Di antara MAS dan Bernama TV, yang manakah lebih penting kepada negara?
Mungkin ada yang mengatakan MAS lebih penting dan mungkin juga ada yang mengatakan Bernama TV lebih mustahak. Pasti ramai juga yang mengatakan kedua-duanya sama penting kepada negara.
Walau apa pun jawapannya, kedua-duanya adalah penting. MAS adalah syarikat penerbangan milik negara manakala Bernama TV pula adalah anak syarikat milik sebuah agensi kerajaan iaitu Bernama yang berperanan menyebarkan maklumat kepada rakyat.
Baik MAS, mahupun Bernama TV, kedua-duanya ada peranan tersendiri kepada negara. Negara tidak lengkap tanpa mempunyai syarikat penerbangan tetapi negara juga akan tempang jika tidak mampu menyebarkan maklumat kepada rakyat.
Sebagaimana dunia makin kompleks dan pelbagai, saluran maklumat juga semestinya lebih daripada satu. Selain pelbagai saluran maklumat yang lain, Bernama TV ada peranannya yang tersendiri yang tidak boleh dinafikan kepentingannya.
Ketika MAS bermasalah, kerajaan bukan saja tidak lokek menyediakan dana berjumlah bilion ringgit bagi tujuan memulihkannya, malah sanggup melantik seorang CEO warga asing dengan gaji yang mahal, tetapi kenapakah apabila Bernama TV diketahui dalam kedudukan meruncing sehingga gaji tidak dibayar, kerajaan hanya berdiam diri saja?
Blog ini sudah dua kali mendedahkan mengenai masalah dan kemelut yang dihadapi oleh Bernama TV sehingga gaji kakitangan dan bayaran elaun kepada penyampainya sudah tertunggak hampir dua bulan.
Baru-baru ini juga didedahkan secara meluas oleh beberapa portal berita, berikutan masalah itu berterusan telah menyebabkan ada kakitangannya yang terpaksa mengambil cuti kecemasan kerana tidak mempunyai wang belanja untuk datang ke pejabat.
Masalah Bernama TV sebahagiannya berpunca daripada bilangan penontonnya yang terlalu kurang dan tidak mempunyai pendapatan iklan. Dana yang disediakan kerajaan pula terlalu jauh berkurangan berbanding perbelanjaannya.
Janji Menteri Komunikasi dan Multimedia, Ahmad Shabery Cheek untuk membawa penyelesaian kepada masalah Bernama TV menjelang awal tahun 2015 juga masih tidak menampakkan tanda-tanda positif.
Baik perancangan mahu menjadikannya saluran bahasa Inggeris, malah kontrak CEOnya Ibrahim Yahya yang berakhir pertengahan bulan ini juga tidak diketahui sama ada disambung lagi atau ditamatkan.
Sehingga ini, difahamkan kakitangan dan penyampai Bernama TV masih lagi dibelenggu masalah gaji dan elaun tertunggak, meskipun setelah ia didedahkan secara meluas baru-baru ini, selain kelabu mengenai hala tuju stesen tv itu.
Walaupun menyedari dunia sekarang adalah berpaksikan maklumat dan rakyat pula sentiasa dahagakan berita-berita terkini, tiada mana-mana pemimpin kerajaan yang tampil memberi reaksi untuk menyelesaikan masalah Bernama TV ini?
Baik Perdana Menteri, Najib Razak dan timbalannya, Muhyiddin Yassin atau Shabery Cheek sebagai menteri yang bertanggungjawab terhadap Bernama TV, semuanya sehingga ini masih diam dan kelu seribu bahasa?
Di manakah tanggungjawab mereka sebagai pemimpin? Bagaimana mahu meyakinkan rakyat tentang sikap tanggungjawab jika masalah kakitangan sebuah agensi kerajaan sendiri gagal diselesaikan?
Lebih dari itu, berbanding dengan MAS yang baru-baru ini disuntik dengan dana RM6 bilion melalui sebuah syarikat yang baru ditubuhkan serta diberikan CEO baru manakala hutang-hutang lamanya bakal dilapukkan begitu saja, dana yang diperlu untuk memulihkan Bernama TV hanyalah sekelumit kecil saja.
Soalnya, kenapakah Bernama TV dibiarkan tidak dipedulikan manakala MAS dibelai dan dimanja sedangkan kedua-dua mempunyai peranan dan fungsi yang tersendiri kepada negara?
Beberapa pemimpin UMNO juga melahirkan rasa kesal dengan sikap kerajaan dalam menangani masalah Bernama TV ini. Ramai yang berpendapat, kerajaan tidak seharusnya membiarkan begitu saja masalah yang timbul ini sehingga menjadi perbualan ramai kerana ia memburukkan lagi kedudukan kerajaan yang sudah sedia lemah dan dipertikaikan rakyat.
Jika Shabery Cheek dianggap terlalu lemah, tidak peduli dan “tak boleh pakai” dalam menyelesaikan masalah Bernama TV ini, sudah sampai masanya Najib atau Muhyiddin tampil bersuara dan memberi arahan mengenainya. (SH 09/12/2014)