Viagra Palsu Daripada Haji Hadi

Selepas mendakwa disokong oleh Ahli-Ahli MT UMNO pada Isnin lalu, Perdana Menteri Najib Razak mendapat khabar yang mungkin paling menggembirakannya selepas itu apabila Presiden Pas, Haji Hadi Awang memberi sokongan kepadanya untuk terus kekal sehingga PRU akan datang.

Berdepan serangan berterusan daripada Tun Mahathir Mohamad yang mahukannya segera berundur untuk mengelakkan BN hilang kuasa, sokongan yang diterima  Najib daripada MT UMNO dan disusuli oleh Haji Hadi pula kemudiannya,  ia adalah umpama “lelaki murung yang tiba-tiba mendapat sekotak viagra”.
Tidak saja wajah bertukar ceria, semangat juga jadi membara kerananya.
Kata Haji Hadi, Najib perlu meneruskan khidmatnya sebagai Perdana Menteri sehingga PRU 14 diadakan kerana beliau dipilih melalui sistem yang adil dan tidak harus tunduk kepada tekanan mana-mana pihak yang memintanya berundur.
Beliau harus diberi peluang menyelesaikan masalah yang dihadapinya, tambah beliau lagi.
Walaupun pandangan Haji Hadi ini seharusnya diragui kerana ia jelas bertujuan agar memudahkan PR menumbangkan BN dalam pilihanraya akan datang berikutan Najib secara realitinya terlalu banyak masalah dan isu yang melingkarinya, tetapi berita ini mungkin membuatkan hatinya lebih berbunga-bunga kegembiraan.
Ia menambah satu lagi alasan untuk Najib terus berdegil tidak mahu berundur dan meletakkan jawatan kerana beliau tentunya juga melihat kapasiti Haji Hadi sebagai Timbalan Presiden Kesatuan Ulama Sedunia yang diketuai oleh Yusof Qardawi.
Tentunya geng penasihat akan turut berhujah, “Pemimpin nombor dua ulama sedunia pun dah sokong boss kami.”
Secara tidak langsung, mungkin Najib turut menjadi lebih gagah untuk terus berhadapan dengan serangan dan kritikan daripada bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad kerana kini beliau bukan saja disokong pemimpin sebuah parti Islam dalam negara tetapi juga tokoh penting kesatuan ulama sedunia.
Sokongan Haji Hadi ini walaupun tidak sukar difahami maksud tersiratnya dan hanyalah sokongan palsu umpama pengibar poster kecil bertulis “I Love PM” yang dibayar untuk berbuat demikian, namun tidak dinafikan itulah yang disukai oleh Najib sebenarnya.
Dalam banyak situasi, Najib hanya mahu memperlihatkan sokongan di permukaan sentiasa memihak kepadanya dan tidak memperdulikan apa yang berlaku sebenarnya. Lihat saja dalam segala macam program transformasi, pertumbuhan ekonomi, defisit, kadar pengangguran dan sebagainya, semua angka yang dibentangkan adalah cantik dan indah belaka tetapi kehidupan sebenar rakyat jelas tidak berbeza apa pun secara nyatanya.
Hadirnya sokongan Pas kepada Najib untuk terus kekal sebagai Perdana Menteri ini barangkali juga menyamai seperti apa yang berlaku sebelum kejatuhan Tun Abdullah dahulu. Ketika Tun Abdullah sedang diasak dahulu, Pas juga tidak setuju beliau meletakkan jawatannya.
Sebagaimana “kekuatan palsu” daripada menelan viagra, sokongan Haji Hadi ini juga tidak mungkin mampu memberi tenaga yang berpanjangan kepada Najib untuk mengekalkan kedudukannya.
Oleh yang demikian, ramai yang melihat sokongan Haji Hadi ini, selain ada udang di sebalik batu agar BN lebih mudah ditumbangkan, ia juga memperlihatkan ciri-ciri yang semakin dekat Najib bakal menghampiri sejarah yang pernah dilakui oleh Tun Abdullah dahulu.
Selain dahulu dipertahankan Pas, Tun Abdullah juga menyatakan beliau tidak akan meletakkan jawatan, kini Najib turut mengatakan tidak akan berundur dan menyerah kalah.
Dulu MT UMNO memberi sokongan penuh kepada Tun Abdullah, kini sokongan yang sama juga diberikan kepada Najib.
Sebagai menyerang balas Tun Mahathir, TV3 dan media arus perdana ketika itu banyak membangkitkan soal kekayaan dan perniagaan anak-anaknya, kini stesen tv yang sama juga mengulanginya dengan menjadikan Tunku Aziz, bekas pemimpin DAP dan Zamil Ibrahim sebagai jurucakap tetapnya untuk bercakap mengenai perkara yang sama.
Sama ada Perdana Menteri dan para penasihatnya sedar atau tidak, mengutip orang luar untuk menyerang bekas Perdana Menteri daripada UMNO bukanlah budaya yang boleh diterima oleh majoriti ahli dan penyokong UMNO dan perbuatan TV3 ini hanyalah seperti mendalamkan lagi “tempat persemadian” untuk beliau dalam pilihanraya nanti.
Simptom penyakit Tun Abdullah dulu sudah mula menjangkiti Najib dan mungkin “cara mati” antara mereka saja yang bakal berbeza. ( SH 13/05/2015 )
Updated: 26 March 2019 — 1:33 pm

7 Comments

Add a Comment
  1. TV3 dah jadi bakul sampah yg mengutip bahan2 terbuang dan sudah tidak boleh di gunakan lagi sejak akhir2 ini.semua di kutip dan di longgok untuk di jadikan bahan untuk menyemarakan kebakaran kecil.

  2. Najib + Hadi = bangang! Sori org pas.. Tp. Itu la hakikatnya

    1. Aku ahli PAS pun amat getik dgn perlakuan Hadi Awang dan puak UG dlm PAS itu. Mereka inilah yg telah mencemarkan nama PAS. Nak berkerjasama dgn UMNO tapi masih menenggek dlm PR.

  3. Sokongan Hj Hadi ibarat sokong membawa rebah.

  4. Sokongan yang diberi oleh Hadi bukan sebarang sokong sokong yang meminta balsan bukan Hadi akan bawa usul bahkan telah pun dimajukan usul tersebut untuk dibahaskan dalam persidangan dewan pada bulan mei ini,jadi Njib mestilah arahkan para perwakilan UMNO menyokong usul tersebut jika tidak Hadi akan dicemuh lagi oleh para penyokong yang tidak sehaluan dengan presiden,tapi kita boleh ramalkan najib akan permainkan saj usul yang bakan dibentangkan itu. Kita tunggu dan lihat.

  5. HADI MEMBERI SOKONGAN BEGITU SBB DIDALAM PAS DIA PUN TAK MAHU LETAK JAWATAN WALAUPUN ADA DESAKKAN UTK HADI LETAK JAWTAN. KONON MASIH DAPAT SOKONGAN SEDANGKAN PRESTASI JAWTANNYA SEBAGAI PRESIDEN BEGITU MERUDUM SEKALI.

    1. Saya tak fikir begitu anon 0530. Permintaannya konsisten dengan apa yang berlaku kepada TSKI. TGHH meminta TSKI tidak dilucutkan jawatannya sehingga habis tempoh.

      UMNO ni sebenarnya silap dari awal lagi tetapi masing-masing cover each others. Bila "kepelest" baru tembelang terbuka satu demi satu seperti yang disebut oleh X MB Terengganu tu.

Leave a Reply

Your email address will not be published.