Tindakan Setiausaha Agung UMNO, Tengku Adnan Tengku Mansor menggesa Khairuddin Abu Hassan menarik balik laporan polis yang dibuatnya terhadap 1MDB secara umumnya tidak dipersetujui oleh banyak pihak, sama ada daripada mereka yang menjadi ahli dan penyokong UMNO mahu pun rakyat biasa.
Ramai yang menyifatkan langkah yang diambil Ku Nan itu merupakan langkah ke belakang yang tidak sesuai lagi dengan keperluan zaman ketika ini.
Selari dengan dunia langit terbuka dan zaman internet yang kian mengganas dengan maklumat serba pantas, beliau yang juga Menteri Wilayah Persekutuan seharusnya lebih wajar bersikap terbuka dan membiarkan saja pihak polis menjalankan siasatannya.
Jika pun ingin memberi nasihat, Ku Nan lebih wajar menasihati Perdana Menteri, Najib Razak agar segera memberi respon menjelaskan kepada umum segala keraguan mengenai urusniaga, kewangan dan hutang 1MDB yang dipertikaikan itu.
Dengan menggesa Khairuddin yang juga Naib Ketua UMNO Batu Kawan menarik balik laporan polisnya, Ku Nan bukan saja mengesahkan UMNO tetap tidak mahu berubah, tetapi juga menunjukkan parti itu semakin tertutup sedangkan dunia dan pemikiran rakyat semakin terbuka.
Ku Nan yang sudah terlalu lama berada dalam pentadbiran UMNO ternyata masih mempunyai pemikiran kuno dan primitif dalam cara dan tindakannya sebagai pemimpin, terutama ketika berhadapan dengan mereka yang berfikiran kritikal dan tidak sebulu dengan kepimpinan parti.
Apakah beliau fikir semua manusia ketika ini boleh akur begitu saja sedangkan penjelasan yang diminta tidak diberikan?
Adakah terlalu susah bagi Najib dan 1MDB menjelaskan semua keraguan mengenai badan pelaburan itu sehingga laporan polis minta ditarik balik?
Kenapa pula takut dengan laporan polis dan siasatan pihak berkuasa jika tiada apa yang mahu diselindungkan?
Dalam reaksi kurang senangnya mengenai tindakan yang diambil oleh Khairuddin itu, Ku Nan menggesa agar laporan polis itu ditarik balik kerana berpendapat ia bukanlah pendirian parti dan juga UMNO Pulau Pinang.
“Inilah masalah ahli UMNO yang tidak memahami perjuangan parti. Kita tidak boleh mendengar apa saja cerita daripada laman web, internet dan media sosial. Janganlah kita terpengaruh dengan persepsi tidak diingini yang datangnya daripada pembangkang. Beliau membuat laporan polis, saya pun tak faham,” tambah Ku Nan lagi.
Dalam masa yang sama beliau juga membayangkan kemungkinan UMNO mengambil tindakan disiplin terhadap Khairuddin berikutan laporan polis yang dibuatnya itu.
Sementara Khairuddin juga sudah bertegas tidak akan menarik balik laporan polisnya serta kekal mahukan polis melakukan siasatan dan ketegasan beliau dengan pendirian itu seharusnya dipuji, sebenarnya lebih ramai lagi yang tidak faham dengan aliran pemikiran serta cara bertindak Ku Nan yang merupakan rakan karib Najib itu.
Beliau seolah-olah tidak sedar bahawa dunia sudah banyak berubah dan sesuatu yang dulunya menjadi kebiasaan, mungkin tidak sesuai lagi di era ini.
Semua ketidakfahaman beliau mengenai tindakan yang diambil oleh Khairuddin serta banyak pihak yang lain mengenai 1MDB sebenarnya dapat diselesaikan dengan mudah jika ianya dapat dijawab dengan ketelusan, jujur serta ikhlas.
Dan jika ada yang meminta pihak pihak polis melakukan siasatan pula, biarkanlah ia dilakukan dengan baik tanpa sebarang gangguan.
Masalah sentiasa akan timbul apabila sesuatu perkara dijalankan secara tidak telus dan apabila ada yang bertanya serta mahukan penjelasan, jawapan yang sebenar tidak pula mahu diberikan. Semuanya mahu ditutup dan apabila ada yang membuat laporan polis atau sebagainya, bukan juga jawapan yang diberikan tetapi lebih mahukannya ditarik balik.
Mempunyai akaun Facebook dan Twitter serta mewarnakan rambutnya menjadi hitam rupa-rupanya tidak menjadikan Ku Nan seorang yang remaja jiwa dan pemikirannya seperti yang dikehendaki dunia kontemporari tika ini. Kekunoan nampaknya terlalu tebal berkarat dalam pemikirannya sehingga kehendak generasi alaf baru ini pun cuba diselesaikan seperti cara era 80-an dahulu. (SH 14/12/2014)