Shahbudin…

Mencatat Hitam Putih Malaysia

Kempen Sabtu Tanpa Beg Plastik Gagal?

Ketika ini ramai yang bertanya, ke manakah penyudahnya kempen tanpa beg plastik setiap hari Sabtu yang telah berjalan sejak beberapa tahun lalu?

Apakah ia masih kekal sebagai kempen semata-mata tanpa sebarang titik akhirnya?
Memanglah diakui bahawa kempen menggalakkan rakyat mengurangkan penggunaan beg plastik amatlah baik untuk kehidupan kita. Ini kerana beg plastik dikatakan memakan masa antara 100 hingga 500 tahun untuk dilupuskan dan sekiranya dibakar pula akan mengeluarkan gas karbon dioksida yang boleh meningkatkan pemanasan suhu bumi.
Atas kesedaran itu, kerajaan melalui Kementerin Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dengan kerjasama beberapa pasaraya, kedai serbaneka dan premis terpilih telah memperkenalkan kempen ini di mana setiap hari Sabtu tidak lagi dibekalkan beg-beg plastik secara percuma.
Pengguna digalakkan membawa beg sendiri atau menggunakan beg kitar semula untuk mengisi barang-barang yang mereka beli atau terpaksa membayar 20 sen jika inginkan beg plastik.
Wang 20 sen itu pula dikatakan akan disalurkan kepada badan kebajikan, untuk program kepenggunaan serta pemuliharaan alam sekitar.
Ketika mula-mula diperkenalkan dulu, ramai yang bersungut dan marah-marah dengan kempen ini kerana menganggap ianya menyusahkan. Ramai juga mengelak untuk membeli-belah pada hari Sabtu kerana tidak mahu membayar 20 sen semata-mata untuk beg plastik yang sebelum ini diperolehi secara percuma.
Seorang rakan yang membeli keperluan harian di Bangsar pernah bertekak dengan juruwang kerana enggan membayar 20 sen untuk beg plastik semata-mata kerana prinsip. Rakan itu berpendapat, oleh kerana beliau telah membeli-belah di situ, adalah menjadi tanggungjawab pasaraya terbabit menyediakan beg plastik atau kertas kepadanya.
Oleh kerana bertegas dengan pendiriannya, juruwang itu akhirnya mengalah dan memberinya beg plastik secara percuma.
Seorang rakan yang lain pula telah bertindak meninggalkan begitu saja barang-barangnya yang mahu dibelinya di kaunter kerana juruwang berkeras tidak mahu memberinya beg plastik secara pecuma.
Banyak lagi insiden antara pengguna dengan juruwang yang berlaku sebenarnya akibat kempen ini. Ada yang bersungut, membebel dan bermasam muka dengan juruwang di kaunter. Tetapi ramai juga yang baik hati, memahami dan tiada masalah mengeluarkan tambahan 20 sen daripada poket mereka.
Meskipun memahami pentingnya menjaga alam sekitar, tetapi setelah sekian lama masa berlalu, ramai yang mula mempersoalkan kempen tanpa beg plastik ini. Bukan bayaran 20 sen itu yang dipersoalkan, sebaliknya ramai yang keliru bilakah kempen ini akan berakhir sebenarnya?
Apakah selama-lamanya pengguna terpaksa membayar untuk mendapatkan beg plastik jika membeli-belah pada hari Sabtu? 
Setelah sekian tahun kempen diadakan, bukankah sudah sewajarnya penggunaan beg kertas diwajibkan sepenuhnya bagi menggantikan beg plastik sebagaimana yang diamalkan di beberapa negara lain?
Selain itu, dengan hanya hari Sabtu penggunaan beg plastik dikurangkan sedangkan hari-hari lain ia digunakan seluas-luasnya, kempen ia juga seolah-olah sekadar  main-main dan melepaskan batuk di tangga semata-mata.
Bukankah kempen itu bertujuan mengurangkan penggunaan beg plastik dari semasa ke semasa dan dengan demikian seharusnya kempen tanpa plastik itu semakin ditambah harinya sehingga akhirnya mencapai tahap paling minima sekali?
Dalam pada itu, ada juga yang mempertikaikan ke manakah perginya wang pembelian beg plastik sebanyak 20 sen itu iaitu sama ada ia benar-benar digunakan untuk tabung kebajikan dan kempen alam sekitar atau akhirnya hanya menjadi milik pasaraya dan premis terbabit saja?
Kerajaan pula, sejak memperkenalkan kempen itu seolah-olah tidak melakukan apa-apa untuk mengurangkan lagi penggunaan beg plastik atau menggalakkan penggunaan beg kertas. Mereka seperti sudah berpuas hati dengan kempen setiap hari Sabtu itu sejak bertahun-tahun sebagai sumbangan yang bermakna kepada alam sekitar tanpa berusaha ke arah lebih baik lagi. Dalam ertikata yang lain, kerajaan dilihat gagal dalam kempen ini.
Sekiranya kempen itu gagal mendidik pengguna dan penggunaan beg plastik masih lagi berleluasa, kerajaan juga disarankan menghentikannya dan mencari kaedah lain yang lebih berkesan lagi.
Nampaknya, ada tugas baru sedang menunggu Hasan Malek selain bercakap soal harga ayam, ikan dan lain-lain keperluan harian pengguna. (SH 21/12/2014)
0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

11 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
11
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x