Dalam isu hudud yang semakin berlarutan sekarang, apa yang paling ditunggu-tunggu ialah reaksi Perdana Menteri, Najib Razak dan Presiden Pas, Haji Hadi Awang mengenainya.
Najib, sebagaimana yang dinyatakan oleh Setiausaha Agung BN, Tengku Adnan Tengku Mansor, akan mengeluarkan kenyataan yang merupakan pendirian rasmi BN dan kerajaan berhubung isu hudud selewat-lewatnya pada hari Selasa.
Tetapi sehingga hari ini iaitu Rabu, masih belum ada apa-apa kenyataan yang dikeluarkan oleh Najib. Keadaan ini membuatkan Lim Kit Siang mengingatkan Najib agar segera menyatakan pendiriannya.
Ada kemungkinan Najib akan mengeluarkan kenyataan pada hari Jumaat ini selepas mesyuarat kabinet atau sehingga semua kenduri perkahwinan anak perempuannya selesai hujung Mac ini.
Pendirian Haji Hadi pula amat ditunggu selepas DAP semalam mengeluarkan kenyataan memutuskan hubungan dengannya kerana sudah hilang kepercayaan terhadapnya, tetapi dalam masa yang sama mahu terus kekal dalam PR.
Ia memberi erti bahawa DAP hanya bermasalah dengan Haji Hadi dan bukannya dengan Pas.
Selepas DAP menyatakan pendirian itu, Haji Hadi terus mendiamkan diri daripada sorotan media dan hanya pemimpin-pemimpin Pas yang lain saja mengeluarkan kenyataan mempertahankannya atau menyerang balas DAP.
Yang ingin diketahui ialah apakah Haji Hadi akan kekal dengan pendiriannya mengenai hudud, terutama berkaitan pembentangan usul persendirian atau akan mengendurkan dirinya selepas ini.
Berikutan pendirian DAP itu, turut ingin diketahui ialah apakah Haji Hadi akan mempertahankan jawatannya dalam pemilihan Pas Mei ini atau mengundur diri bagi memberi ruang lebih selesa kepada Pas untuk terus berada dalam PR bagi menghadapi pilihanraya umum akan datang.
Sementara menunggu kedua-dua pemimpin tersebut tampil dengan reaksinya atau mungkin terus berdiam diri, renungilah kenyataan di bawah yang pernah dikeluarkan mereka berkaitan hudud sebelum ini.
Ia mungkin berguna untuk lebih memahami isu hudud ini dan bagaimana pengakhirannya nanti. (SH 25/03/2015).
Tiada hudud di Malaysia, kata Najib…
Haji Hadi juga pernah menyatakan hudud belum sesuai selagi ada masalah pengangguran…