Dilayan Lebih Buruk, Apa Kata Jika Mahathir Boikot Perhimpunan Agung UMNO Tahun Ini?

Sejak bertindak menarik balik sokongannya terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Najib Razak yang dianggap paling lemah dan menimbulkan banyak kerosakan kepada negara, Mahathir Mohamad tidak henti-henti memberi teguran serta kritikan.

Tidak saja teguran itu dibuat secara terbuka melalui media atau tulisan di blognya, bekas Perdana Menteri itu juga kerap memberi pandangan dan kritikan melalui orang peseorangan atau kumpulan tertentu yang bertemu dengannya.
Secara umumnya, Mahathir tidak berpura-pura dalam tindakannya. Sama ada secara tertutup atau terbuka, nada dan tahap kritikannya terhadap kepimpinan Najib tetap sama.
Antara tegurannya sebelum ini ialah mengenai rasa tidak setujunya dengan penghapusan ISA, Ordinan Darurat serta janji menghapuskan Akta Hasutan. Beliau juga mengkritik kepimpinan Najib yang menyebabkan timbulnya masalah dalam hubungan kaum, pengurusan ekonomi dan kewangan yang tidak menentu serta sikap lebih banyak berdiam diri apabila timbul sesuatu masalah.
Selepas itu, beliau juga menegur mengenai hutang 1MDB yang tinggi dan pemberian BR1M yang dianggapnya rasuah kepada rakyat.
Terbaru, Mahathir juga menegur tentang sikap menteri-menteri yang mengabaikan dasar pendidikan kebangsaan yang mereka gubal untuk rakyat tetapi menghantar anak sendiri ke sekolah swasta dan antarabangsa.
Memahami sikap Mahahir yang tidak mudah mengalah apabila sudah membuat sesuatu keputusan, adalah dijangka menjelang Perhimpunan Agung UMNO pada 25 hingga 29 November ini, bakal ada lagi teguran dan kritikan akan diluahkannya terhadap Najib.
Malah dua hari sebelum Perhimpunan Agung UMNO iaitu pada 23 November ini, Mahathir juga dijemput memberi ucaptama dalam Konvensyen Perpaduan Nasional yang akan diadakan di Pusat Islam, Kuala Lumpur.  Ramai yang menjangka, satu lagi peluru akan disasarkannya pada hari itu.
Tetapi sebagaimana sikap Najib yang suka berdiam diri, membisu dan senyap dalam banyak isu, beliau juga mengambil sikap yang sama terhadap semua teguran serta kritikan oleh Mahathir selama ini.
Najib bukan saja tidak melayan atau mengendahkan semua teguran itu, malah tidak juga menunjukkan tanda-tanda mahu berubah.  Suatu ketika, ada juga beberapa menteri dan pemimpin UMNO yang memberi respon terhadap teguran Mahathir itu, namun sejak kebelakangan ini semuanya tiada lagi. Hanya Khairy Jamaluddin sesekali menjawab, itu pun kalau kias-kias terkena dirinya.
Seperti wujud arahan daripada Najib agar jangan melayan dan mengendahkan lagi teguran dan kritikan Mahathir itu. Hasilnya, bukan saja Najib tidak berubah dan kekal dengan stail lama, teguran Mahathir itu juga berlalu bagai angin lalu atau seperti “mencurah air ke daun keladi” saja.
Jangan-jangan sudah wujud persepsi dalam fikiran Najib dan pemimpin-pemimpin UMNO ketika ini bahawa Mahathir “sudah nyanyuk”, “tidak relevan” dan “tak boleh dipakai lagi pandangannya”.
Hakikat bahawa Mahathir merupakan pemimpin yang banyak berjasa kepada negara seperti cuba dilupakan. Begitu juga pengalaman dan rekodnya sentiasa menang melepasi garisan dua pertiga setiap kali pilihanraya, tidak lagi dipedulikan dan diambilkira.
Lebih dari itu, sokongan kuat daripada Mahathirlah yang menjadi salah satu faktor Najib berjaya menjadi Perdana Menteri. Mahathir bukan saja memberi banyak ruang kepada Najib menimba pengalaman dalam kerajaan, bahkan juga menyokong kuat agar Najib dipilih sebagai pengganti Pak Lah yang berjaya ditumbangkan melalui kerja kerasnya.
Untuk menunjukkan sokongannya kepada Najib, Mahathir kemudian mengunjungi Najib di kediamannya sehari selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri sambil menyerahkan borang kemasukannya semula ke dalam UMNO. Mesej daripada tindakan itu ialah agar rakyat memberi sokongan sepenuhnya kepada Najib.
Namun kini, kepimpinan Najib bukan saja mengecewakan Mahathir dan majoriti rakyat, bahkan layanan Najib kepada Mahathir jauh lebih buruk daripada apa yang pernah dilakukan oleh Pak Lah.
Jika ketika era Pak Lah, kritikan dan teguran Mahathir turut mendapat respon dan tindakbalas, bahkan di suatu ketika Pak Lah juga menjemput Mahathir bertemu secara empat mata dengannya untuk meluahkan rasa tidak puas hatinya, Najib sebaliknya tidak memperdulikan langsung dan cuba melayannya sebagai “orang tua yang tidak berguna”.
Najib mahu mengabai dan mengenepikan sama-sekali teguran dan kritikan Mahathir itu. Dalam Perhimpunan Agung UMNO tahun ini, walaupun dalam suasana  UMNO dan negara kritikal, sudah wujud kecenderungan di kalangan jurucakap setiap negeri untuk memuji, memuja dan menyanjung kepimpinan Najib.
Isu-isu berkaitan hutang 1MDB, hutang negara yang meningkat saban tahun, kos sara hidup, pembaziran, prestasi UMNO, prestasi menteri-menteri dan seumpamanya terlihat cuba disembunyikan di sebalik mahu mengagungkan kejayaan menduduki kerusi tetap di PPB, pengerusi ASEAN dan langkah Najib berunding dengan ketua puak pemisah Ukraine, Aleksander Borodai dalam isu MH17.
Untuk itu, bagi menunjukkan keseriusannya menegur dan mengkritik Najib, Mahathir sewajarnya tidak menghadiri Perhimpunan Agung UMNO tahun ini. Hanya dengan memboikot perhimpunan kali ini mampu menyedarkan Najib dan lain-lain pemimpin UMNO agar tidak terus berkhayal dalam dunia mereka sendiri yang sebenarnya makin buruk di pandangan umum.
Jika Mahathir tidak melakukan sesuatu yang drastik, sampai bila pun teguran dan kritikannya tidak akan dilayan. Sebagaimana impak keluar UMNO dapat dirasa ketika memberi tekanan kepada Pak Lah dahulu, tindakan memboikot Perhimpunan Agung UMNO adalah langkah seterusnya yang wajar, setelah menarik balik sokongan,  untuk segera menyedarkan Najib yang gemar meletakkan “penyumbat kapas” di kedua-dua belah telinganya. (SH 19/11/2014)
Kongsikan artikel ini
No tags for this post.
Updated: 26 March 2019 — 1:32 pm

4
Leave a Reply

avatar
0 Comment authors
Anonymous Recent comment authors

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

  Subscribe  
newest oldest
Notify of
Anonymous
Guest
Anonymous

Apa yang berlaku diantara Najib dan Mahathir adalah kerana salah Mahathir yang memilih dan menyokong Najib jadi ketua pemimpin.

Saya sebagai ahli biasa UMNO Baru amat keliru dengan perangai Mahathir yang konsisten, dimana sikap beliau yang begitu terserla dalam memilih, melantik dan menjatuhkan pemimpin dalam parti UMNO Baru dan juga dalam kerajan Barisan Nasional.

Apakah Mahathir juga tergulong dalam kategori ahli parti yang bodoh dan bangang dalam menilai seseorang sebelum diangkat jadi pemimpin ?

Anonymous
Guest
Anonymous

Sebenarnya antara dua manusia ni, dua kali lima sahaja. Mahathir seperti biasa akan menunjuk orang lain saja salah, bukan dirinya sendiri. Sejarah pemerintahan beliau selaku PM selama 22 tahun juga banyak cacat celanya. Ketika itulah rasuah politik berleluasa, tapi Mahathir tidak mengambil sebarang tindakan tegas. Sekarang Mahathir mengutuk Najib, Apa yang Najib lakukan sekarang adalah juga polisi Mahathir dulu. Cuma sekarang situasinya semakin parah. Pengaruh politik Mhathir tidaklah sekuat mana, kalau kuat pastinya Mukriz menang Naib Presiden. Mahathir membising setaip kali kerana bimbang anaknya akan tamat hidup politik sebelum dia mati. Itu saja… tujuan dan niat sebenar Mahathir. Bagi Najib… Read more »

Anonymous
Guest
Anonymous

sudah sampai masanya najib fikirkan bila dia mesti berundur dan beri laluan kepada timbalannya meneraju negara…..banyak musibah dan hal2 yg kurang menyenangkan sentiasa berlaku dibawah pentadbirannya…

Anonymous
Guest
Anonymous

Lebih baik jangan dipandang mudah teguran Tun Mahathir ini kerana pengaruh beliau masih relevan lagi di negara ini memandangkan 65% dari pemegang aset penting di negara ini atau panggilan mudahnya "golongan kapitalis" adalah sejumlah kroni besar Tun Mahathir.