Apa yang ditunggu-tunggu oleh semua orang sekarang ialah respon dan jawapan daripada Perdana Menteri, Najib Razak terhadap serangan bertali arus yang kian hari kian keras yang dilontarkan oleh Tun Mahathir Mohamad kepadanya.
Secara normal dan manusiawinya, Najib tidak boleh lagi sekadar berdiam diri dan mengunci mulutnya terhadap semua perkara yang dibangkitkan oleh Mahathir kerana isu-isu yang dibangkitkan itu memang ditujukan kepada dirinya.
Berbanding sebelum ini di mana bekas Perdana Menteri itu hanya membangkitkan isu-isu berkaitan kelemahan kepimpinan, ekonomi, hubungan kaum dan lain-lain, tetapi akhir-akhir ini jelas sekali serangan itu ditujukan betul-betul tepat ditujukan ke dahi Najib.
Dalam tulisan di blognya beberapa minggu sebelum ini, Mahathir membangkitkan mengenai anak tiri Najib, Riza Aziz yang diragui kekayaannya sehingga mampu menerbitkan filem di Hollywood dan membeli unit kondo mewah di New York.
Beliau juga mahu tahu sama ada kekayaan itu ada kaitan dengan 1MDB kerana Jho Low yang merupakan kenalan rapat Riza Aziz, sering dikaitkan dengan pelaburan syarikat yang menjadi anak emas kepada Najib itu.
Dalam serangan terbarunya semalam pula, Tun Mahathir tidak saja membangkitkan mengenai hutang 1MDB, bahkan juga menyentuh beberapa aspek lain yan berkaitan secara langsung dengan Najib seperti siapa yang mengarahkan Sirul membunuh Altantuya dan pembelian jet yang turut digunakan oleh “Datin Seri”.
Beliau juga mengatakan oleh kerana Perdana Menteri sudah terlalu banyak kelemahan dan ditolak oleh semua kaum, maka BN tidak mungkin menang dalam pilihanraya akan datang.
Menelusuri semua perkara yang dibangkitkan oleh Mahathir sejak akhir-akhir ini, ia nyata sudah melewati aspek kelemahan Najib sebagai pemimpin dan Perdana Menteri semata-mata. Sasaran kini lebih mengenai maruah diri dan keluarga Najib yang dipertikai, diragui dan mahu beliau menjelaskannya kepada umum.
Kekayaan Riza yang dipertikaikan dan dikaitkan dengan Jho Low dan 1MDB adalah maruah Najib. Kecelaruan hutang, keraguan pelaburan dan kehilangan wang 1MDB yang dikaitkan dengan kekayaan keluarganya juga adalah maruah Najib. Pertanyaan tentang Sirul juga berkaitan maruah Najib dan penggunaan jet yang turun digunakan oleh “Datin Seri” juga adalah tentang maruah Najib.
Oleh kerana terlalu banyak isu yang dipersoalkan itu adalah berkaitan maruah diri dan keluarganya, benarkah kekayaannya diperolehi dengan cara yang betul, bersihkah dirinya daripada kaitan pembunuhan Altantuya dan sejauh mana penyalagunaan jet untuk isterinya, maka tiada orang lain yang berhak menjawabnya selain Najib sendiri.
Tengku Adnan tidak layak menjawab, Jamaluddin Jarjis yang menjadi panglima Najib juga tidak layak menjawabnya. Jauh tidak layak menjawabnya ialah Dr Fuad Zarkashi yang hanya makan gaji sebagai Ketua Pengarah Jasa setelah kalah dalam pilihanraya lalu.
Najib tiada pilihan selain menjawab, menafikan dengan bukti-butki atau membenarkan siasatan dijalankan secara adil dan menyeluruh terhadap semua keraguan yang dibangkitkan oleh Tun Mahathir itu. Berdiam diri bukan lagi pilihan pada ketika ini kerana yang dibangkitkan oleh Tun Mahathir ialah berkenaan maruah diri dan keluarganya.
Kadang-kadang orang bertanya, di mana maruah Najib dalam mempertahankan diri, isteri dan keluarganya jika sering memilih berdiam diri saja?
Jika hal yang tepat berkaitan diri dan maruah keluarganya pun tidak mampu dipertahankan, bagaimanakah rakyat mahu yakin beliau mampu mempertahankan agenda parti, bangsa dan negara?
Hanya Najib yang sesuai dan selayaknya memberikan jawapan terhadap serangan Mahathir ini, bahkan itulah juga yang disarankan Tengku Razaleigh Hamzah kepadanya.
Sekarang adalah masa untuk Najib menjawab dan melawan balik semua serangan Mahathir. Selagi berdiam diri, selagi itulah beliau akan dianggap pemimpin yang lemah dan tidak bermaya. Mengumpulkan kekuatan 154 Ketua UMNO Bahagian dan sokongan daripada semua komponen BN tidak bermakna apa-apa jika tidak mampu berhadapan dengan Tun Mahathir yang hanya seorang diri.
Lagi pula, jika betul Najib berada di pihak yang benar dan tiada sekecil hama pun yang mahu disembunyikan, apalah yang susah sangat menjawab isu-isu yang dibangkitkan oleh Mahathir itu? (SH 03/04/2015)