Tembelang dan isi hati sebenar Pas dalam isu pencalonan Menteri Besar Selangor semakin terserlah. Jika dulu Pas kerap membuat U turn setiap kali bermesyuarat, kali ini Pas main langgar saja dengan mengemukakan calon-calon Menteri Besar sebagaimana yang diminta oleh Sultan Selangor tanpa sebarang mesyuarat.
Senarai calon yang dikemukakan tanpa mesyuarat itu pula sampai dua kali. Kali pertama, sebagaimana yang dilaporkan oleh banyak media, senarai tiga calon itu dikemukakan terus melalui pejabat Presiden Pas, Haji Hadi Awang mengandungi nama tiga Adun Pas iaitu Iskandar Samad, Salehan Mukhyi dan Dr Ahmad Yunus Hairi.
Senarai kedua, juga dihantar melalui pejabat Haji Hadi ialah Dr Idris Ahmad dan Yaakob Sapari daripada PKR dan Iskandar Samad daripada Pas sendiri.
Kalau dulu sikit-sikit tunggu mesyuarat baru hendak buat keputusan. Dalam isu Menteri Besar ini saja sudah banyak kali Pas bermesyuarat, malah ketika Majlis Pimpinan PR memutuskan hanya satu nama iaitu Dr Wan Azizah Wan Ismail dihantar kepada pihak istana sedangkan nama Azmin turut dicalonkan sama, seorang AJK Pas Pusat, Dr Zuhdi Marzuki telah menyelar wakil Pas dalam Majlis Pimpinan PR itu sebagai “ayam daging” kerana bersetuju tanpa banyak soal dengan ketetapan itu sedangkan menurut beliau, mereka sepatutnya menangguhkan dahulu sehingga Pas bermesyuarat sekali lagi mengenainya.
Wakil Pas dalam Majlis Pimpinan PR yang diketuai oleh Mohamad Sabu itu turut disindir dengan ungkapan, “takkan itu pun tak boleh buat.” Berikutan itu, Pas bermesyuarat sekali lagi pada 25 Ogos dengan keputusan seolah-olah menolak pencalonan tunggal Dr Wan Azizah itu dengan menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan Sultan Selangor memilih pengganti Khalid Ibrahim.
Nampak macam Pas begitu menitik-beratkan kepentingan bermesyuarat dan mahu mencapai keputusan kolektif dalam banyak perkara.
Namun, bermula dengan beberapa kali mesyuarat dalam isu Menteri Besar Selangor ini, Pas akhirnya membuat keputusan dalam gelap saja siapa yang mahu dicalonkannya untuk jawatan Menteri Besar Selangor ini, selain mengenepikan keputusan mesyuaratnya sendiri pada 17 Ogos yang memutuskan Dr Wan Azizah dan Azmin Ali sebagai calon-calon untuk dipertimbangkan oleh istana.
Tau-tau senarai nama tanpa mesyuarat yang dihantar terus daripada pejabat Presiden Pas kepada pihak istana, malah yang lebih mengejutkaan sampai ada dua senarai pula.
Sebab itu, Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu dan semua AJK Pas Pusat tidak mengetahui mengenai ada dua senarai yang dihantar dan siapa yang dicalonkan oleh Pas. Pas Selangor juga mengatakan ianya urusan Pas pusat. Senarai pertama yang mengandungi tiga nama Adun Pas difahamkan telah dihantar pada 2 September dan kemudian ditarik balik pada 3 September, lalu diganti dengan senarai yang mengandungi dua Adun PKR dan satu Adun Pas.
Walaupun Pas mengatakan senarai baru yang dihantar kepada istana itu mendapat kelulusan Majlis Syura, bahkan majlis itu juga dikatakan melarang mencalonkan Dr Wan Azizah dan Azmin, tetapi bila Majlis Syura bermesyuarat pun tidak didengari khabar beritanya. Sebelum ini, tiap kali mesyuarat begitu dihebohkan, malah disebarkan rakaman suara dan videonya sekali.
Selain tindakan Pas ini menunjukkan ketidakmatangannya dalam berorganisasi serta menghakiskan lagi keyakinan umum terhadap perjuangannya, apa yang dilakukan Pas ini juga menunjukkan mereka turut mengidam terhadap kerusi Menteri Besar Selangor dan tidak menghiraukan lagi permuafakatan yang telah dimetrai bersama PKR dan DAP sebelum ini.
Melalui senarai pertama yang mengandungi nama tiga Adun Pas, jelas parti itu mengharapkkan Sultan akan memilih salah satu daripadanya setelah yakin calon tunggal iaitu Dr Wan Azizah yang dicalonkan oleh PKR dan DAP akan ditolak oleh pihak istana.
Melalui senarai kedua yang mengandungi nama dua Adun PKR dan satu Adunnya sendiri, Pas jelas menolak Dr Wan Azizah sambil berharap pertimbangan Sultan akan memihak kepadanya memandangkan calon Pas yang dikemukakan iaitu Iskandar adalah Exco Kerajaan Negeri manakala dua calon PKR iaitu Dr Idris dan Yaakob hanyalah Adun biasa yang tidak pernah ada pengalaman dalam pentadbiran kerajaan negeri.
Sebenarnya tidaklah salah Pas turut mengidam jawatan Menteri Besar dan berstrategi ke arahnya, namun berpijaklah di bumi nyata. Adun Pas hanya tinggal 13 orang saja lagi daripada 15 yang ada kerana Shaari Sungib dan Hasnul Badaruddin sudah pun menyatakan sokongan melalui akaun bersumpah kepada Dr Wan Azizah.
12 Adun UMNO pula mungkin hanya bersikap berkecuali kerana terguris hati dengan kenyataan seorang Adun Pas, Salehan Mukhyi sebelum yang mengatakan empat Exco bertindak kekal dalam pentadbiran kerajaan negeri bersama Khalid Ibrahim adalah untuk mengelakkan rizab RM3 billion daripada dibalun oleh UMNO.
Ketika Khalid memecat Exco daripada PKR dan DAP juga, Exco daripada Pas ini mengugut akan meletakkan jawatan sekiranya wakil daripada UMNO dilantik sebagai Exco.
Ini menunjukkan Adun Pas Selangor tidak bersedia untuk bekerjasama dengan UMNO walaupun pimpinannya di pusat cenderung ke arah kerjasama itu. Dalam masa yang sama, UMNO Selangor juga difahamkan terguris hati dengan kenyataan Adun Pas itu. Sudah tentu Adun UMNO akan jual mahal jika Pas mengharapkan sokongan mereka pula.
Dengan hanya ada 13 Adun, bagaimana Pas mahu mentadbir negeri? Perlembagaan juga tidak melayakkan Adun Pas diangkat sebagai Menteri Besar kerana tiada sokongan majoriti daripada Adun. Tidak mungkin Sultan Selangor dan Penasihat Undang-undang Negeri tidak mengetahui perkara ini.
Dan kalau pun, mungkin kerana sudah ditetapkan sejak di Loh Mahfuz lagi, seorang Adun Pas dilantik juga oleh Sultan sebagai Menteri Besar menggantikan Khalid Ibrahim, hayatnya juga mungkin tidak lama kerana terdedah kepada usul undi tidak percaya dalam DUN yang akan diadakan selewat-lewatnya November ini.
Dengan PKR dan DAP mempunyai majoriti 30 Adun, senang-senang Menteri Besar daripada Pas itu disingkirkan daripada kerusinya. Dapatlah jadi Menteri Besar dalam tempoh dua bulan saja.
Sebenarnya tindakan Pas mencalonkan Adunnya sendiri lebih menyulitkan keadaan dan meletakkan Sultan Selangor dalam keadaan yang lebih sukar. Kalau pun Pas tidak mahu kepada Dr Wan Azizah atau kecewa dengan Azmin yang pernah menolak pencalonan sebelum ini, bukankah lebih mudah jika semua nama yang dicalonkan itu daripada PKR saja?
Akhirnya biarlah Sultan memilih di kalangan Adun PKR yang diperkenankan oleh baginda sebagai Menteri Besar dan jika timbul apa-apa masalah pula, biarlah PKR menyelesaikannya.
Ianya lebih menepati persefahaman sebelum ini bahawa jawatan Menteri Besar itu milik PKR dan Pas tidak menginginkannya sebagaimana yang diulangnya banyak kali secara terbuka. Sekaligus nama Pas yang menjunjung imej dan perjuangan Islam tidak tercemar dan terus dihormati. (SH 06/09/2014)