Shahbudin…

Mencatat Hitam Putih Malaysia

Najib Berani Atau Tidak?

Apa pun keputusan Mahkamah Persekutuan esok iaitu sama ada Anwar Ibrahim akan didapati bersalah atau sebaliknya, perbualan rakyat sebenarnya lebih tertumpu kepada berani atau tidaknya Perdana Menteri, Najib Razak.

Meskipun kes Anwar ini melibatkan undang-undang dan bermula dengan aduan yang dibuat oleh bekas pembantunya, Saiful Bukhari Azlan yang mendakwa diliwat, tetapi majoriti rakyat lebih percaya ia mempunyai kaitan yang dekat dengan politik dan percaturan kuasa.
Tanggapan demikian bukan saja kerana nama Najib terkait sejak awal kes ini lagi iaitu bila mana Saiful didapati turut mengadu dan berkunjung ke kediamannya untuk mengadu diliwat oleh Anwar, bahkan tindakan kerajaan meletakkan peguam terkenal yang rapat dengan UMNO, Shafee Abdullah mengetuai pasukan pendakwaraya dalam rayuan di Mahkamah Persekutuan ini juga menimbulkan tanda-tanya.
Bagi kebanyakan rakyat, jika benar kes liwat ini hanya semata-mata berkaitan undang-undang antara Anwar dengan Saiful, kenapakah tidak dibiarkan saja pasukan daripada Jabatan Peguam Negara mengetuai pendakwaan?
Apa perlunya dijemput Shafee Abdullah mengetuai pendakwaan sedangkan Jabatan Peguam Negara bukanlah kekurangan kakitangan yang menguruskannya?
Peguam Negara, Gani Patail sendiri pun boleh mengetuai pasukan pendakwaan bagi pihak kerajaan. Bukanlah asing Peguam Negara mengetuai pendakwaan kerana dalam kes jenayah seksual melibatkan Rahim Tamby Chik, bekas Ketua Menteri Melaka suatu ketika dahulu, Allahyarham Mokhtar Abdullah pernah mengetuainya.
Sebelum itu pula, tarikh keputusan Mahkamah Rayuan turut dipercepatkan sebelum pilihanraya kecil Kajang bagi mengelakkan Anwar bertanding dalam pilihanraya itu dan seterusnya dijadikan Menteri Besar Selangor.
Oleh itu, menjelang keputusan esok, perbualan ketika ini lebih tertumpu kepada sama ada Najib berani atau tidak menghukum Anwar? Rakyat lebih melihat dan berminat menyudutinya dari segi politik berbanding undang-undang kerana sejak awal unsur-unsur politik begitu ketara sekali kaitannya.
Bersalah atau tidak Anwar pada hari esok, ia lebih dikaitkan dengan keberanian Najib menangani dan menghadapi cabaran yang bakal dilaluinya.
Jika Najib berani, kepercayaan rakyat ialah Anwar pasti akan didapati bersalah, namun jika keberanian itu tiada, pembebasanlah yang menunggunya esok.
Tetapi dengan menjadi berani dan meletakkan Anwar bersalah, Najib bukan saja bakal berhadapan dengan kebangkitan dan penolakan rakyat yang lebih meluas, malah tekanan antarabangsa, terutamanya daripada Amerika dan Barack Obama, pastilah juga tidak dapat dielakkan.
Oleh itu, bukan calang-calang Najib yang boleh menjadi berani menghadapi semua cabaran itu, lebih-lebih lagi beliau juga seorang pemimpin yang sering meletakkan Amerika dan Obama sebagai kiblat politiknya.
Lebih dari itu, memenjarakan Anwar juga belum pasti menjadikan UMNO dan BN bertambah kukuh dalam menghadapi pilihanraya akan datang, sebaliknya lebih mungkin menjadikan penolakan rakyat lebih jitu dan padu.
Meletakkan Anwar tidak bersalah, walaupun mungkin dituduh penakut, dianggap lebih mudah bagi Najib menghadapi hari-hari mendatangnya kerana yang mungkin menjadi lebih kental sebagai  musuhnya dengan keputusan itu hanyalah Mahathir Mohamad saja.
Tambahan pula, bagi kebanyakan orang juga, jika berdasarkan bukti dan fakta undang-undang  yang secara meluas didedahkan dalam mahkamah dan disiarkan di media-media bebas, Anwar sepatutnya sudah lama dibebaskan.
Dalam masa yang sama, memilih antara bermusuh dengan Amerika dan Obama atau dengan Mahathir, barangkali semua orang tahu siapa pilihan Najib.
Mahathir sendiri dalam responnya hari ini meminta rakyat menerima hakikat jika Anwar didapati tidak bersalah oleh Mahkamah Persekutuan esok.
Dengan yang demikian, sementara Anwar sedang diadili oleh mahkamah dan mungkin berdebar menanti keputusan, rakyat pula sedang mengadili sama ada Najib seorang pemimpin yang berani atau sebaliknya pada esok pagi. (SH 09/02/2015)
0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

9 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
9
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x