Shahbudin…

Mencatat Hitam Putih Malaysia

Tangguh Saja, Usul Persendirian Jadikan Pas Akhirnya Sendirian

Usul persendirian Pas mengenai hudud di Parlimen benar-benar menjadikan parti itu bersendirian akhirnya. Setelah DAP secara terbuka menyatakan tidak akan menyokongnya, PKR pula semalam turut menyatakan pendirian yang sama.
Bagi PKR, tindakan mereka tidak menyokong usul itu ialah kerana berpendapat Pas membuat keputusan secara unilateral atau sebelah pihak tanpa memberitahu rakan-rakan dalam PR terlebih dahulu dan juga disebabkan ia bercanggah dengan keputusan Majlis Pimpinan PR pada 8 Februari lalu.
Lebih dari itu, tindakan Presiden Pas, Haji Hadi Awang menghantar notis kepada Setiausaha Parlimen berkaitan pembentangan usul persendirian itu juga dianggap tindakannya secara bersendirian.
Ini kerana beberapa pemimpin Pas yang ditanya mengenai notis tersebut seperti Setiausaha Agung, Mustafa Ali dan Ketua Penerangan, Mahfuz Omar, turut menyatakan tidak tahu menahu mengenainya.
Tanpa sokongan PKR dan DAP, jika Pas meneruskan juga membawa usul berkenaan hudud itu di Parlimen, ia hanya disokong oleh 21 Ahli Parlimen daripada parti itu saja.
Oleh kerana pembentangan enakmen pindaan hudud di Dun Kelantan minggu lalu mendapat sokongan daripada UMNO, Pas mungkin mengharapkan semua 88 Ahli Parlimen UMNO akan menyokongnya dalam usul persendirian nanti.
Tetapi mengharapkan sokongan UMNO dalam usul hudud ini mungkin umpama impian menyentuh bintang di langit atau seperti harapan mengggunung ingin berjumpa bidadari dari kayangan saja.
Ia boleh dianggap sesuatu yang mustahil.
Selain sejarah membuktikan UMNO lebih selesa dengan undang-undang sekular,  Najib Razak sendiri pernah mengungkapkan penegasan tidak  akan melaksanakan hudud di negara ini. Dalam pada itu, UMNO juga terkepung dengan penolakan rakan-rakan dalam BN seperti MCA, Gerakan serta komponen Sabah dan Sarawak terhadap hukum itu.
Sukar untuk membayangkan UMNO sanggup menyokong usul persendirian hudud yang bakal dibawa Haji Hadi nanti dan dalam masa yang sama menyebabkannya berhadapan risiko ditinggalkan oleh MCA, Gerakan dan komponen di Sabah dan Sarawak yang merupakan antara penyumbang kekalnya kuasa BN itu sendiri.
Lebih ramai yang percaya tindakan “main mata”  UMNO terhadap Pas dalam isu hudud ini, termasuk sokongan di Dun Kelantan baru-baru ini, lebih bertujuan untuk memecah-belahkan PR semata-mata.
Dan kalau pun Najib atau UMNO tiba-tiba “hilang akal” dan mahu menyokong usul hudud di Parlimen itu nanti, ia juga tidak mencukupi untuk memperolehi majoriti iaitu hanya menjadikan perolehan kepada 109 undian saja (88 UMNO + 21 Pas).
Berdasarkan jumlah Ahli Parlimen seramai 222 orang, majoriti mudah sekurang-kurangnya memerlukan sokongan 112 Ahli Parlimen.
Dalam keadaan ini, usul persendirian Pas mengenai hudud ini sebenarnya tidak bermakna langsung jika diteruskan juga pembentangannya. Ia sama ada menjadikan Pas hanya mampu memperolehi 21 undi atau 109 undi saja. 
Kedua-duanya bermakna suatu tindakan “bunuh diri” atau umpama melompat keluar dari kapal terbang tanpa menggunakan payung terjun.
Tindakan terbaik bagi Pas sekarang ialah kembali kepada realiti yang ada di depan mereka. Parti itu seharusnya menarik balik notis dan menangguhkan hasrat mahu membentangkan usul persendirian itu di Parlimen.
Tidak guna meneruskan usul persendirian yang sudah bertukar menjadi tindakan bersendirian itu kerana ia jelas tidak boleh membawa kemenangan, bahkan risiko perpecahan dalam PR dan penolakan rakyat juga lebih besar kerananya.
Dengan menangguhkan usul itu, Pas boleh memulihkan semula hubungannya dalam PR dan kembali berganding tangan untuk menghadapi cabaran masa depan secara bersama dengan PKR dan DAP. Ini lebih merupakan perjuangan boleh menang bagi Pas berbanding meneruskan agenda hudud yang sudah pasti akan kecundang.
Pas boleh meneruskan semula hudud di Kelantan setelah PR memperolehi kuasa dalam pilihanraya akan datang dengan cara meyakinkan rakan-rakan dalam gabungan itu terlebih dahulu mengenai kebaikan dan kelebihan undang-undang Tuhan tersebut.
Belum terlambat sebenarnya untuk Pas kembali ke pangkal jalan setelah “terlena” dan “tersesat” seketika. (SH 22/03/2015)
0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

29 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
29
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x