Bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad meneruskan lagi serangan dan rasa tidak setujunya dengan kepimpinan Najib Razak dengan sekali lagi mempertikaikan pemberian BR1M kepada rakyat.
Jika sebelum ini beliau mengatakan BR1M suatu bentuk rasuah kepada rakyat, tetapi kali ini pemberian wang tunai secara “one-off” itu dianggapnya sebagai langkah yang silap untuk mengurangkan beban peningkatan kos sara hidup mereka.
Menurut Mahathir lagi, beliau pernah menasihatkan Najib agar tidak meneruskan pemberian tunai itu, sebaliknya meningkatkan program latihan dan kemahiran sebagai jaminan untuk rakyat menambahkan pendapatan.
Malangnya, tegas Mahathir, oleh kerana Najib menganggap “duit sebagai raja” dan boleh menambahkan sokongan, nasihatnya itu tidak dipedulikan.
Sejak menarik balik sokongan terhadap Najib, satu demi satu serangan dilakukannya. BRIM, kepimpinan yang lemah, hutang 1MDB, tidak tegas dalam mengawal hubungan kaum, memansuhkan banyak akta, gagal mengurus ekonomi dan kewangan negara adalah antara sasaran serangannya.
Ketika ini hampir tidak ada yang betul lagi yang dilakukan oleh Najib di mata Mahathir yang sepanjang kepimpinannya selama 22 tahun sentiasa tampil dengan idea-idea segar untuk kepentingan negara.
Ramai pula yang merasakan Najib hampir pasti bakal menerima nasib yang sama seperti Pak Lah yang akhirnya dijatuhkan kerana terlalu lemah dan lebih banyak membawa kerosakan kepada negara.
Dengan terus menyerang dan mempertikaikan satu demi demi kesilapan Najib, kepercayaan umum ketika ini ialah Mahathir tidak akan berhenti selagi Najib tidak berjaya ditukar dan dijatuhkan.
Di pelbagai peringkat pula, berdasarkan banyak isu dan masalah gagal ditangani dengan baik, semakin ramai yang percaya Najib lebih mungkin membawa UMNO dan BN ke detik kekalahannya dalam PRU 14 nanti berbanding mencipta kemenangan.
Analisa yang mudah dan diperkatakan ramai ialah sejak PRU 13 pada 5 Mei 2013 sehingga kini, sokongan rakyat bukannya bertambah baik, malah hari demi hari bertambah buruk dan ia bukti jelas semakin lama kepimpinan Najib semakin tidak lagi dikehendaki.
Kemarahan dan penolakan terhadap UMNO dan BN bukan lagi di kalangan rakyat saja, malah sudah merebak ke dalam kelompok UMNO sendiri.
Keberanian Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Khairuddin Abu Hassan membuat laporan polis terhadap 1MDB dan disusuli tindakan Syed Rosli Jamalulail, Ketua Penerangan UMNO Cawangan Taman Cempaka, Pandan mendesak Najib meletakkan jawatan adalah manifestasi kemarahan dan penolakan yang sebenarnya semakin membengkak ketika ini.
Ketika di saluti dengan pelbagai isu dan kecaman daripada pelbagai pihak, termasuk daripada Mahathir sendiri, seperti biasa Najib lebih selesa memilih untuk senyap, bisu dan mendiamkan diri saja. Sudahlah begitu, berubah dan memperbaiki kesilapan sebagaimana teguran dan kehendak ramai, tidak juga ditunjukkannya.
Lantaran itu, tindakan yang lebih berterus-terang seperti mendesak Najib meletak jawatan adalah langkah yang paling sesuai ketika ini. UMNO dan BN sudah tidak boleh dipulihkan dan mustahil mampu meningkatkan sokongan selagi Najib menjadi ketuanya.
Sudah sampai masanya juga Mahathir berhenti menyerang dan mempertikaikan satu demi satu dasar Najib yang merugikan rakyat dan negara. Langkah yang sesuai diambil Mahathir ketika ini ialah meminta agar Najib segera berundur dan memberi peluang kepada orang lain mengambil alihnya.
Mahathir juga perlu berterus-terang siapa yang patut mengambil alih tempat Najib. Jika Muhyiddin pilihannya, beliau perlu menyebutnya secara terbuka kerana masa semakin suntuk menjelang PRU 14 nanti. Sebut saja terus-terang dan tak perlu berselindung-selindung lagi.
Masa mengecam, mempertikai, menyerang dan menghasut sudah berakhir sebenarnya bagi Mahathir sebab sekarang adalah masa untuk menjatuhkan dan menukar. Jangan tunggu-tunggu lagi Tun!! (SH 20/12/2014)