Talkin Untuk Najib

Di sebalik kemelut pertukaran Menteri Besar Selangor yang masih berlarutan sehingga kini, ramai yang merasakan bahawa Perdana Menteri, Najib Razak agak sedikit terselamat daripada sebarang kritikan, kecaman dan serangan. Untuk beberapa ketika, memang terlihat Najib agak kurang menjadi sasaran kerana tumpuan kritikan lebih terarah kepada Anwar Ibrahim, Haji Hadi Awang, PKR dan Pas.

Anwar dijadikan bahan kritikan kerana dianggap mula-mula mencetuskan pertukaran Khalid Ibrahim yang kemudian disusuli dengan ketegasan untuk mencalonkan satu nama saja iaitu Dr Wan Azizah Wan Ismail, berbalah dengan Pas dan sehinggalah kepada terzahirkan perasaan dukacita Sultan Selangor kepada keengganan mematuhi titah baginda.

Haji Hadi pula menjadi sasaran kritikan berikutan pendirian Pas yang berubah-ubah setiap kali bermesyuarat untuk memutuskan siapa yang harus dicalonkan oleh parti itu bagi menggantikan Khalid, sehinggalah akhirnya Presiden Pas itu mencalonkan nama pengganti Khalid mengikut kehendaknya sendiri sahaja.

Berpanjangannya isu Menteri Besar ini secara tidak langsung menjadikan Najib agak kurang menjadi sasaran kerana isu Anwar dan Haji Hadi lebih mempunyai nilai berita dan mahu diketahui oleh orangramai berbanding hal-hal melibatkan Perdana Menteri, isteri atau kemewahannya.

Sebab itu, apabila Najib tetap bertahan untuk memansuhkan Akta Hasutan meskipun ditentang oleh majoriti ahli UMNO dan UMNO bahagian-bahagian sehingga Muhyiddin Yassin kemudiannya mengatakan pendirian kerajaan sebenarnya masih belum muktamad sama ada mahu menghapus atau mengekalkan akta itu, ia tidak menjadi ombak tsunami dalam politik UMNO walaupun jelas kelihatan wujudnya pertentangan antara kedua pemimpin itu.

Isu Rosmah yang setiap hari menghiasi dada akhbar dan menerima pengikhtirafan di kampung asalnya di Minangkabau juga tidak lagi menarik perhatian seperti dulu.

Semuanya adalah kerana isu berkaitan Menteri Besar Selangor, Anwar dan Haji Hadi lebih besar lagi nilai beritanya.

Tetapi bagi bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad yang barangkali sudah lama menyimpan perasaan tidak puas hati dan “geram” terhadap Najib, di ketika inilah juga beliau cuba menyelit untuk “membelasah” Perdana Menteri. Bermula dengan tulisan di blognya yang mengkritik beberapa dasar Najib seperti penghapusan ISA, Ordinan Darurat, pemberian tunai dan sebagainya serta mengumumkan menarik balik sokongannya, Mahathir nampaknya bukan sekadar acah-acah dalam tindakannya ini.

Meskipun sebelum ini beliau menyatakan teguran dan penarikan sokongan itu bukan bertujuan untuk memaksa Najib meletakkan jawatan, sebaliknya menjurus ke arah menuntut perubahan dalam banyak tindakan dan keputusannya sebagai Perdana Menteri, tetapi kini sindirin ke arah perletakan jawatan Najib sudah mulai kedengaran.

Dalam satu majlis semalam, apabila ditanya apakah yang akan dilakukannya sekarang jika beliau masih Perdana Menteri, secara spontan tetapi penuh makna Mahathir menjawab, “saya akan meletakkan jawatan.”

Walaupun jawapan itu tidak menujukan secara langsung meminta Najib meletakkan jawatan, tetapi dalam budaya Melayu yang terkenal dengan kiasan, sindiran dan ungkapan “pukul anak sindir menantu”, adalah jelas bahawa ia adalah bunga-bunga ke arah perletakan jawatan Najib. Semua orang Melayu juga memahami bahawa ungkapan Mahathir ditujukan secara khusus kepada Najib dan mahukannya berundur dengan segera.

Apatah lagi selepas itu, Mahathir juga mengkritik 1MDB, sebuah badan pelaburan yang ditubuhkan Najib sejak menjadi Perdana Menteri yang disifatkannya sebagai dana untuk berlagak sebagai orang kaya sedangkan ianya menambahkan lagi hutang negara. 1MDB adalah badan pelaburan yang menjadi ikon Najib dalam menonjolkan dirinya dalam bidang ekonomi dengan melabur dalam pelbagai bidang serta membawa masuk pelaburan daripada luar, terutamanya daripada Pak Arab yang kaya-raya.

Hari ini pula, dalam tindakannya yang terus tidak senada dengan Najib dan UMNO, Mahathir seolah-olah memberi suntikan semangat kepada musuh politiknya, Anwar Ibrahim apabila menyatakan selanjang 22 tahun menjadi Perdana Menteri, beliau tidak pernah mengemukakan lebih daripada satu nama kepada Sultan untuk dicalonkan sebagai Menteri Besar di di mana-mana negeri.

Sepanjang zaman saya, saya hanya serah satu nama saja. Saya tidak pernah bermasalah dengan mana-mana Sultan, tegas Mahathir lagi.

Kenyataan Mahathir ini terang-terang merupakan pukulan kepada UMNO yang berlumba-lumba menyerang Anwar sebelum ini dengan menuduhnya biadap kerana tetap berkeras dengan mencalonkan satu nama meskipun pihak istana meminta lebih daripara dua nama. Dalam isu ini, Najib juga turut menyerang Anwar dan PKR dengan tuduhan tidak memahami yang tersurat dan tersirat dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor.

Tetapi dalam Mahathir mula melihat Najib sebagai Perdana Menteri yang banyak melakukan kesilapan, beliau sebaliknya secara tersirat mengakui bahawa tindakan Anwar dalam kemelut di Selangor ini adalah betul dan menjadi amalan selama ini.

Dengan kritikan dan serangan yang semakin kerap dilontarkan oleh Mahathir kepada Najib, apa yang pastinya belum ternampak ada titik nokhtahnya dalam perkara ini, bahkan lebih mungkin menjadi lebih tersusun lagi selepas ini. Mahathir dipercayai akan terus bersuara, mengkritik dan menyerang Najib.

Melihat kepada sejarah masa lalu dan rekod permusuhannya dengan ramai orang, ditambah dengan keadaan kesihatannya yang semakin baik akhir-akhir ini, apa dilakukan oleh Mahathir ini tidak lain adalah bacaan talkin untuk kematian karier politik Najib.

Mahathir pula, hanya kematian yang sebenar mampu menghentikan apa yang sudah dimulakannya ini. (SH 11/09/2014)

Kongsikan artikel ini
No tags for this post.
Updated: 26 March 2019 — 1:31 pm

4
Leave a Reply

avatar
0 Comment authors
Anonymous1Crony Recent comment authors

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

  Subscribe  
newest oldest
Notify of
Anonymous
Guest
Anonymous

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau tidak pernah meminta Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak meletak jawatan sebagai Perdana Menteri. Sebaliknya beliau hanya memberi contoh dirinya bahawa beliau akan meletak jawatan jika dilantik sekali lagi sebagai perdana menteri. “Jika mereka melantik saya semula sebagai PM, saya akan letak jawatan kerana saya sudah melepasi masa…saya dah tua,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan buku ‘#WahaiMelayu’ karya Anas Zubedy, di sini hari ini. Dr Mahathir berkata demikian bagi mengulas laporan oleh sebuah portal berita semalam yang memetik beliau sebagai berkata bahawa beliau akan meletak jawatan jika menjadi perdana menteri pada hari ini, yang… Read more »

Anonymous
Guest
Anonymous

Dah banyak kerosakan yg dibuat oleh UMNO terhadap melayu terutama Tanah Melayu. Bukan Najib shj yg harus ditolak, sebaliknya UMNO itu sendiri perlu dtolak. Kewarganegaraan kpd semua kaum di Mlysia adalah hasil perjuangan UMnO mendapatkan kemerdekaan. Tok Janggut, Datuk Bahaman dss mati menuntut kemerdekaan, sedangkan UMNO hanya duduk dimeja dan sain dokumen, lalu merdekalah Mlysia versi UMNO.

Anonymous
Guest
Anonymous

Disini anda boleh baca perbezaan antara unity govt dan konsensus nasional yg hyk digembar gembur skrg…selamat membaca

http://ibnmustaffa.blogspot.com/2014/09/beza-ug-dan-kn.html

1Crony
Guest
1Crony

Siapa yang tidak mengenal Dr Mahathir Mohamad? Apabila beliau berkata sesuatu maka secara spontan beliau akan usahakan ianya supaya menjadi realiti. Selain bijak menangguk di air yang keruh, beliau juga amat licik dalam menjatuhkan musuh politiknya walau dengan apa cara sekalipun. Pernah di suatu ketika di tahun 1998 apabila sebilangan besar rakyat bangun (reformasi) berhimpun saban hari bagi menunjukkan kemarahan mereka di atas pemecatan dan kekejaman beliau ke atas DS Anwar Ibrahim (Tim Perdana Menteri) ketika itu, maka tindakan bijak beliau adalah berdiam diri dan hampir tidak keluar langsung kelibat beliau di media-medai penyiaran maupun di media-media cetak. Suatu tindakan… Read more »