Semalam, hari Khamis 12 Mac, jam 5.00 petang, saya berkesempatan bertemu dengan bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad di pejabatnya di tingkat 86, Menara KLCC.
Sebagai penulis, saya mengambil peluang itu untuk bertanya beberapa perkara dan mendengar sendiri penjelasan daripada Mahathir mengenai pelbagai isu yang sedang berlaku dalam negara ketika ini.
Antaranya ialah mengenai kepimpinan Perdana Menteri, Najib Razak, isu-isu berkaitan isterinya Rosmah Mansor, 1MDB, masa depan UMNO, peluang BN dalam pilihanraya akan datang, mengenai Muhyiddin, Zahid Hamidi, Hishammuddin Hussein dan berbagai lagi.
Secara umumnya dalam pertemuan hampir sejam itu, Mahathir tetap kritikal dan berterus-terang dalam semua jawapan yang diberikannya. Sebagaimana yang biasa kita melihatnya sama ada ada ketika memberikan ucapan di majlis-majlis tertentu atau di televisyen, Mahathir tetap menampilkan wataknya yang asli dan tidak berpura-pura dalam memberikan jawapan.
Semua soalan yang ditanya akan dijawabnya dengan terus-terang, disertai hujah-hujah yang meyakinkan dan mudah diterima logik akal.
Sudah tentu tidak semua “mutiara-mutiara” yang keluar daripada mulut Mahathir dalam pertemuan itu dapat didedahkan kepada umum atau dikongsi dalam blog ini kerana ada sebahagiannya mungkin belum sesuai dengan waktu dan ketikanya lagi untuk dikongsi secara terbuka.
Yang tidak dapat didedahkan itu akan terus disimpan dalam hati dan amat berguna sebagai pedoman masa depan, terutama kepada saya yang terlibat secara langsung dalam penulisan berkaitan politik dan isu-isu semasa.
Tetapi dalam bahasa yang mudah, Mahathir tetap tidak bersetuju dan kekal dengan pendiriannya tidak lagi menyokong Najib sebagai Perdana Menteri.
Beliau tidak saja menganggap Najib sebagai pemimpin yang lemah dan lebih mungkin membawa BN kalah dalam pilihanraya umum akan datang, bahkan menyelar banyak tindakan Perdana Menteri menggunakan wang kerajaan untuk kegunaan parti yang dianggapnya sebagai perbuatan yang salah dan tidak boleh diterima sama-sekali.
Mahathir juga melihat isu mengenai 1MDB yang masih berlarutan dan hal-hal berkaitan Rosmah Mansor akan terus menjadi aspek yang akan menyebabkan rakyat menolak BN dan kerajaan dalam pilihanraya umum akan datang kerana ia sudah sampai ke peringkat yang tidak boleh diterima umum lagi.
Pandangan kritikal Mahathir hampir tidak berbeza dengan apa yang ditulisnya dalam dalam blog Chedet hari ini yang mengkritik kekayaan keluarga Perdana Menteri dan serangannya yang lebih keras dalam isu-isu berkaitan 1MDB.
Oleh itu, berdasarkan pertemuan saya dengan Mahathir selama hampir sejam petang semalam, saya melihat apa yang ditulis oleh bekas Perdana Menteri itu dalam blognya hari ini adalah cetusan naluri dan pendirian sebenarnya yang kekal tidak menyokong kepimpinan Najib.
Dalam pada itu, memandangkan banyak perkara yang disentuh oleh Mahathir dalam pertemuan petang semalam adalah selari dengan objektif buku baru yang bakal saya terbitkan tidak lagi, saya juga bercadang untuk memuatkannya dalam buku tersebut bagi memantapkan lagi kandungan serta pengisiannya.
Jadi, bersabarlah menunggu buku baru itu nanti. ( SH 13/03/2015 )
Saya bergambar kenang-kenangan dengan Mahathir…