Jika ada parti politik yang paling pelik dan memeningkan kepala orangramai ketika ini, jawapannya pastilah tidak lain selain Pas atau nama penuhnya Parti Islam Semalaysia. Hanya dengan satu isu iaitu pertukaran Menteri Besar Selangor, Pas terus jadi kalut, keliru, banyak buat U turn dan masuk beberapa simpang tetapi akhirnya berhenti di tengah-tengah jalan seolah-olah membiarkan kena langgar atau maki hamun dengan orang lain.
Bukan saja orang yang berada di dalam kenderaan Pas jadi pening kepala, bahkan mereka yang mengekor di belakang dan berada di sekeliling turut menepuk dahi dengan karenahnya.
Selain beberapa tindakan U turn dan tidak konsisten sebelum ini sudah dianggap cukup menghairankan bagi sebuah parti yang membawa label Islam, tindakan Pas melalui Presidennya Haji Hadi Awang mengemukakan tiga nama calon iaitu dua daripada PKR dan satu daripada Pas bagi jawatan Menteri Besar Selangor sekurang-kurangnya tentulah memperlihatkan Pas memasang angan-angan dan impian bagi jawatan tersebut.
Lebih-lebih lagi, sebelum itu melalui keputusan Haji Hadi juga yang mendakwa beliau mempunyai kuasa berbuat demikian, beliau telah bertindak menghantar tiga nama yang kesemuanya daripada Adun Pas untuk menggantikan Khalid Ibrahim.
Tambah terserlah keghairahan impian dan angan-angan Pas terhadap jawatan tertinggi di negeri Selangor itu apabila Haji Hadi juga secara terbuka memperlekeh Presiden PKR, Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai tidak berkelayakan dan kurang berkemampuan mengisi jawatan tersebut.
Ketidaklayakan Dr Wan Azizah itu kemudian disahkan pula oleh Dr Harun Din melalui hebahan secara meluas ti TV3 dan akhbar-akhbar arus perdana yang mewakili Majlis Syura yang merupakan badan kedua tertinggi dalam Pas selepas muktamarnya.
Secara logiknya, apabila seseorang itu mengatakan pihak lain tidak layak, maksud tersiratnya tentulah pihaknya saja yang layak. Dengan itu, sesiapa saja yang normal dan waras fikirannya tentulah beranggapan Pas dan Haji Hadi berasakan Adun-Adun daripada parti itu lebih layak untuk mengisi jawatan Menteri Besar Selangor.
Namun, dalam mesyuarat jawatankuasa Pas hari ini, parti itu membuat keputusan sekali lagi bahawa mereka tidak akan menuntut jawatan Menteri Besar itu kerana ia adalah milik PKR. Kalau sudah tahu, sedar dan insaf kerusi itu milik PKR, buat apa pula dicalonkan Adun Pas untuknya?
Buat apa Haji Hadi bertegas beliau mempunyai hak untuk memilih calon Menteri Besar dengan mengambil contoh Kelantan dan Terengganu sebelum ini? Bikin apa pula kononnya pencalonan itu mendapat pengesahan daripada Majlis Syura?
Adakah tindakan Pas mengemukakan nama itu hanya untuk suka-suka dan bergurau senda dengan Sultan saja?
Dalam sidang akhbar selepas mesyuarat hari ini pula, dua keputusan yang berbeza dikeluarkan. Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu menyatakan Pas akan menolak jawatan itu jika ditawarkan oleh Sultan manakala Setiausaha Agung Pas, Mustaffa Ali tidak mahu membuat andaian awal yang mendahului keputusan istana jika Adun daripada parti itu dipilih tetapi mengulangi penegasan kerusi Menteri Besar adalah milik PKR.
Naib Presiden Pas, Sallahuddin Ayub juga turut menegaskan bahawa walaupun parti itu ingin menduduki kerusi Menteri Besar Selangor, tetapi waktunya bukanlah ketika ini. Pas, katanya, mahukan kerusi di ketika yang lain dan melalui cara yang betul dan turut mengatakan ia adalah milik PKR ketika ini.
Jelas bahawa, semua kenyataan pimpinan Pas ini seolah-olah ingin memberitahu Sultan bahawa mereka tidak mahukan jawatan Menteri Besar itu dan berharap bukan Adun Pas yang dipilih, meskipun Haji Hadi telah menghantar nama Adun Pas untuk dipertimbangkan.
Ia tidak lebih umpama seseorang yang memohon kerja tetapi kemudian menjaja cerita bahawa tidak berniat pun untuk menerimanya jika ditawarkan nanti. Jika tidak mahu bekerja, janganlah buang masa memohonnya. Sudah tentu orang seperti ini, kalau tidak dikata mereng dan tak berapa betul, pastilah ada satu atau dua wayar di kepalanya telah putus.
Begitulah gelagat Pas akhirnya, setelah membuat beberapa tindakan dan keputusan yang mengelirukan sehingga terpaksa melibatkan Majlis Syura untuk mengesahkan apa yang dilakukannya adalah betul dan sehingga TV3 juga memberi ruang di waktu perdana selama kira-kira 15 minit untuk mengadu-domba, rupa-rupanya apa yang dilakukan selama ini adalah gurau senda semata-mata.
Di sebalik turut mencalonkan nama dan mengatakan orang lain tidak berkelayakan, Pas juga sudah awal-awal lagi cuba memberitahu istana bahawa mereka juga tidak mahu jawatan Menteri Besar itu yang tentu maksudnya tiada Adun mereka yang layak sama untuk jawatan itu.
Aduhh, pening dan boleh sakit jantung dibuatnya.
Bukankah senang, kalau sudah tahu tidak mahu jawatan itu dan sedar tiada yang berkelayakan pula, janganlah sibuk-sibuk mahu memohon dan menghantar nama? Hantarlah ketiga-tiga nama itu daripada PKR saja, sekurang-kurangnya tidaklah Pas dianggap begitu pelik dalam tindakan dan keputusannya.(SH 07/09/2014)