Shahbudin…

Mencatat Hitam Putih Malaysia

Mempertikai Petisyen Rayuan Anwar Samalah Seperti Menolak Kehadiran Agong

Ramai benar yang tidak senang dan gelabah bila Anwar Ibrahim akhirnya memutuskan untuk mengemukakan petisyen rayuan kepada Yang Dipertuan Agong atas hukuman penjara lima tahun yang sedang dijalaninya.

Kenapa marah dengan Anwar  yang berbuat demikian sedangkan ia adalah peruntukan yang dibenarkan dan menjadi sebahagian amalan dalam sistem Raja Berperlembagaan yang kita amalkan?
Dua Ahli MT UMNO, Fuad Zarkashi dan Irmohizam Ibrahim seperti meroyan dan meraban tidak tentu arah apabila keluarga Anwar membuat kejutan di saat-saat akhir dengan mengemukakan petisyen itu petang semalam.
Fuad dilaporkan berkata, Anwar ternyata seorang yang bacul kerana biasanya hanya pesalah yang menerima hukuman gantung atau penjara seumur hidup saja yang memohon petisyen pengampunan.
Katanya, jika diampunkan oleh Agong, ia akan menjadi duluan yang buruk bagi pesalah rogol dan liwat yang lain. 
Beliau lalu berfantasi, “bayangkan selepas ini ramai pesalah rogol dan liwat akan memohon pengampunan daripada Agong.”
Irmohizam pula berkata, permohonan petisyen itu menunjukkan Anwar telah mencemarkan sistem keadilan dan kehakiman di negara ini.
“Bagaimana seorang peliwat boleh memohon pengampunan? Ia akan menjadi “bad precedent” terutama kalau diampunkan oleh Agong,” katanya.
Sekali imbas memanglah nampak hujah mereka seolah-olah betul dan boleh diterima, tetapi jika diperhalusi ia juga menunjukkan ketidakfahaman dan kelompongan mereka dalam memahami sistem kerajaan yang sedang  kita amalkan.
Mempertikaikan hak Anwar mengemukakan petisyen rayuan samalah seperti menolak apa yang dibenarkan dalam undang-undang dan Perlembagaan kerana ia adalah sebahagian daripada sistem kerajaan yang diamalkan sejak dulu lagi. 
Anwar bukannya melakukan sesuatu yang baru, bahkan selari dengan peruntukan undang-undang dan hak yang diberikan oleh Perlembagaan kepada Agong.  Beliau diberikan hak untuk mengemukakan petisyen rayuan, bahkan kedudukannya sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh juga tidak dapat diisytiharkan kosong sehingga keputusan rayuan itu diketahui.
Sebelum Anwar juga sudah ramai yang memohon pengampunan, tidak kira atas kesalahan apa sekali pun dan sama ada diberi pengampunan atau sebaliknya ia adalah hak Agong memutuskannya.
Kenapa harus bimbang dan cuba mendahului Agong dengan mengatakan jika diampunkan akan menjadi duluan yang buruk serta mencemarkan sistem keadilan dan kehakiman? Bukankah ini cuba mencampuri tugas Agong?
Mengemukakan petisyen tidak semestinya akan diperkenankan oleh Agong dan ia menjadi hak baginda untuk memberi pengampunan atau sebaliknya, tetapi kenapa perlu bimbang jika  Anwar diberi pengampunan?
Kalau setakat jadi MT UMNO, Ahli Parlimen atau bekas Ahli Parlimen, janganlah merasakan diri seolah-olah lebih pandai dan bijak daripada Agong?
Dengan kedua-kedua pemimpin UMNO itu secara terbuka melahirkan kebimbangan jika Anwar diberi pengampunan, ia secara jelas menolak peranan dan keistimewaan yang diberikan oleh Perlembagaan kepada Agong atau secara tersiratnya bermaksud menolak kewujudan Agong itu sendiri.
Adakah Fuad dan Irmohizam bermaksud mahu menghapuskan sistem rayuan tersebut? Atau adakah ia juga menandakan percubaan mereka untuk menolak sesuatu yang memang menjadi hak Agong atau secara halus bertujuan mengatakan pengampuan itu tidak perlu lagi?
Sesiapa pun yang didapati bersalah akan berusaha sedaya upaya untuk memohon pembebasan berdasarkan ruang yang ada, lebih-lebih lagi dalam kes Anwar yang menjadi pengetahuan umum banyak terdapat cacat-celanya. 
Adakah salah Anwar menggunakan saluran pengampunan itu sedangkan ia dibenarkan oleh undang-undang dan Perlembagaan?
Tidakkah dengan mengatakan bahawa mengemukakan petisyen rayuan sebagai mencemarkan sistem keadilan dan kehakiman adalah juga seperti menolak kewujudan Agong sebagai ketua negara?
Kalau mahu dikira menghasut, inilah sebenarnya penghasut paling besar sekali salah dan dosanya. (SH 25/02/2015)
0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

13 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
13
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x