Shahbudin…

Mencatat Hitam Putih Malaysia

Adalah Terpuji Jika Penerima Ganjaran RM2.6 Juta Memulangkan Wang Tersebut Secara Sukarela

Amatlah menyedihkan apabila mengetahui bahawa antara “sumbangan”  terakhir Khalid Ibrahim dan empat Exco daripada Pas dalam kerajaan negeri  Selangor ialah meluluskan pampasan kepada kakitangannya sendiri dan tidak sama-sekali berkaitan dengan rakyat terbanyak.

Pampasan sejumlah RM2.6 juta itu dibayar kepada lapan kakitangan Khalid Ibrahim yang berundur berikutan pertukaran Menteri Besar Selangor.
Setelah pembayaran pampasan itu diluluskan oleh Perbadanan Menteri Besar atau MBI yang mana Khalid Ibrahim adalah salah seorang ahli lembaga pengarahnya, ia kemudian dipersetujui pula oleh Exco Kerajaan Negeri di mana ketika itu hanya dianggotai oleh Khalid bersama empat wakil daripada Pas.
Sebagaimana yang dilaporkan media, dalam ganjaran RM2.6 juta itu, penerima terbesarnya ialah Faekah Husin, bekas CEO MBI yang menerima RM581,400 sebagai pampasan manakala sebanyak RM114,00 lagi sebagai ganti kepada notis tiga bulan gaji.
Setiausaha akhbar Khalid, Arfa’eza Abdul Aziz pula dilaporkan menerima RM358,000 sebagai pampasan manakala RM55,000 lagi sebagai ganti notis tiga bulan gaji.
Setiausaha politik Khalid, Mustapha Mohd Taib dilaporkan menerima RM265,000 manakala kakitangan yang selebihnya dibayar antara RM97,000 hingga RM230,000 sebagai pampasan dan antara RM18,000 hingga RM69,000 pula sebagai ganti notis tiga bulan gaji.
Walaupun Khalid mempertahankan tindakan pembayaran itu sebagai mengikut prosedur dan hanya sekitar 2% peratus daripada tabungan RM112 juta yang dimiliki oleh MBI, rata-rata orangramai mempersoalkannya kerana bukan saja sesuatu yang luar biasa, bahkan jumlahnya juga terlalu tinggi.
Lebih malang, Khalid yang selama ini  dilihat begitu kedekut tiba-tiba boleh bertukar menjadi pemurah demi kepentingan mereka yang pernah mempunyai hubungan rapat dengannya.
Tetapi yang lebih dikesalkan ialah empat Exco Pas yang setia bersama Khalid ketika kemelut pertukaran Menteri Besar baru-baru ini dengan alasan untuk mengelakkan kerajaan PR daripada tumbang dan seorang Exco yang lain pula mengatakan untuk menjaga rizab RM3 bilion milik kerajaan negeri, rupa-rupanya tidaklah seperti yang diharapkan.
Sekiranya empat Exco itu mempunyai intergriti dan wibawa yang tinggi serta memikirkan untuk untuk menjaga kepentingan rakyat melebihi segala yang lain, mereka seharusnya membantah kelulusan ganjaran itu kerana ia jelas tidak melibatkan rakyat bawahan atau marhaen.
Dalam keadaan sekarang, bukan saja Khalid yang dilihat bersalah, malah empat Exco Pas terbabit turut terbabit sama.
Kepada semua penerima ganjaran itu, terutamanya Faekah yang selalu bercakap soal hak dan kebenaran di saat-saat genting penyingkiran Khalid, inilah masanya untuk membuktikan kejujuran dan jati diri masing-masing.
Lagi pula, sebagai bekas Setiausaha Politik Khalid, sebagaimana yang disebut sebelum ini, Faekah sudah pun mendapat faedah pencen daripada kerajaan negeri. Begitu juga dengan Mustapa, jika khidmatnya melebihi 36 bulan, beliau juga layak menerima pencen sebagai bekas Setiausaha Politik.
Sebelum Exco kerajaan negeri yang diketuai oleh Azmin membuat apa-apa keputusan pada mesyuaratnya Rabu ini, adalah amat terpuji jika beliau dan rakan-rakannya yang lain tampil dengan sukarela memulangkan kembali wang tersebut kepada MBI atau kerajaan negeri.
Usahlah berdiam diri, tidak melayan panggilan atau bersembunyi lagi. Meskipun gesaan ini mungkin mustahil untuk dituruti, tetapi daripada akhirnya diminta memulangkan wang tersebut,  jauh lebih baik jika segera berbuat demikian terlebih dahulu. (SH 17/11/2014)
0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

18 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
18
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x