Shahbudin…

Mencatat Hitam Putih Malaysia

Musim Orang Lama Dikehendaki Semula

UMNO akhirnya menamakan Hasan Ariffin sebagai calon BN bagi pilihanraya kecil Parlimen Rompin yang akan diadakan pada 5 Mei depan. 
Hasan yang kini Pemangku Ketua UMNO Bahagian Rompin adalah bekas Adun Bukit Ibam selama tiga penggal dan pernah menjadi Exco Kerajaan Negeri serta Timbalan Menteri Besar Pahang sebelum ini.
Berusia 62 tahun, pernah menjadi Adun dan memegang beberapa jawatan di peringkat kerajaan negeri, pemilihan beliau sebagai calon pilihanraya kecil Rompin boleh dianggap mengejutkan kerana kriterianya adalah “kitar semula”.
Apakah ini menggambarkan UMNO sudah ketandusan calon-calon muda yang berkelayakan atau sudah lupa kepada proses peremajaannya?
Namun demikian, sebagaimana yang banyak dilaporkan di media, pemilihan Hasan dikatakan kerana beliau adalah pilihan penduduk setempat serta diyakini lebih mudah mencipta kemenangan berbanding nama-nama yang lain.
Sekali lagi timbul persoalan, apakah UMNO kini sedang berada di persimpangan di mana pemimpin lama dan veteran lebih menjadi pilihan berbanding orang muda?
Terpilihnya Hasan sebagai calon di Rompin seperti senada dengan kemelut politik yang sedang berlaku di peringkat Pusat sekarang ini. Di ketika nama Najib Razak semakin ditolak daripada kerusi Perdana Menteri yang sedang didudukinya, nama tokoh veteran Tengku Razaleigh Hamzah dilihat semakin menonjol sebagai tokoh yang paling layak menggantikannya.
Bekas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Zaid Ibrahim misalnya sudah dua kali mencadangkan agar veteran UMNO berusia 78 tahun yang lebih dikenali sebagai Ku Li itu diambil untuk menggantikan tempat Najib.
Kali pertama, Zaid Ibrahim mencadangkan nama Ku Li kepada Tun Mahathir yang sedang gigih mengasak untuk menyingkirkan Najib kerana berpendapat Ahli Parlimen Gua Musang itu adalah pilihan terbaik sebagai Perdana Menteri bagi menyelamatkan negara dan memulihkan ekonomi berdasarkan pengalaman dan ketokohannya
Kali kedua pula, beliau mencadangkan agar Mahathir membentuk pasukan bersama Ku Li dan Anwar Ibrahim untuk menyingkirkan Najib.
Sementara itu ada juga laporan yang menyebut Tun Mahathir sudah pun mengadakan pertemuan dengan Ku Li sebelum sembahyang Jumaat semalam selama kira-kira sejam. 
Sebelum ini pula, Ku Li juga dikatakan sudah ditemui oleh banyak pihak lain sama ada daripada UMNO, Pas, PKR, DAP dan sebagainya untuk memintanya bersama-sama menyelamatkan negara ini.
Pada asasnya Ku Li difahamkan mendengar dengan baik dan teliti semua cadangan yang diterimanya, termasuk daripada Tun Mahathir dan menyatakan kesediaan memberikan apa saja sumbangan dan tenaga demi kepentingan dan masa depan negara ini.
Setelah “orang lama” terlilih sebagai calon untuk menjamin kemenangan di Rompin, adakah bakal pengganti Najib yang lebih diyakini untuk menyelamatkan Malaysia juga terdiri daripada kategori yang sama?
Dengan pemimpin muda sering digambarkan sebagai gelojoh, rakus, tidak matang dan kurang kemampuan, mungkin ada baiknya tokoh lama tetapi berpengalaman dan berintergriti seperti Ku Li pula dijadikan pilihan.
Dalam konteks ini, Tun Mahathir yang sedang berusaha menyelamatkan negara ketika ini juga sudah berusia hampir 90 tahun tetapi peranannya tetap diterima dengan baik oleh semua lapisan rakyat, tak kira tua ataupun muda.
Mungkinkah akhirnya gandingan “orang lama”  iaitu Tun Mahathir – Ku Li juga yang bakal menjadi kenyataan? (SH 18/04/2015)
0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

9 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
9
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x