Shahbudin…

Mencatat Hitam Putih Malaysia

Ehem, Ehem…Pak Lah Pun Dah Muncul Sokong Najib!!

Semalam Najib Razak muncul di televisyen untuk menjawab pelbagai serangan dan kritikan yang dilemparkan terhadap kepimpinannya, terutama oleh bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad.

Antara topik yang disentuh Perdana Menteri semalam ialah berkenaan pembunuhan Altantuya di mana beliau menafikan mengenali atau pernah berjumpa dengan wanita Mongolia itu dan perkara itu, tambah Najib, turut disahkan hasil siasatan pihak polis.
Najib juga mengatakan beliau sudah tiga kali bersumpah mengenainya, termasuk sekali di sebuah masjid di Permatang Pauh.
Sejak isu Altantuya diperkatakan semula berikutan salah seorang pesalah yang disabitkan dengan kes itu dan sudah pun dijatuhkan hukuman mati, Sirul Azhar Umar melarikan diri ke Australia, ramai yang mengatakan Tun Abdullah atau Pak Lah mungkin mengetahui banyak perkara mengenai kes itu kerana beliau adalah Perdana Menteri ketika itu.
Hanya beberapa jam selepas kemunculan Najib di televisyen, Pak Lah akhirnya muncul dan terus membersihkan nama Najib daripada kaitannya dengan Altantuya.
Menurut Pak Lah, beliau dimaklumkan oleh pihak polis berhubung kejadian yang berlaku pada 2006 itu dan disahkan Najib tidak ada kaitan sama sekali dengannya.
Jawapan Pak Lah dan Najib nampaknya sama dan senada. Najib menafikan beliau terlibat dalam pembunuhan itu dan mengambil hasil siasatan polis untuk menguatkan hujahnya, malah bersumpah tidak pernah berjumpa atau mengenali wanita itu. 
Pak Lah juga menafikan kaitan Najib dengan pembunuhan Altantuya berdasarkan pemakluman polis kepadanya.
Tetapi persoalan yang dibangkitkan Tun Mahathir dalam isu ini cuma mahu tahu siapa yang mengarahkan Sirul melakukan pembunuhan itu kerana anggota polis itu hanyalah pegawai rendah yang patuh pada arahan ketuanya.
Menurut Tun Mahathir, tentulah tidak adil dan kejam jika Sirul dihukum mati sedangkan tindakannya hanyalah berdasarkan kepatuhan kepada arahan semata-mata.
Tidak pernah Tun Mahathir menuduh atau melibatkan Najib dalam pembunuhan itu. Beliau hanya mempersoalkan siapa yang memberi arahan saja.
Boleh jadi yang memberi arahan itu adalah ketuanya dalam pasukan yang mengawal keselamatan Najib ketika itu atau orang lain yang kita tidak ketahui. Tetapi jika ketuanya itu pun yang memberi arahan, belum tentu juga ia boleh dikaitkan dengan Najib.
Mungkin seseorang lain yang rapat dengan Najib turut boleh memberi arahan juga. 
Inilah yang ingin diketahui oleh Tun Mahathir kerana katanya, ini adalah soal nyawa dan keadilan kepada Sirul.
Selain Najib dan Pak Lah nampaknya sama-sama tidak faham atau sengaja tak mahu faham apa yang dibangkitkan Mahathir, kemunculan semula Pak Lah selepas lama berdiam diri kembali menarik perhatian ramai.
Semua orang tahu Pak Lah diturunkan daripada jawatannya kerana desakan kuat yang dilakukan oleh Tun Mahathir berikutan “gejala budak-budak tingkat 4” yang berleluasa ketika kepimpinannya yang kemudian diikuti dengan keputusan buruk dalam pilihanraya 2008.
Setelah sekian lama berdiam diri, apakah Pak Lah sudah terjaga sekarang semata-mata untuk membela Najib? Adakah beliau akan lebih kerap bersuara mempertahankan Najib selepas ini untuk menebus semula dendam lamanya terhadap Tun Mahathir?
Najib mungkin gembira dengan sokongan dan kehadiran Pak Lah ini tetapi Tun Mahathir pula, lagi ditekan dan diasak, beliau selalunya lebih kreatif dan luar biasa.
Atau mungkinkan terjunnya Pak Lah secara tiba-tiba dalam pertembungan ini semata-mata untuk mengukuhkan lagi kedudukan menantunya, KJ dalam UMNO? (SH 11/04/2015).
0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

21 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
21
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x