Presiden UMNO, Najib Razak dan Presiden Pas, Haji Hadi Awang sedang meniti detik-detik yang mencemaskan ketika ini. Kedua-duanya ingin diundurkan kerana dianggap tidak relevan lagi meneruskan perjuangan masa depan. Jika sikap liberal dan toleransi Najib seperti dalam isu ISA, Ordinan Darurat dan Akta Hasutan menjadi antara punca penolakannya, sikap tiada pendirian Haji Hadi pula menjadi asas kepimpinannya tidak lagi diperlukan.
Najib Razak yang kini kian terbelenggu dengan isu Akta Hasutan yang membuatnya terperangkap antara menunaikan janji dengan rakyat dengan kehendak majoriti dalam UMNO yang mahu akta itu dikekalkan, sedang diasak oleh bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad. Sejak mengumumkan penarikan balik sokongannya terhadap Najib dan berjanji akan terus memberikan teguran biar pun akhirnya tinggal keseorangan, Mahathir terlihat benar-benar mengotakan kata-katanya.
Beliau kini semakin agresif menyuarakan pandangan, lebih kerap muncul di tempat awam dan mulai rajin menemui pihak-pihak tertentu seperti NGO dan seumpamanya.
Biarpun dalam setiap tegurannya, Mahathir menafikan ianya berupa tindakan untuk memaksa Najib meletakkan jawatan, tetapi sasaran ke arah itu nampaknya semakin jelas kelihatan. Selain semakin kerap menyebut perkataan perletakan jawatan Najib, Mahathir sudah mulai terbuka menyatakan kebimbangannya mengenai kemungkinan BN akan kalah dalam pilihanraya akan datang jika Najib terus kekal di singgahsana Seri Perdana.
Dalam pertemuan dengan sekumpulan NGO semalam, Mahathir dikhabarkan memberitahu secara terus-terang mengenai kemungkinan BN akan kalah jika parti dan kerajaan terus dipimpin oleh Najib yang dililiti dengan pelbagai kelemahan, kesilapan, isu serta masalah yang kian berlarutan.
Di ketika Mahathir mengatakan penarikan balik sokongannya bukan bertujuan memaksa Najib meletakkan jawatan dan kemudian menyatakan pula kebimbangannya mengenai kekalahan BN kepada sekumpulan NGO, sudah tentu matlamatnya ialah penggantian Najib. Mahathir kini bukan lagi mahukan Najib berubah dan hanya menunggu masa saja berterus-terang untuk menyingkir dan mengganti Najib.
Bagaimana beliau bercakap mengenai kekalahan BN dan kekerapan menemui NGO ini, ia tidak ubah seperti apa yang dilakukannya terhadap Abdullah Badawi selepas pilihanraya 2008 dulu. Mahathir kini dipercayai bukan saja akan terus bercakap mengenai kelemahan Najib dan kekalahan BN secara terbuka, tetapi dengan cara menemui sebanyak mungkin NGO, kumpulan atau individu yang berpengaruh dalam masyarakat.
Dengan cara demikian, suara hatinya akan lebih tersebar luas dan mudah dipercayai. Langkah Mahathir kini sudah bermula, ia akan terus memuncak dan hanya akan berakhir setelah Najib benar-benar disingkirkan. Percayalah…
Presiden Pas, Haji Hadi Awang juga menerima nasib yang hampir sama berikutan kemelut Menteri Besar Selangor yang sudah berlarutan sejak beberapa bulan lalu. Kemelut itu yang pada mulanya hanya berkisar tentang pendirian Pas yang sering berubah-ubah, kini sudah semakin jelas berubah kepada perlunya Haji Hadi diganti pula.
Pendedahan terbuka beberapa AJK Pas mengenai pendirian parti dan apa yang berlaku dalam mesyuarat, penubuhan PasMa, serangan terhadap ulama, saranan Timbalan Presiden Pas sendiri, Mohamad Sabu agar golongan itu menaik taraf diri bagi dilihat relevan dengan perjuangan semasa Pas, tidak lain adalah tanda-tanda awal perlunya teraju parti diganti baru.
Serentak dengan pendedahan AJK Pas, Nasharuddin Tantawi mengenai suara-suara dalam PasMa yang mahu menyingkirkan Haji Hadi, Pas di dua negeri pula sudah pun menghalang ahlinya terlibat dalam apa juga perkara berkaitan PasMa yang jelas memperlihatkan kebimbangan ke arah itu.
Pendedahan dan larangan itu menunjukkan sudah adanya perpecahan dan kebimbangan terhadap usaha-usaha menyingkirkan Haji Hadi. Di sebalik kelemahan Haji Hadi kian didedahkan dan kepimpinan ulama dipertikaikan, Pas sekarang seolah-olah sudah terbelah dua antara puak Taliban dan Erdogan. Sementara golongan yang mahu mempertahankan Haji Hadi mula bersuara, kebimbangan mengenai tingkah laku Haji yang seolah-olah tidak sukakan kemenangan PR dalam pilihanraya akan datang sebenarnya sudah pun lama berkembang dalam Pas.
Sikap dan pendirian Haji Hadi dalam isu Menteri Besar Selangor dan membiarkan masalah calon bertindih di beberapa kawasan dan disusuli dengan kenyataan mengenai pil kuda sebelum pilihanraya lalu, adalah antara perkara-perkara yang dibimbangi akan diulanginya semula menjelang pilihanraya akan datang.
Jika itu berlaku lagi, sebagaimana tindak-tanduk Haji Hadi dalam isu Menteri Besar Selangor, bukan saja Pas bergelora tetapi juga menyebabkan PR retak dan seterusnya membantutnya harapan untuk menjejakkan kaki ke Putrajaya. Bagi memastikan Pas bersatu hati dan kekal dengan PR, satu-satunya jalan yang dianggap munasabah ialah menyingkirkan Haji Hadi.
Jika Najib ingin disingkirkan kerana bimbang BN kepimpinannya akan membawa kekalahan, Haji Haji pula ingin dikeluarkan kerana beliau dianggap penghalang kepada kemenangan. Dalam kedua-dua parti, walaupun UMNO dan Pas saling berebut kuasa, namun kedua-dua penerajunya menjadi semakin tidak diperlukan lagi. (SH 16/09/2014)