Peguam terkenal, Shafee Abdullah yang dilantik sebagai timbalan pendakwaraya kes rayuan liwat Anwar Ibrahim di Mahkamah Persekutuan meneruskan lagi hujahnya pagi tadi.
Sebaik mahkamah berhenti rehat pada tengahari untuk disambung semula esok pagi, Shafee kemudian memberitahu beliau telah melengkapkan kira-kira 70 peratus daripada hujah-hujahnya dan hanya memerlukan kira-kira satu setengah jam saja lagi untuk menamatkan pembentangannya.
Tetapi meneliti hujah dan aksinya pada hari ini, terlihat masih banyak keraguan yang tidak terungkai dan gagal diperjelaskan dengan penuh meyakinkan.
Walaupun sebelum ini mendakwa perlakuan seks luar tabii Anwar dengan Saiful dilakukan secara ganas, Shafee mengakui tiada kecederaan yang dialami mangsa adalah mungkin disebabkan pelincir yang digunakannya serta kejadian serupa pernah berlaku sebelum ini.
Tambahnya, ia juga mungkin disebabkan perlakuan seks itu berlaku tanpa paksaan serta disebabkan kelewatan Saiful mendapatkan pemeriksaan doktor.
Hujah ini nyata tidak meyakinkan untuk menangkis hujah pembela bahawa kejadian liwat itu tidak mungkin berlaku kerana tiada kecederaan atau koyakan ditemui pada dubur Saiful. Lagi pula, jika kejadian liwat itu sudah kerap berlaku, pastilah berlaku kecederaan yang lebih teruk lagi.
Fakta yang dibentangkan Shafee bahawa kemungkinan tiada paksaan juga bertentangan dengan pengakuan Saiful sebelum ini bahawa beliau diliwat tanpa kerelaannya.
Mengenai penemuan doktor Pusrawi yang mula-mula memeriksa Saiful dan tidak menemui sebarang penembusan pada bahagian duburnya, Shafee hanya berkata, doktor berkenaan iaitu Dr Osman Abdul Hamid tidak boleh dipercayai serta menulis laporan berdasarkan imaginasi atau kepentingan sesuatu yang lain.
Tetapi apabila ditanya oleh hakim Ariffin Zakaria sama ada Dr Osman pernah dicabar semasa perbicaraan, Shafee menjawabnya, tiada ada. Beliau turut gagal mengemukakan kenyataan beramaran Dr Osman apabila diminta oleh hakim Ariffin.
Tentang bahan seperti berus gigi, tuala “good morning” dan botol air mineral yang didakwa oleh pihak pembela telah diambil secara tidak sah ketika Anwar berada di dalam lokap polis, Shafee berkata, ia masih boleh diterima berdasarkan kepentingannya kepada keseluruhan kes.
Beliau juga mempertahankan semua barang bukti itu adalah milik dan digunakan oleh Anwar kerana berpendapat tiada orang lain berada di dalam lokap itu.
Di suatu peringkat, Shafee juga mengesahkan terdapat DNA Anwar dan Saiful ditemui pada seluar dalam warna kelabu yang dipakai Saiful.
Sambil mempertahankan DNA Y adalah milik Anwar, mengenai DNA pihak ketiga yang turut ditemui, beliau berkata, ia boleh jadi hasil daripada tempat duduk tandas yang digunakan Saiful sebelumnya.
Meskipun ada beberapa hujah lain yang dibentangkan oleh Shafee, tetapi sebagaimana hari pertama penampilannya, hujahnya kali ini dilihat tidak cukup meyakinkan dan biasa-biasa saja.
Dalam penampilannya kali ini juga, beliau agak kerap dihujah oleh hakim untuk meminta lebih penjelasan daripadanya. Di suatu ketika ketika dihujah oleh hakim mengenai alamat kondominium yang berbeza dalam waran tangkap terhadap Anwar, Shafee mengakui kesilapan itu.
Tetapi katanya, penangkapan Anwar itu adalah sah serta tiada pelanggaran haknya dari segi perlembagaan.
Sebagaimana penampilan Shafee pada hari pertama yang dianggap Anwar sengaja menampilkan fantasi seks untuk mengaib dan memalukannya, kali ini pula beliau mendakwa peguam itu mempolitik dan melakukan banyak gimik politik dengan matlamat untuk menjadi peguam negara selepas ini.
Kecuali jika terdapat hujah-hujah yang lebih kukuh dapat ditampilkan esok pagi sebelum pihak pembela mematahkan semua hujah pendakwaan pada sebelah petangnya, keyakinan untuk Anwar bebas dan didapati tidak bersalah, jelas masih lagi cerah.
Terdapat banyak keraguan yang masih tidak terungkai, bukan saja di pandangan kita sebagai rakyat biasa peka, lebih-lebih lagi tentunya di fikiran lima hakim yang jauh lebih bijaksana itu.
(SH 04/11/2014)