Apabila Azmin Ali akhirnya dilantik sebagai Menteri Besar Selangor, ramai yang mengatakan Langkah Kajang telah gagal. Setelah usaha menjadikan Anwar Ibrahim sebagai Menteri Besar menggantikan Khalid disekat melalui keputusan Mahkamah Rayuan yang bersidang secara tergesa-gesa, kemudian percubaan meletakkan Dr Wan Azizah Wan Ismail juga gagal dan penyudahnya Azmin yang mendapat perkenan Istana, Langkah Kajang dianggap sebagai sia-sia saja.
Daripada kaki lima sehinggalah balairong istana, isu mengenai Langkah Kajang telah menarik perhatian banyak pihak untuk memperkatakannya dan hampir semuanya mengatakan ianya bukan saja gagal dan sia-sia, malah telah memecah-belahlan hubungan sesama rakan dalam PR.
Ada pula yang tidak faham mengatakan jika benar Langkah Kajang itu masih berfungsi, kenapakah Dr Wan Azizah tidak dilantik oleh Azmin sebagai salah seorang Exco Kerajaan Negeri?
Yang lebih tidak faham pula mengatakan, bukankah lebih baik jika sejak awal lagi PKR mencalonkan Azmin sebagai pengganti Khalid dan tidak perlu susah-susah mengadakan pilihanraya kecil di Kajang?
Secara umumnya, Langkah Kajang diwujudkan untuk menggantikan Khalid dengan Anwar dan seterusnya memudahkan lagi perjalanan PR menawan Putrajaya dalam pilihanraya umum akan datang. Ia mirip seperti yang pernah dilakukan oleh Erdogan di Turki dan Jokowi di Indonesia.
Sebelum berjaya menawan Turki dalam pilihanraya, Erdogan adalah Datuk Bandar Istanbul manakala Jokowi pula adalah Gabenor Jakarta. Kejayaan memimpin dan melakulan pembaharuan di kedua-dua bandar itulah yang akhirnya menjadi salah satu penyebab pengundi memilih Erdogan sebagai Perdana Menteri Turki (kini Presiden) dan Jokowi sebagai Presiden Indonesia. Rakyat mahukan kejayaan di Istanbul dan Jakarta itu diaplikasi sebagai model contoh ke seluruh negara pula.
Ketika Langkah Kajang ini dimulakan, Mahathir sendiri mengakui ia sebagai landasan untuk Anwar membuktikan kemampuannya mentadbir sebuah negeri untuk memudahkan rakyat menilainya sebagai bakal Perdana Menteri.
Menyedari bahayanya Langkah Kajang itu, tarikh pilihanraya DUN Kajang dilewatkan penetapan tarikhnya sehingga 54 hari daripada tarikh perisytiharan kekosongannya dan dalam tempoh itulah Mahkamah Rayuan bersidang secara tergesa-gesa dan sehingga jam 7.00 malam untuk memutuskan Anwar bersalah dan terhalang untuk menjadi calon pilihanraya.
Lantaran itu, Dr Wan Azizah dipilih sebagai penggantinya. Tetapi Khalid kemudiannya enggan berundur sehingga akhirnya menimbulkan pelbagai masalah dan kekacauan. Tambah haru-biru apabila Pas sebagai rakan gabungan tidak menunjukkan kata sepakat dan muafakat bersama PKR dan DAP walaupun mengakui kerusi Menteri Besar itu adalah milik PKR.
Azmin tidak dicalonkan oleh mana-mana parti. PKR dan DAP sehingga akhirnya konsisten dengan pencalonan tunggal Dr Wan Azizah. Pas pula berubah-ubah dan nama akhir yang dicalonkan ialah Dr Idris Ahmad, Yaakob Sapari dan Iskandar Abdul Samad.
Azmin dipilih oleh Istana bukan saja atas keyakinan kerusi Menteri Besar itu milik PKR tetapi juga kerana kepercayaan memperolehi sokongan majoriti. Tetapi sokongan majoriti itu hanya diperolehi daripada setelah adanya sikap tolak ansur dan saling menghormati bagi mengakhiri kemelut yang sudah lama berpanjangan. Azmin kini bukan saja memperolehi sokongan daripada 30 Adun yang sebelumnya bersama Dr Wan Azizah, malah juga daripada baki 13 Adun Pas.
Setelah Azmin dilantik, adakah Langkah Kajang sebenarnya telah gagal? Dari segi menjadikan Anwar dan Dr Wan Azizah sebagai Menteri Besar, ia mungkinlah boleh dikira gagal tetapi dari segi matlamat menyingkirkan Khalid dan menggantikannya dengan pemimpin lain yang boleh melancarkan lagi usaha menawan Putrajaya, ia tidaklah begitu jauh tersasar. Begitu juga untuk menjadikan kepimpinan di Selangor sebagai contoh tentang kemampuan mentadbir Putrajaya masih lagi relevan ditampilkan melalui Azmin yang merupakan anak didik dan orang kepercayaan Anwar.
Setelah sokongan diberikan kepada Azmin juga, Dr Wan Azizah tidak perlu menjadi Exco Kerajaan Negeri berikutan kedudukannya dalam PKR yang lebih tinggi. Dr Wan Azizah hanya perlu menjadi pemantau dan rujukan bagi menentukan perjalanan kerajaan negeri seiring dengan kehendak parti.
Adanya Langkah Kajang juga telah menjadikan UMNO dan BN kucar-kacir sehingga mereka menggerakkan pelbagai usaha menghalang kemaraan Anwar dan Dr Wan Azizah. Jika Langkah Kajang itu tidak dibimbangi, tentulah Anwar tidak dihalang sejak awal lagi. Apa yang tidak disangka oleh UMNO dan BN ialah Azmin akhirnya menjadi pilihan Sultan.
Yang menjadi harapan serta doa UMNO dan BN ialah agar pilihan Sultan menggantikan Khalid itu biarlah Adun PKR yang lain atau lebih molek lagi jika daripada kalangan Adun Pas. Tetapi dengan Azmin yang dipilih oleh Sultan, bukan saja perpaduan dalam PKR tidak pecah tetapi juga persefahaman sesama rakan dalam PR lebih mudah untuk dipulihkan.
Andaian bahawa Langkah Kajang menyebabkan perpecahan dan suasana tidak baik dalam masyarakat, ia adalah perkara normal dilakukan mana-mana parti politik. UMNO ketika dipimpin oleh Mahathir telah memecat dan menyingkirkan paling ramai pemimpinnya dan menyebabkan perpecahan dan fitnah paling banyak berlegar tetapi tindakan itu bukan saja menyebabkan beliau mampu bertahan selama 22 tahun tapi juga memunculkan UMNO dan BN menang setiap kali pilihanraya umum diadakan.
Dengan kedudukan Azmin sebagai Timbalan Presiden PKR yang sudah mengharungi gerakan reformasi sejak hari pertama lagi, beliau tentulah lebih faham bagaimana menggerakkan usahanya ke arah melawan UMNO dan BN. Di Selangor, melalui pemilihan Azmin dan disertai dengan barisan Exco daripada majoritinya golongan muda yang aktif dan berbakat, kerajaan negeri selepas ini lebih mudah bergerak ke hadapan mengumpulkan kekuatannya.
Dengan contoh kejayaan di Selangor dan Pulau Pinang selepas ini serta Kelantan pula segera memperbaiki banyak kelemahannya sepertimana yang dibangkitkan oleh Ketua Pemuda Pas, Suhaizan Kaiat dalam muktamar baru-baru ini, peluang PR dalam pilihanraya umum akan datang masih terbuka luas lagi.
Selain UMNO dan BN tidak banyak berubah, kebencian rakyat kepada pemimpinnya juga sentiasa bertambah. Di mana-mana suara kebencian itu didengari sekarang ini. Ditambah dengan tindakan bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad tidak lagi menyokong kepimpinan Najib yang dianggapnya gagal dan lemah, sandaran harapan rakyat tidak lain hanyalah PR.
Berakhirnya kemelut di Selangor ini adalah peluang semua pihak dalam PR untuk sama-sama bergerak ke hadapan mencapai matlamat sebenar Langkah Kajang itu. Anwar dan Dr Wan Azizah hanyalah alat untuk mencapai matlamat yang dituju dan terkorbannya mereka berdua itu, tidak sama-sekali menjadikan matlamat dan tujuan sebenar Langkah Kajang turut hancur berderai.
Apatah lagi aura awal menunjukkan dengan perlantikan Azmin bersama barisan Exconya yang muda-muda ini, peluang UMNO untuk bangkit dan menawan semula negeri itu jadi berjerebu semula. (SH 27/09/2014)