PKR akhirnya membuat keputusan memecat Khalid Ibrahim sebagai ahli parti itu atas keengganannya mematuhi arahan agar berundur dan memberi laluan kepada Dr Wan Azizah Wan Ismail mengambil alih tempatnya sebagai Menteri Besar Selangor.
Dengan tidak lagi menjadi ahli PKR, beliau kini menjadi ADUN Bebas dan sudah hilang kelayakan moral untuk terus duduk di kerusi empuk Menteri Besar Selangor itu kecuali jika tidak lagi mempunyai perasaan malu dalam dirinya.
Selepas ini, sebagaimana yang pernah berlaku di Perak pada 2009, PR pastinya akan mengadap Sultan Selangor mengenai kedudukan Khalid yang sudah tidak lagi mendapat sokongan majoriti ADUN dan mengusulkan nama Dr Wan Azizah ssbagai Menteri Besar yang baru.
Suatu usul undi tidak percaya juga boleh diusulkan di dalam DUN untuk menyingkirkan Khalid.
Bagi Khalid Ibrahim pula, pilihannya ialah sama ada meletakkan jawatan secara terhormat atau mengadap Sultan Selangor bagi membubarkan DUN dan seterusnya suatu pilihanraya negeri akan diadakan. Jika beliau yakin pula mendapat sokongan majoriti ADUN, maka beliau tidak perlulah meletakkan jawatan atau membubarkan DUN, sebaliknya menunggu saja keputusan undi tidak percaya yang bakal dikenakan kepadanya.
Jika menang, kekallah sebagai Menteri Besar tetapi jika kalah, terpaksalah berundur.
Khalid juga boleh memilih menyertai Pas tetapi jika Pas menerimanya ia paling berisiko menyebabkan PR berpecah atau Pas disingkirkan daripada gabungan itu.
Tetapi dengan perkembangan terbaru ini, yang paling menarik ditunggu ialah apakah pendirian Pas kepada Khalid? Apakah Pas akan terus menyokongnya atau akhirnya turut beralih arah menerima pencalonan Dr Wan Azizah kerana akur dengan kedudukan Khalid yang bukan lagi ahli PKR serta demi masa depan bersama-sama rakan gabungan lain dalam PR?
Kiranya terus mempertahankan kedudukan Khalid, kemungkinan paling besar ialah Pas terpaksa “berpimpin tangan” dan “cium mulut” dengan UMNO kerana tanpa gandingan kedua-duanya di mana Pas mempunyai 15 kerusi dan UMNO mempunyai 12 kerusi, mustahil Khalid dapat dipertahankan daripada kedudukan sekarang. Soalnya sanggupkah Pas berbuat demikian?
Demi survival parti dan hubungan bersama PR, Pas juga boleh meninggalkan Khalid dan menyokong Dr Wan Azizah yang sudah mendapat sokongan daripada PKR dan DAP. Setelah menjadi ADUN Bebas, tiada kewajaran lagi Pas terus memberi sokongan walaupun tindakan ini bakal melukakan hati Khalid dan meletakkan Pas dalam kategori “kekasih yang tidak setia”.
Jika dilihat pendirian Pas sebelum ini, mereka beria-ia mempertahankan Khalid termasuk mengadu kepada Tuhan dengan mengadakan sembahyang hajat secara beramai-ramai serta melalui ketetapan Majlis Syura Ulama, adalah kerana keyakinan bahawa Menteri Besar itu tidak melakukan apa-apa pengkhianatan dari segi amanah kepada rakyat serta tidak didapati bersalah oleh agensi berautoriti seperti SPRM atau mahkamah.
Ditambah dengan beberapa kenyataan pemimpin Pas yang terus galak membela Khalid juga seolah-olah mereka sedia timbul dan tenggelam serta sehidup semati dengan Khalid?
Apakah selepas pemecatan ini pendirian Pas masih sama? Apakah Khalid terus mahu dipertahankan selama-lamanya? Adakah cinta kasih dan setia sehidup semati yang dilaungkan Pas selama ini bakal dibawa hingga ke hujung nyawa dan mereka rela mati bersama-sama dengan Khalid?
Mungkinkah Pas juga akan bersikap seperti habis madu sepah dibuang lantaran kedudukan Khalid semakin rapuh dan akan beralih arah kepada cinta yang baru?
Mungkin bukan sesuatu yang mustahil atau pelik jika Pas akhirnya membuat pusingan U atas alasan demi kepentingan PR yang telah dimetrai sejak sekian lama dan akur dengan kedudukan Khalid yang bukan lagi ahli PKR atau pelbagai alasan lain boleh dicipta untuk mewajarkannya, sebab resam dunia begitulah selalunya.
Kawan ketawa ada di mana-mana, kawan menangis tak kekal lama. Kawan politik lebih sukar setianya. Pesuruhjaya Pas Selangor, Iskandar Samad juga tidak berani lagi menyatakan sokongan kepada Khalid walaupun sudah menjangka pemecatan ini akan dilakukan, sebaliknya menyerahkan kepada parti membuat keputusan seterusnya.
Seharusnya, dalam keadaan sekarang Khalid lebih memerlukan sokongan serta kekuatan lagi daripada mereka yang pernah berjanji setia dengannya tetapi Iskandar Samad seperti telah memberikan isyarat semuanya akan berakhir di sini saja sedangkan sebelum ini suaranya begitu lantang mempertahankan Menteri Besar itu.
Jika Pas meninggalkan Khalid setelah berjanji setia sebelumnya, ia sebenarnya sekadar menambah satu lagi catatan sejarah bahawa bukan saja cinta Adam dan Hawa sering tergugat kerana mengejar pencarian lain yang lebih istimewa, malah persahabatan politik yang bertunjangkan kuasa sebenarnya lebih rapuh dan mudah terlerai ikatannya.
Walaupun Pas lebih disanjung jika kekal setia tetapi janganlah terkejut kiranya sebelum tarikh 17 Ogos nanti Khalid sudah pun ditinggalkan keseorangan kerana apabila permata sudah bertukar menjadi kaca, Pas pun sama menilainya tidak berharga lagi. (SH 10/08/2014)