan yang ketara. Daripada 30,040 pada 2013, yang dicapai oleh Jamaluddin Jarjis, yang mengundi BN kali ini melalui calonnya, Hasan Ariffin hanyalah 23,796 undi saja.
Kenapa pengundi BN tidak turun mengundi sedangkan berduyun-duyun pemimpin berkampung di Rompin dan melawat rumah ke rumah sambil membawa buah tangan dan peruntukan?
Tidakkah ini bermakna ada protes di Rompin? Melihat pelbagai masalah dan caca-marba dalam pengurusan negara, beban GST, isu Felda, kos hidup, kenaikan harga barang, hutang negara dan sebagainya, tidak dinafikan pengundi mengambil sikap protes dengan tidak turun mengundi kerana mereka belum tergamak untuk mengalih undi kepada Pas.
Mesejnya ialah pengundi tidak gembira dengan karenah semasa pemimpin, tidak puas hati kepada parti dan kerajaan tetapi belum sampai ke peringkat beralih kiblat perjuangan.
Jika undi protes ini kekal atau makin membesar dalam dua atau tiga tahun lagi, sudah tentu ia boleh membawa mudarat kepada UMNO dan BN. Itu baru di Rompin, bagaimana pula di kawasan-kawasan lain?
Hakikatnya keputusan di Rompin bukan saja memberi impak kepada UMNO dan BN, malah juga kepada Najib dan bakal penggantinya. Walaupun Muhyiddin mengetuai jentera kempen kedua-dua kawasan tetapi tugas khusus diberikan kepada Hishammuddin di Rompin dan Zahid Hamidi di Permatang Pauh.
Jika di Rompin menang dengan undi lebih besar, bukan saja nama Najib akan melonjak, bahkan Hishammuddin yang sedang dipersiapkan sebagai pengganti masa depan juga akan mendapat pujian dan sanjungan sama. Tetapi oleh kerana  majoriti menurun dan jumlah undi juga berkurangan, Najib dilihat sebagai pemimpin yang gagal dan Hishammuddin pula tidak diyakini sebagai pengganti.
Di Permatang Pauh, giliran Najib dan Zahid Hamidi pula cemas menanti. Jika BN mencapai keputusan lebih buruk, sama seperti di Rompin, ia adalah petanda kiamat kedua bagi Najib. Ia adalah gambaran yang semakin jelas penolakan rakyat terhadap kepimpinan Najib dan ini akan membuatkan Tun Mahathir lebih agresif memaksanya berundur. Zahid Hamidi juga tidak mendapat apa-apa markah tambahan daripada keputusan itu.
Tetapi jika majoriti kemenangan PKR dapat dikurangkan, undi BN bertambah atau undi Dr Wan Azizah berkurangan, sementara Najib mungkin mendapat sedikit nafas kelegaan, ia pula akan menyebabkan nama Zahid Hamidi lebih menonjol berbanding Hishammuddin.
Menonjolnya nama Zahid Hamidi ini bukan saja merimaskan Najib kerana mengganggu perancangannya menentukan pengganti Perdana Menteri, bahkan mungkin menjadi sesuatu yang menyakitkan hati Hishammuddin.
Sehingga keputusan Permatang Pauh diketahui malam esok, Najib, Zahid Hamidi dan Hishammuddin akan terus berdebar-debar menantinya. Muhyiddin agak terselamat dalam pertembungan ini, sama ada BN menang di Rompin atau kalah di Permatang Pauh, namanya mendatar saja kerana kedudukannya lebih  bergantung kepada sejauh mana Najib berjaya diundurkan oleh Tun Mahathir atau sebaliknya. 
Tetapi berkurangnya majoriti di Rompin dan jika kalah lebih buruk di Permatang Pauh, ia adalah petanda rahmat makin dekat buat Muhyiddin. (SH 06/05/2015)
0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

4 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
4
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x