Shahbudin…

Mencatat Hitam Putih Malaysia

Khalid Dan Faekah Paling Bertanggungjawab Dalam Pemberian Ganjaran RM2.6 Juta

Isu pampasan bernilai RM2.6 yang dibayar oleh Perbadanan Menteri Besar atau MBI kepada lapan bekas kakitangan Khalid Ibrahim terus menjadi perbualan hangat setelah Azmin Ali mengakui wujud salah laku dalam pemberian itu.
Menurut Azmin, salah laku itu bukan saja wujud dari segi jumlah pampasan yang diberi tetapi juga kerana prosesnya yang dilakukan secara serta-merta turut menimbulkan keraguan.
Kita tidak akan sembunyikan fakta, malah tidak akan berkompromi dengan salah guna kuasa, tegas Menteri Besar itu lagi.
Sementara Azmin menyerahkan kepada pengurusan baru MBI yang dijangka memulakan tugas pada 1 Disember ini untuk mengambil tindakan sewajarnya, di media-media sosial pula telah bertebaran maklumat mengenai nama penerima dan jumlah ganjaran yang masing-masing terima.
Jumlah yang terpapar itu jelas sangat tinggi, tidak berpatutan dan tidak pernah berlaku dalam sebelum ini di mana-mana kerajaan negeri. Kakitangan menteri di peringkat pusat juga tidak pernah diberikan ganjaran atau pampasan apabila menamatkan perkhidmatan.
Jika sebelum ini Khalid Ibrahim ada mempertahankan pemberian ganjaran itu sebagai mengikut prosedur dan mirip skim VSS, hakikat yang menjadi bualan pula ialah lapan kakitangan itu bukannya diberhentikan tetapi mereka sendiri meletakkan jawatan sebelum Azmin mengambil alih jawatan Menteri Besar Selangor.
Tarikh keputusan pampasan itu dibuat juga ialah pada 22 September, iaitu sehari sebelum Azmin menerima watikah perlantikannya daripada Sultan Selangor pada 23 September.
Dengan ini, jelas membuktilan bahawa pemberian ganjaran itu dilakukan secara tergesa-gesa sebelum Khalid Ibrahim meninggalkan pejabatnya serta tidak ubah seperti “rompakan wang rakyat di siang hari”.
Seperti pendedahan Khalid Samad dua hari lalu, empat Exco Pas yang bersama Khalid sebenarnya tidak pernah diminta menyetujui pemberian ganjaran itu, sebaliknya hanya dimaklumkan saja mengenainya.
Dalam hal ini, Khalid bukan saja mahukan isu pemberian ganjaran itu dibawa ke pendengaran Selcat, malah juga kepada SPRM untuk tindakan sewajarnya.
Berdasarkan rentetan ini, pemberian ganjaran itu adalah idea, kehendak serta kelulusan MBI sepenuhnya yang pengerusinya ialah Khalid Ibrahim serta CEOnya ialah Faekah Husin yang juga merupakan penerima ganjaran paling besar daripada jumlah RM2.6 juta itu. Dua lagi Ahli Lembaga Pengarah MBI ialah Setiausaha Kerajaan dan Pegawai Kewangan Negeri.
Selain berusaha mendapatkan kembali wang tersebut, Khalid dan Faekah, dua individu paling berkuasa dan berpengaruh dalam MBI, haruslah juga disiasat atas salah laku ini dan seterusnya jika terdapat bukti yang mencukupi, hendaklah dibawa ke muka pengadilan bagi tindakan dan hukuman yang sewajarnya.
Kedua-dua Ahli Lembaga Pengarah lain yang merupakan pegawai tinggi dalam kerajaan negeri juga seharusnya turut disiasat tentang bagaimana mereka menyetujui pemberian yang tidak wajar itu.
Ketegasan Azmin dalam menyelesaikan dan mengambil tindakan dalam isu ganjaran ini merupakan sesuatu yang ditunggu-tunggu, bukan saja oleh pengundi Selangor, malahan rakyat seluruh negara. 
Kenyataan dan pendirian Azmin dalam isu ini amat dialu-alukan oleh semua pihak dan ramai yang tidak sabar menunggu keadilan dan kebenaran ditegakkan.
Inilah peluang Azmin dan kerajaan PR Selangor mengangkat lagi imejnya di mata rakyat dengan ketegasan dan ketelusan serta sekurang-kurangnya membuktikan Khalid dan konco-konconya tidaklah sebersih yang cuba digambarkan oleh mereka yang taksub dengannya selama ini. (21/11/2014)
0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

10 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
10
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x