Sehingga pengumuman rasmi dibuat oleh pihak Istana Selangor dan menunggu ketibaan detik 10 pagi, 23 September di mana majlis angkat sumpah jawatan Menteri Besar yang baru bakal berlangsung, PKR dan Pas terus kelam-kabut dan kalut dibuatnya.
PKR kelam-kabut dan kalut kerana calon pilihannya iaitu Dr Wan Azizah dikhabarkan bukan pilihan Sultan walaupun telah mempersembahkan bukti sokongan 30 Adun yang memihak kepadanya.
Sultan difahamkan lebih mungkin memilih Azmin Ali, Timbalan Presiden PKR yang juga Adun Bukit Antarabangsa dan dikatakan sudah pun menemubualnya bagi tujuan itu. Turut ditemubual oleh pihak Istana ialah Iskandar Abdul Samad, Adun Cempaka yang juga Pesuruhjaya Pas negeri dan Adun Sijangkang, Dr Ahmad Yunus Hairi.
Dengan kemungkinan Azmin menjadi pilihan untuk menggantikan Khalid Ibrahim, timbul desakan agar beliau menyatakan pendirian menolaknya jika dipilih oleh Sultan. Desakan yang lebih ekstrem iaitu agar beliau dipecat daripada PKR jika menerimanya sudah pun mula kedengarakan ketika ini.
Hujahnya ialah jika Khalid dipecat kerana engkar arahan parti yang mahukannya berundur dan memberi laluan kepada Dr Wan Azizah, Azmin juga jika menerima perlantikan Sultan turut dianggap engkar dan menghalang Presiden PKR itu daripada menjadi Menteri Besar Selangor yang baru.
Walaupun sehingga ini PKR tetap bertegas dan berkeras dengan pencalonan tunggal Dr Wan Azizah, ada juga laporan yang menyebut bahawa Azmin sudah pun mencapai kompromi dengan Anwar Ibrahim mengenai kedudukannya jika dilantik oleh Sultan.
Adalah dipercayai kompromi Anwar dan Azmin itu termasuk beberapa hal dalam pentadbiran negeri seperti perlantikan Exco, pembahagian tugas, pemilihan pegawai di pejabat Menteri Besar serta pengukuhan lagi peranan parti dalam keputusan-keputusan penting, namun yang jauh lebih penting tentulah untuk segera mengakhiri kemelut yang sudah lama berpanjangan itu.
Hanya dengan Anwar berjaya meyakinkan PKR, DAP dan 30 Adun yang memberi sokongan kepada Dr Wan Azizah untuk mengalih sokongan kepada Azmin pula, barulah isu ini menampakkan jalan penyelesaiannya.
Namun Pas tetap bernasib malang. Parti itu terus kelam-kabut dan kalut meskipun belum pasti salah seorang Adunnya dilantik sebagai Menteri Besar. Jika sebelum ini, parti itu gagal membuat keputusan jitu dan muktamad sama ada mahu menerima atau menolaknya jika dilantik oleh Sultan, setelah tersebar perkhabaran bahawa dua Adunnya, Iskandar Samad dan Dr Ahmad Yunus turut ditemubual oleh pihak Istana, keadaannya bertambah parah lagi.
Tidak saja peringkat pemimpin yang berbeza pendapat, malah dalam muktamar Pas di Johor yang berakhir hari ini, perdebatan mengenainya masih panas dan bercelaru. Lebih membingungkan ialah kumpulan profesional yang berpegang kepada ikrar dan janji bahawa jawatan itu adalah milik PKR mahukan Pas menolaknya manakala kelompok ulama pula mahukan Pas menerimanya dengan alasan “tidak mahu bergaduh dengan Istana.”
Sehingga ini jelas belum ada kata putus yang jitu dan muktamad mengenainya. Tetapi isu ini telah menjadikan muktamar bagaikan terbelah dua dengan aksi jerit-menjerit, boo dan jurang yang semakin menjarak antara kumpulan ulama dan profesional dalam parti itu.
Apa yang menghairankan ialah di ketika Pas mengatakan kerusi Menteri Besar itu milik PKR dan berikrar untuk terus kekal dalam PR, tetapi keinginan, keghairahan dan dambaan terhadap jawatan yang sudah dipersetujui bukan milik mereka, tetap berterusan.
Setelah dua Adunnya ditemubual oleh Sultan Selangor pula, stimnya golongan ulama kepada jawatan Menteri Besar makin menjadi-jadi sedangkan belum pasti pun lagi akan dilantik. Baru temubual saja tapi kelompok inilah yang paling nyaring bersuara mahukan Pas menerima saja perlantikan itu nanti.
Ada pula yang beranggapan oleh kerana dua Adun Pas ditemubual oleh Sultan berbanding PKR hanya Azmin seorang, maka peluang Pas untuk menjadi pilihan juga tentulah lebih cerah.
Tetapi berbanding Azmin dan PKR yang sudah ke depan dengan menggerakkan kompromi, Pas nampaknya tidak melakukan persiapan apa-apa jika benar wakilnya nanti dipilih oleh Sultan. Pas, terutama golongan ulama hanya riuh mahukan jawatan itu tetapi bagaimana untuk menukar sokongan minoriti kepada majoriti serta mengelakkan jadi kerajaan sementara saja, masih kabur lagi. – SH 20/09/2014.