Pas adalah sebuah parti politik Islam dan bukannya badan dakwah sukarela. Sebagai parti politik, matlamat Pas tentunya ialah kuasa dan daripada kuasa itulah dijadikan landasan mencari keredaan Tuhan.
Ia sama-sekali berbeza dengan badan dakwah sukarela yang hanya mencari keredaan Tuhan tetapi tidak bergantung kepada kuasa.
Penyertaan Pas dalam banyak pilihanraya sejak penubuhannya dan gerak kerja kempennya yang bersungguh-sungguh dalam merebut kuasa atau mengekalkan kuasa adalah petanda jelas bahawa kuasa memang keutamaan dalam perjuangannya.
Disebabkan kepentingan kuasa, walaupun Pas sejak lama memperjuangkan hudud, ia pernah merehatkan agenda itu dengan menjadikan konsep negara kebajikan sebagai gantinya sejak 2008 apabila bekerjasama dengan PKR dan DAP.
Konsep negara kebajikan ini menjadikan Pas semakin dekat dengan pengundi bukan Islam sehingga mampu menang di banyak kawasan pilihanraya di Selangor, Perak, Johor dan lain-lainnya.
Presiden Pas, Haji Hadi Awang dalam video yang boleh ditemui dalam youtube pernah menyebut bahawa hudud tidak boleh dilaksanakan selagi masalah pengangguran tidak diselesaikan kerana kejadian curi misalnya ada hubung kait dengannya.
Tetapi kenyataan mutakhir beberapa pemimpin Pas setelah isu hudud bangkit kembali sekarang ini barangkali memeningkan kepala ahli-ahli parti itu sendiri. Haji Hadi berkata, wawasan Pas ialah akhirat dan bukannya setakat 2020 saja.
Ia adalah jawapan beliau sehari selepas Dun Kelantan meluluskan pindaan enakmen bagi melaksanakan hudud di negeri itu. Kenyataan ini memberi gambaran bahawa Pas lebih mementingkan akhirat dan sanggup kehilangan undi, sokongan dan kuasa semata-mata kerana ingin melaksanakan hudud.
Kenyataan ini tentunya tidak selari dengan sejarah bagaimana undang-undang hudud ini telah tertangguh untuk dilaksanakan sejak lebih 22 tahun lalu, bahkan ia juga pernah direhatkan untuk digantikan dengan negara kebajikan. Lebih dari itu, Haji Hadi pernah menyatakan hudud tidak boleh dilaksanakan selagi ada masalah pengangguran.
Mursyidul Am Pas yang baru, Dr Harun Din pula berkata, parti itu meletakkan perjuangan menegakkan hukum hudud jauh lebih penting daripada kerjasama dalam PR.
Katanya, perjuangan menegakkan hukum hudud sudah sebati dengan Pas dan tidak akan berganjak daripadanya.
Kenyataan Dr Harun Din ini juga memberi erti bahawa Pas lebih rela kehilangan undi, sokongan dan tidak lagi memikirkan kuasa di masa depanndemi untuk melaksanakan hukum hudud itu.
Sebagai parti politik yang dalam masa sama mahu mencari keredaan Tuhan, Pas tidak seharusnya lupa atau malu-malu kepada kuasa yang mahu dikejarnya. Berbanding ada kuasa dengan tiada kuasa, lebih banyak keredaan boleh dilakukan jika kuasa dalam genggaman.
Malangnya, Haji Hadi dan Dr Harun seperti tidak ingin kuasa sekarang ini. Ia secara langsung bertentangan dengan matlamat Pas itu sendiri sebagai sebuah parti politik.
Mungkin ini juga menyebabkan ahli Pas sendiri berpecah. Lebih ramai rasanya dalam Pas yang ingin mengambih alih kuasa UMNO bagi menyelamatkan negara dan rakyat dari terus dirompak di siang hari sebagaimana yang berlaku sekarang.
Menyelamatkan negara juga adalah jihad dan mungkin lebih besar keredaannya daripada Tuhan. Keberanian yang sedang dilakukan oleh banyak pihak terhadap kerajaan sekarang juga bertujuan untuk menyelamatkan masa depan negara. Mungkin Haji Hadi dan Dr Harun tidak nampak perkara ini, sebaliknya hanya melihat hudud satu-satunya punca keredaan Tuhan.
Jawapan kepada persoalan ini sebenarnya adalah sepertimana yang dinyatakan dengan berani oleh bekas Menteri Besar Perak, Nizar Jamaluddin bahawa Pas memerlukan perubahan kepimpinan sekarang ini.
Katanya, krisis yang dihadapi Pas sekarang ialah berkaitan pemikiran kepimpinannya dan jika kepimpinan sekarang menunjukkan ada unsur-unsur kelemahan, maka ia perlu diubah sesuai dengan hak yang diberi kepada perwakilan serta dibenarkan oleh perlembagaan parti.
Tidak syak lagi bahawa Nizar menyedari pimpinan Pas sedia ada sudah tidak relevan lagi untuk meneruskan perjuangan parti itu sebagai sebuah parti politik. Keberanian beliau menyatakan perkara penting ini seharusnya disambut baik demi masa depan dan survival Pas sendiri.
Dengan keadaan lebih terbuka untuk meraih kuasa, Pas memang selayaknya dipimpin dan dikemudi oleh watak yang betul pemikiran dan perjuangannya, bukan lagi oleh sosok dan pemikiran seperti Haji Hadi dan Dr Harun Din.
Nizar sudah membuka jalan dan memulakan langkah beraninya, maka yang lain tidak seharusnya berlengah lagi. (SH 21/03/2015)