Petang tadi telah berlangsung majlis pelancaran buku saya yang kelima bertajuk “Membongkar Skandal Deepak & Bank Rakyat Dari Isi Hati Sabbaruddin Chik” di Zam Zam Cafe, Bandar Utama, Kuala Lumpur.
Pelancaran buku tersebut dilakukan oleh Sanusi Junid, bekas Setiausaha Agung UMNO yang pernah menjadi Menteri Pertanian dan Menteri Besar Kedah sebelum ini.
Buku ini menceritakan kisah sebenar di sebalik keengganan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Hasan Malek menyambung kontrak Sabbaruddin Chik sebagai Pengerusi Bank Rakyat kerana enggan mematuhi arahannya agar suatu bentuk penyelesaian mudah melibatkan pinjaman diberikan kepada Deepak Jaikishan.
Semua yang selama ini tidak didedahkan kepada umum iaitu apakah kerugian sebenar yang dialami oleh Bank Rakyat, siapakah Pengerusinya sekarang, siapakah yang menduduki bilik Pengerusi sekarang, bagaimanakah layanan yang diterima Sabbaruddin dalam detik-detik akhir perkhidmatannya dan banyak lagi, boleh didapati dan didedahkan dalam buku ini.
Buku ini dijual dengan harga RM30 untuk Semenanjung dan RM33 untuk Sabah dan Sarawak dijangka akan mula berada di pasaran mulai hari ini atau pun esok.
Majlis pelancaran berlangsung dengan meriah dan dihadiri beberapa tokoh yang dikenali ramai.
Antara tetamu yang hadir di majlis perasmian ini ialah bekas Ketua Menteri Sabah, Osu Sukam, Presiden Pemikir, Aziz Yassin yang juga abang kepada Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, bekas Timbalan Menteri WP, Drs Suleiman Mohamad, Presiden Perkasa, Ibrahim Ali, bekas Adun Selangor, Mazlan Harun serta bekas Ahli Parlimen Batu Berendam, Tamrin Tun Ghafar.
Turut hadir juga ialah Tokoh Wartawan Negara, A Kadir Jasin, penulis buku politik Syed Hussien Alattas, penulis kontroversi Yahaya Ismail dan king rider, Zamri Mohamad.
Hadir juga beberapa pengamal media, blogger dan kakak penghibur terkenal Allahyarham Sudirman iaitu Raziah Arshad.
Bersama ini disertakan sebahagian gambar-gambar yang sempat dirakamkan di majlis tersebut. ( SH 04/03/2015 )
Tan Sri Sanusi ketika berucap melancarkan buku…
Tan Sri Sabbaruddin ketika berucap berlatarbelakangkan poster buku…
Tan Sri Sanusi dan Tan Sri Sabbaruddin menunjukkan buku selepas melancarkannya…
Osu Sukam dan Mazlan Harun…
Tamrin Ghafar dan A Kadir Jasin…
Aziz Yassin dan Ibrahim Ali…
Drs Suleiman Mohamad…
Tan Sri Sabbaruddin ketika menandatangani autograf…
Tan Sri Sabbaruddin dan penulis ketika ditemubual wartawan…
Tan Sri Sabbaruddin dan penulis bergambar bersama poster yang dilancarkan petang tadi…