Beberapa Pas Negeri sudah pun mengeluarkan arahan kepada ahlinya agar tidak menyertai serta menjauhi PasMa, sebuah NGO yang diketuai oleh bekas Exco Kedah, Pahrolrazi Zawawi.
Antaranya ialah Pas Pahang, Terengganu, Perak, Johor dan beberapa negeri lagi juga dijangka akan mengeluarkan arahan yang sama tidak lama lagi.
Walaupun PasMa sudah menyatakan bahawa peranannya ialah bertujuan untuk memastikan Pas kekal bersama PR di sebalik merebaknya kebimbangan mengenai penubuhan kerajaan perpaduan antara Pas dengan UMNO, NGO itu seolah-olah begitu ditakuti oleh Pas.
Larangan dan kebimbangan terhadap PasMa ini dipercayai selaras dengan ucapan Haji Hadi dalam Muktamar Agung Pas di Batu Pahat, baru-baru ini yang bertegas melarang kewujudan “parti dalam parti” serta mahu semua ahlinya bersatu hati dalam perjuangan Islam bersama Pas.
Susulan itu, Majlis Syura Ulama Pas melaluinya Setiausahanya, Nik Zawai Salleh telah mengeluarkan arahan agar tiada ahli Pas menyertai PasMa.
Namun demikian, PasMa nampaknya terus bergerak aktif dan tidak memperdulikan arahan itu. PasMa juga tidak melatah, malah menyatakan Majlis Syura Ulama tiada hak mengeluarkan larangan itu. Selain itu, PasMa juga tidak terusik dengan adanya cabaran agar NGO itu berubah menjadi sebuah parti politik untuk melihat sejauh mana ianya boleh bertahan.
PasMa bukan saja terus melebarkan sayapnya ke negeri-negeri, malah laman Facebook peringkat negeri juga giat diaktifkan untuk menyebarluaskan lagi peranan dan aktiviti mereka.
Dalam masa yang sama, ada yang berpendapat bahawa tindakan Pas melarang ahlinya menyertai PasMa menunjukkan parti itu semakin tertutup dan tidak sedia menerima teguran daripada pihak yang berbeza pandangan dengannya.
Sebagaimana keputusan Muktamar 2008 yang memutuskan parti itu bekerjasama dengan PKR dan DAP melalui PR, PasMa hanyalah bertujuan mengukuhkan lagi ikatan itu bagi menyaingi BN dan mewujudkan sistem dua parti yang lebih berkesan demi kepentingan rakyat.
Tetapi melihat kepada kes dua Adun Selangor, Shaari Sungib dan Hasnul Baharuddin yang digantung keahliannya beberapa hari lalu, ramai yang bimbang mengenai nasib pimpinan PasMa ini. Mempertahan dan mendekatkan lagi Pas dalam PR seolah-olah sudah menjadi kesalahan bagi parti itu kebelakangan ini manakala tindakan menjauhkan lagi Pas daripada PR pula sesuatu yang dibenarkan.
Ada yang mengatakan, setelah adanya larangan agar ahli Pas menjauhi dan tidak menyertai NGO itu, tindakan yang lebih keras sedang menunggu pimpinannya tidak lama lagi. Ramai yang menjangkakan pimpinan PasMa akan menerima hukuman sama ada digantung keahlian atau dipecat terus daripada Pas selepas ini.
Tambahan pula, PasMa juga terus aktif dan agresif dengan pelbagai kegiatannya di merata-rata tempat, walaupun setelah satu demi satu negeri mengeluarkan larangan kepada ahli-ahlinya daripada mendekati NGO itu.
Realitinya, Pas sebenarnya memang menyedari bahawa tindakan mereka menjauhkan diri dan berbalah dengan rakan-rakan gabungan dalam PR tetapi dalam masa yang sama masih kekal dalam gabungan itu membawa lebih kerugian daripada keuntungan kerana boleh menyebabkan parti itu terus kehilangan sokongan daripada pengundi bukan Melayu.
Bertindak keras terhadap PasMa pula mungkin akan menyebabkan golongan profesional tidak berminat lagi terhadap Pas. Akhirnya, Pas menjadi semakin mengecil sokongannya, terutama di kawasan bandar dan separa bandar.
Bebanding menjadikan Pas makin mengecil dan dijauhi, bukankah lebih baik jika PasMa lebih didekati daripada dimusuhi? (SH 17/10/2014)