Shahbudin…

Mencatat Hitam Putih Malaysia

Lagi Cepat Khalid Dipecat, Lagi Baik Untuk PR

PKR kini dalam perjalanan untuk berkerat rotan dan berpatah arang dengan Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim yang terus menujunjukkan kedegilannya serta tidak mahu berundur sebagaimana yang telah diarahkan berbuat demikian. Setelah mengharungi konflik yang agak panjang dan meretakkan hubungan dan hati banyak pihak, PKR akhirnya menghantar surat tunjuk sebab kepada Khalid yang perlu dijawab sebelum 8 Ogos depan.

Apa pun jawapan Khalid kepada surat tunjuk sebab itu bukan lagi perkara penting untuk dihalusi oleh PKR tetapi parti itu sudah mempunyai sandaran yang kuat untuk mengambil tindakan terhadapnya. Dengan memberi tempoh sehingga 8 Ogos untuk menjawab manakala Pas pula akan mengadakan mesyuarat pada 10 Ogos untuk membuat pendirian sama ada menyokong pertukaran Khalid atau mengekalkannya, sangat jelas bahawa sekiranya Khalid terus berdegil, hukuman yang menantinya ialah sama ada dipecat atau digantung keahliannnya.

Jika tidak mahu diambil sebarang tindakan, pilihan Khalid ialah berundur daripada jawatannya.

Dengan senario ini, Pas tidak mempunyai pilihan lain selain terpaksa akur dengan kehendak PKR meletakkan Dr Wan Azizah Wan Azizah sebagai Menteri Besar Selangor yang baru.

Ketika itu akan berakhirlah pertikaian dan kemelut berhubung isu Menteri Besar Selangor, kecuali jika Khalid bertindak balas membubarkan DUN Selangor ataupun kiranya Sultan Selangor menolak perlantikan Dr Wan Azizah.

Sebelum menghantar surat tunjuk sebab ini, PKR sudah pun membangkitkan soal intergriti dan disiplin berkaitan Khalid dengan menghantar nota setebal 50 mukasurat mengenai apa yang didakwa sebagai kemungkinan salah laku dan penyelewengan sepanjang pentadbirannya memimpin negeri itu. Ia bertujuan memberi gambaran, di sebalik kecemerlangannya yang digembar-gemburkan dengan kejayaan meningkatkan rizab negeri sehingga RM3 bilion, ada hal-hal lain yang perlu juga diketahui dan dinilai mengenai kepimpinannya.

Selain penyebaran nota itu bertujuan melemahkan moral dan wibawa Khalid, dalam masa yang sama beliau juga turut dibayangkan kemungkinan bakal dipecat daripada PKR atas alasan ingkar terhadap arahan parti yang mahukannya berundur.

Sebelum ini PKR mungkin beranggapan melalui pelbagai perkara yang dibangkitkan itu, Khalid akan segera mengalah. Namun oleh kerana tidak ternampak tanda-tanda ke arah itu, malah terlihat semakin ghairah untuk melawan, termasuk turut mengadakan solat hajat di kediamannya bagi terus mempertahankan jawatannya, PKR hari ini memutuskan untuk menghantar surat tunjuk sebab yang perlu dijawab dalam tempoh masa tiga hari saja.

Meskipun tindakan PKR menghantar surat tunjuk sebab dan mungkin memecat Khalid adalah suatu tindakan yang agak kejam, tidak berperikemanusiaan dan melupakan jasa-jasanya selama ini, tetapi membiarkan Khalid berdegil dan beraja dengan jawatannya seolah-olah ia milik peribadinya, adalah juga tindakan yang kejam dan zalim kepada PKR sendiri.

Oleh kerana Khalid susah untuk difahamkan agar sedia berundur secara baik dan menerima hakikat bahawa turun naiknya dalam politik adalah hak parti, tindakan menghantar surat tunjuk sebab dan kemudian memecatnya adalah sesuatu yang paling wajar sekali.

Baik PR, mahupun PKR atau Pas, mereka tidak pernah bergolak seteruk ini sebelum ini. Tetapi kerana kedegilan Khalid tidak mahu akur dengan kehendak parti yang memintanya turun, konflik telah berlaku di mana-mana. Ia bukan saja berlaku dalam PKR, dalam Pas malah juga meretaknya hubungan antara tiga parti dalam PR.

Sesiapa pun yang berperangai seperti Khalid tidak wajar ada dalam mana-mana parti politik sekali pun. Karenah seperti ini lebih banyak menimbulkan masalah dan kerosakan berbanding membawa kebaikan. Khalid mungkin ada jasa sebelum ini tetapi kedegilannya telah merosakkan seluruh keperibadian dan kepimpinannya.

PR secara relatifnya tidaklah terlalu bermasalah, tetapi hanya Khalid yang bermasalah tidak mahu akur dengan kehendak parti. Sejak namanya dicanang untuk ditukar melalui Langkah Kajang, Khalid telah berbuat banyak perkara yang menimbulkan karenah – daripada bertanding jawatan Timbalan Presiden, berbaik-baik dengan UMNO dan pemimpin pusat, menidakkan muafakat dan kemudian menunjukkan kedegilan yang berpanjangan.

Di satu peringkat juga dikhabarkan beliau tidak mahu lagi bertemu dengan Anwar dan Dr Wan Azizah serta menolak sebarang pertemuan bagi membincangkan kedudukannya. Jadi, bagaimana lagi yang boleh dilakukan untuk melembutkan hatinya?

Khalid sudah boleh dianggap penyakit merbahaya yang merosakkan organisasi dan harapan masa depan. Setelah BN berkuasa lebih 50 tahun, PR adalah harapan baru kepada rakyat. Meskipun PR bukan sempurna dan sering terbelit dengan pelbagai masalah, namun harapan rakyat terhadapnya tetap ada berbanding membiarkan BN terus berkuasa lagi untuk tempoh 50 tahun akan datang. Lagi pula, dengan adanya pembangkang yang kuat dan stabil juga, pelbagai rahmat turut melimpah kepada rakyat.

Atas sebab itu, PR harus memulihkan segera keyakinan rakyat terhadapnya. Mencantas Khalid yang sudah menjadi beban serta menimbulkan pelbagai masalah kepada PKR, Pas dan PR adalah suatu tindakan yang tidak boleh dilengahkan lagi. Lagi cepat, lagi baik. (SH 05/08/2014)

0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

19 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
19
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x