Shahbudin…

Mencatat Hitam Putih Malaysia

Sebelum Jadi Kupang Tembaga, Undurlah Lid…

Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim kini nampaknya sedang diasak daripada segenap penjuru agar sedia melepaskan jawatannya bagi membolehkan penggantiannya dengan Dr Wah Azizah Wan Ismail menjadi kenyataan. Beliau yang sebelum ini agak berdegil tidak mahu meletakkan jawatan, lebih-lebih lagi setelah mendapat sokongan moral daripada Pas, semakin terperosok ke dinding akibat serangan terbuka daripada partinya sendiri.

PKR yang semakin terdesak untuk memastikan Khalid akhirnya sedia meletakkan jawatan, hari ini telah mengambil langkah yang tidak pernah dibuat oleh mana-mana parti sebelum ini apabila Setiausaha Agungnya, Saifuddin Nasution membangkitkan tentang intergriti dan masalah disiplin yang dihadapi oleh Menteri Besar Selangor itu.

Intergriti Khalid dipersoalkan berhubung penjualan tanah kerajaan negeri dan pemberian kontrak kepada sebuah syarikat yang dikatakan mempunyai hubungan rapat dengannya. Selain itu, isu hutangnya bernilai RM70 juta dengan sebuah bank yang turut didakwa sudah selesai, dikaitkan secara langsung dengan penjualan tanah dan pemberian kontrak itu.

Isu disiplin yang dikaitkan dengannya pula ialah kehadirannya dalam mesyuarat Majlis Pimpinan PKR yang sangat mengecewakan iaitu daripada hanya 42 kali daripada 136 mesyuarat sejak PR memerintah Selangor.

Meskipun Khalid menafikan dakwaan berkaitan rasuah dan penyelesaiannya hutangnya itu, sambil meminta agar dilaporkan kepada SPRM dan Bank Negara, hakikatnya Khalid kini sedang berdepan permusuhan terbuka daripada partinya sendiri. Sebarang penafian, laporan kepada SPRM dan Bank Negara sudah tidak membawa banyak makna lagi kerana cerita mengenainya sudah pun tersebar ke seluruh pelusuk negeri. Orang lebih cenderung mempercayai cerita ini daripada mendengar penafiannya.

Oleh kerana Saifuddin selaku Setiausaha Agung sudah membangkitkan isu intergriti dan disiplin ini secara terbuka, adalah jelas bahawa pendedahan ini direstui oleh PKR dan seluruh pimpinannya. Tidak guna lagi Khalid mahu mempertahankan dirinya kerana apabila beliau berlawan dengan organisasi, ruang untuknya menang sangat tipis.

Selain namanya sudah mulai tercemar, kegagalannya hadir dalam banyak mesyuarat parti juga menunjukkan beliau bukanlah pendokong parti yang sejati dan barangkali ada keghairahan lain yang lebih menggamitnya berbanding memperjuangkan parti. Lagi pula, tiada cemerlangnya sebagai pemimpin kalau kehadiran dalam mesyuarat sebegitu rupa.

Dalam masa yang sama, sudah timbul juga kemungkinan ura-ura beliau bakal dipecat jika terus berdegil tidak mahu mengundurkan diri sebagaimana yang dikehendaki oleh parti. Sebenarnya PKR boleh saja memecat Khalid atas pelbagai dakwaan seperti ingkar arahan parti berikutan keengganannya berundur itu.

Jika sampai dipecat akhirnya, ia tentulah lebih memalukan Khalid. Reputasi dan nama baiknya akan hancur sama sekali. Haji Hadi dan Pas yang selama ini mempertahankannya pun sudah tiada ruang lagi untuk membelanya. Kiranya bukan lagi menjadi ahli PKR, sudah tentulah Pas akan bersetuju tempatnya itu digantikan oleh Dr Wan Azizah.

Pas tentulah lebih mengutamakan parti berbanding individu dan sokongan yang diberikan oleh Haji Hadi sebelum ini pun adalah bersandarkan jika beliau masih ahli PKR.

UMNO yang selama ini berdiri teguh bersamanya juga akan turut hilang entah ke mana kerana ketika itu beliau sudah tidak bermanfaat apa-apa lagi. UMNO sedar bahawa kerjasama dengan Khalid seorang diri tidak mampu menghasilkan apa-apa.

Apa yang UMNO dan Kerajaan Pusat kehendaki iaitu MOU mengenai air dan pembinaan Projek Langat 2 sudah pun diperolehi dan ketika ini ia sudah memadai bagi mereka.

Di ketika yang sama, desakan pelbagai pihak agar Khalid berundur juga semakin kuat dan menyeluruh gemanya. Jika dulu hanya melibatkan orang-orang politik daripada PKR dan DAP, kini sudah ada ketua-ketua kampung juga yang tampil mendesaknya agar berundur.

Jika dibiarkan masa berlalu, mungkin lebih banyak kelompok dalam masyarakat seperti JKKK, penghulu, ketua kampung pencen, suri rumah, penghuni setinggan, penganggur dan sebagainya turut berani dan mengambil kesempatan menonjolkan diri mendesaknya turut berundur sama. Lebih haru jadinya nanti…

Semakin lama Khalid berdegil tidak mahu berundur, nilai dirinya semakin tidak berharga lagi. Sudah banyak kali diperingatkan bahawa beliau sepatutnya sedar bahawa dirinya secara individu tidak mampu melonjakkannya ke jawatan Menteri Besar Selangor, sebaliknya partilah yang meletakkannya di situ. Oleh itu, apabila parti menghendakinya berundur, beliau hendaklah akur tanpa banyak alasan.

Khalid kini sudah mula mendapat jawapan akibat sikap degilnya itu. Dengan PKR sendiri membangkitkan soal intergriti dan disiplin serta kemungkinan akan dipecat jika terus menunjukkan keras hati, Khalid mungkin akan terbiar keseorangan akhirnya.

Jika dipecat, setelah nama dan reputasinya dijejaskan dengan teruk, tiada siapa lagi yang akan sudi berdamping dengannya. Membubarkan DUN Selangor juga mungkin sudah terlambat kerana tiada sesiapa lagi berdiri di belakangnya. UMNO juga akan melihatnya sebagai menyusahkan kerana ketika ini UMNO tiada potensi untuk menang jika pilihanraya negeri diadakan.

UMNO Selangor yang baru kalah teruk dalam pilihanraya lalu, lebih bersedia bertarung semula dalam pilihanraya 2018 berbanding pilihanraya mengejut. Jika kalah lagi dalam pilihanraya mengejut, UMNO Selangor tiada peluang untuk bangkit lagi. Oleh itu, sambil memulihkan semangatnya, UMNO lebih suka menunggu saja pilihanraya umum nanti berbanding pilihanraya negeri secara mengejut.

Sebelum terasak lebih rapat ke dinding, didedahkan dengan macam-macam isu yang memalukan dan akhirnya menjadi kupang tembaga – tidak bernilai walau sesen pun di mata masyarakat, adalah lebih baik Khalid berundur secara baik dan terhormat. Sekurang-kurang namanya akan dikenang dan disebut juga sekali-sekala. (SH 04/08/2014)

0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

5 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
5
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x