Sepanjang perjalanan karier politiknya selama ini sehingga berjaya menduduki kerusi Perdana Menteri pada 2009, Najib Razak sentiasa dibentangkan “karpet merah” untuk memudahkan laluannya. Dalam UMNO, beliau hanya pernah bertanding bagi jawatan yang memerlukan lebih dari seorang pemenang, tetapi tidak pernah merasai persaingan bagi jawatan yang menghendaki seorang pemenang.
Jawatan Ketua Pemuda, Timbalan Presiden dan Presiden UMNO, semuanya dimenangi secara percuma dan tanpa pertandingan. Sebaliknya jawatan Exco Pemuda yang ditandinginya buat pertama kali pada 1979 dan Naib Presiden UMNO yang mula ditandinginya pada tahun 1993, adalah jawatan yang memerlukan lebih daripada seorang pemenang.
Di peringkat UMNO bahagian Pekan pula, oleh kerana sejak awal sudah diberikan jawatan dalam kerajaan, Najib juga tidak pernah dilawan oleh sesiapa.
Dalam ertikata lain, Najib tidak pernah mengalami persaingan sebenar dalam merebut jawatan. Beliau hanya pernah bersaing dalam perebutan jawatan yang memerlukan ramai pemenang, manakala untuk jawatan yang memerlukan pemenang tunggal iaitu Ketua Pemuda, Timbalan Presiden dan Presiden UMNO, semuanya dikecapinya dengan percuma.
Sebab itu, ramai yang mengatakan Najib bukanlah pemimpin yang benar-benar telah diuji dan teruji kemampuannya. Sejarah dan latar belakang keluarganya adalah saham terbesar yang membolehkannya mencapai apa yang dinikmatinya sekarang.
Tetapi dengan serangan dan kritikan daripada Tun Mahathir terhadapnya, Najib bagaikan baru merasai perlawanan sebenar dalam karier politiknya. Perlawanan inilah yang akan menentukan hidup mati dalam kerjayanya.
Kali ini juga tiada lagi karpet merah di laluannya. Bahkan Tun Mahathir yang selama ini berusaha membantu pendakian kerjayanya kerana ingin membalas budi Tun Razak, adalah juga orang yang menaburkan paku dan kerikil tajam agar Najib segera kecundang dan tersembam di tengah jalan.
Semuanya kerana Tun Mahathir tidak dapat menerima lagi kepimpinan anak Tun Razak itu yang disifatkannya terlalu banyak skandal dan lebih mungkin menyebabkan kekalahan BN dalam pilihanraya akan datang.
Isu 1MDB, Jho Low, Altantuya, Sirul, pemborosan serta pembaziran Rosmah, peningkatan hutang, lemah dalam menjaga hubungan kaum, tunduk kepada tuntutan pembangkang, mengalah dengan negara jiran dan banyak lagi faktor adalah antara sebab penolakan bekas Perdana Menteri selama 22 tahun itu terhadap Najib.
Bahkan dalam isu 1MDB yang menanggung hutang sebanyak RM42 bilion dan sebahagiannya lagi didakwa lesap tanpa dapat dikesan, Tun Mahathir secara terbuka mengatakan tidak dapat memaafkan perbuatan Najib itu.
Tun Mahathir sekarang ini mahu menamatkan segera karier Najib dan enggan memberinya peluang sehingga pilihanraya akan datang.
Tidak dinafikan dengan serangan Tun Mahathir kian agresif dan sudah beberapa kali mengulangi perlunya beliau meletakkan jawatan untuk menyelamatkan masa depan UMNO dan BN, ia adalah cabaran terbesar bagi Najib sepanjang kariernya.
Adakah Najib mampu menghadapi cabaran ini? Atau beliau bakal kecuncang sama seperti musuh-musuh politik Tun Mahathir yang lain?
Melihat kepada apa yang berlaku sekarang, ternampak jelas bahawa Tun Mahathir tidak sekali-kali akan mengalah, bahkan dipercayai akan terus mengasak Najib lagi.
Najib juga setakat ini tidak menunjukkan tanda-tanda mahu mengalah. Walaupun banyak berdiam dan tidak mampu menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh Tun Mahathir, beliau mulai main sindir-sindir dan berkias dengan mengatakan tidak pernah keseorangan serta melabelkan bekas Perdana Menteri itu sebagai “orang tua” yang perlu memahami orang muda.
Ramai pula yang percaya, berdasarkan riak wajah dan keyakinan yang dipamerkan oleh Tun Mahathir, beliau seolah-olah ada “kad akhir” yang akan ditunjukkannya nanti bagi memaksa Najib berundur.
Tun Mahathir, kata ramai pemimpin UMNO, tidak akan memulakan serangan dan mengajak sesiapa berlawan jika beliau tidak yakin akan memenanginya. Oleh itu, ramai menunggu episod-episod seterusnya untuk mengetahui siapa menang dan siapa kalah dalam pertarungan antara Tun Mahathir dengan Najib ini.
Jika mampu bertahan dan berjaya mengelak disingkir, Najib bakal menjadi satu-satunya pemimpin UMNO yang mampu menewaskan bekas Perdana Menteri itu. Jika tewas pula, beliau akan menambah-panjangkan lagi senarai mereka yang kecundang dengan Musa Hitam, Tengku Razaleigh, Anwar Ibrahim dan Tun Abdullah sebelum ini telah pun berjaya ditewaskan oleh Tun Mahathir. (SH 27/04/2015)