Dalam pertemuan dengan kira-kira 160 Ketua UMNO Bahagian seluruh negara hari ini, Najib Razak yang di pandangan mata kasar semakin goyang kedudukannya dari persepsi rakyat telah diberikan harapan dan keyakinan untuk terus kekal sebagai Perdana Menteri untuk tempoh lebih lama lagi.
Ketua-ketua bahagian yang hadir bukan saja memperbaharui ikrar dan sokongan, malah memberi kepercayaan sepenuhnya kepada Najib untuk menyelesaikan isu 1MDB yang sedang hangat diperkatakan sekarang ini.
Maknanya kini terserah kepada Najiblah bagaimana mahu menyelesaikan isu 1MDB ini. Apa pun bentuk dan cara penyelesaian yang bakal diusahakan oleh Najib, ketua-ketua bahagian ini akan akur dan patuh saja.
Begitu juga sama ada audit akan dilakukan atau tidak atau sama ada Jawatankuasa Kira-Kira Awam (PAC) akan melakukan penelitian atau sebaliknya terhadap akaun 1MDB, semuanya juga sudah tidak bermakna lagi.
Ini kerana belum pun audit dilakukan dan tidak pun lagi diketahui ada penyelewengan atau tidak, Najib sudah pun memperolehi sokongan daripada 160 Ketua Bahagian.
Ini sekaligus membuatkan Najib sudah boleh tidur lena dan tidak perlu risau apa-apa lagi. Dengan 160 daripada 191 Ketua Bahagian hadir serta memberi sokongan kepadanya, bermakna majoriti daripada lebih 3.5 juta ahlinya juga turut sudah memberi sokongan kepada Najib.
Tiadalah lagi selepas ini sebarang rungutan, perbincangan atau sosek-sosek di kedai kopi atau lobi hotel berkenaan rasa tidak puas hati berkenaan 1MDB ini.
Sudah tertutuplah juga dengan sendirinya segala isu mengenai hutang, pelaburan, pengambil-alihan dengan harga yang tinggi, simpanan di Pulau Cayman, Jho Low, kaitan 1MDB dengan mana-mana ahli keluarga Perdana Menteri dan sebagainya.
Tiadalah juga Najib perlu bimbang apa-ap dengan ketidakhadiran Muhyiddin Yassin serta beberapa Ketua Bahagian yang lain termasuk Mukhriz Mahathir dalam pertemuan itu. Dengan 160 Ketua Bahagian sudah berikrar sanggup “sehidup semati” dengannya, semua elemen lain hanyalah “kacang” saja selepas ini.
Kalau ada juga pihak lain selepas ini mahu terus mengancam kedudukan Najib, lebih baik lupakan saja usaha itu. Semuanya sudah tidak bermakna lagi kerana Najib sudah ada 160 panglima gagah berani bersamanya.
Semua isu 1MDB kini sudah dikira selesai. 160 Ketua UMNO Bahagian telah menutup segala-galanya.
Walaupun pertemuan ini diadakan secara tertutup dan kehadiran Najib pula dilaporkan secara sembunyi-sembunyi atau melalui pintu belakang seperti dalam babak “aci-aci buka pintu”, Malaysia nampaknya sudah aman dan selamat dengan “tindakan bijak” 160 Ketua Bahagian berkumpul dan menyatakan sokongan kepada Najib ini.
Keadaan ini juga tentunya bakal merangsang sokongan rakyat yang lebih gemilang dalam pilihanraya akan datang di mana UMNO dan BN kini tentunya sedang berada di landasan yang betul untuk kembali memenangi majoriti dua pertiga kerusi di Parlimen.
Tidak memeranjatkan kiranya jangkaan kemenangan BN juga melonjak kepada 160 kerusi dalam pilihanraya nanti.
Alhamdulillah…barangkali inilah rahmatnya apabila Najib baru-baru ini mengumumkan beliau ingin mencontohi ciri-ciri Khalifah Abu Bakar As-Siddiq dalam kepimpinannya. (SH 08/03/2015)