Marah benar kumpulan pro ulama dalam Pas kepada Adun Hulu Kelang, Shaari Sungib dan Adun Morib, Hasnul Baharuddin yang telah secara terbuka tampil menyatakan sokongan kepada Dr Wan Azizah bersama 15 Adun DAP serta 13 Adun PKR semalam. Kedua-dua mereka dituduh derhaka dan khianat kepada Pas kerana mendahului parti dalam bertindak sedangkan Pas akan bermesyuarat pada 17 Ogos ini untuk membuat pendirian mengenainya.
Pas Selangor yang empat Exconya kini menjadi tiang kepada Khalid paling marah dengan tindakan dua Adun berkenaan lantas memberi notis 24 jam untuk menarik balik sokongan yang telah diberikan kepada Dr Wan Azizah atau bakal menghadapi tindakan disiplin.
Di media-media sosial pula, beberapa pemimpin Pas lain turut melontarkan kecaman terhadap Shaari dan Hasnul dengan antaranya menyatakan mereka berdua adalah kekotoran yang harus dibersihkan dan ada pula yang mengaitkan tindakan itu kerana diberikan tawaran yang membuatkan “air liur meleleh” jika menolaknya.
Tidak diketahui sama ada notis ugutan yang dilontarkan oleh Setiausaha Pas Selangor, Mohd Kharuddin Othman itu dilayan atau “masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri” saja bagi Shaari dan Hasnul tetapi yang menjadi perbualan ramai juga ialah sejak bila Pas membudayakan taktik ugutan ini?
Sebelum ini Exco Selangor, Solehan Mukhyi juga memberi ugutan kepada Khalid Ibrahim bahawa empat Exco Pas akan menarik diri dan meletakkan jawatan kiranya wakil daripada UMNO dilantik sebagai Exco menggantikan wakil daripada PKR dan DAP yang telah dipecat.
Setelah Khalid akur dengan ugutan itu dan memberi jaminan tidak ada rancangan melantik Adun UMNO sebagai Exco, kini sekali lagi taktik ugutan digunakan, tetapi kepada dua Adun Pas pula. Bagaimanapun sehingga tempoh 24 hampir berakhir, tidak ternampak tanda-tanda dua Adun berkenaan “kecut perut” dengan ugutan itu dan sokongan kepada Dr Wan Azizah telah, akan atau bakal ditarik balik.
Berbanding dengan kenyataan Setiausaha Agung Pas, Mustaffa Ali yang akan menyiasat berhubung tindakan Shaari dan Hasnul manakala Ketua Pemuda Pas, Suhaizan Kayat pula mencadangkan kedua-dua Adun berkenaan dipanggil untuk mengetahui kedudukan sebenarnya, tindakan Pas Selangor nyata amat emosional, terburu-buru dan tidak matang.
Dalam masa yang sama, notis ugutan itu juga dipersoalkan ramai sama ada ia hanya kenyataan peribadi Setiausaha Pas Selangor berkenaan atau keputusan mesyuarat Pas Selangor?
Namun demikian, tindakan kedua Adun berkenaan yang tampil secara terbuka dan menandatangani akun bersumpah menyokong Dr Wan Azizah menambahkan lagi gelora dalam Pas. Parti itu terus berkecamuk, berbalah dan bersimpang siur menjelang mesyuarat pada 17 Ogos ini.
Walaupun Shaari dan Hasnul ketika ini dipersalahkan oleh kelompok tertentu dalam Pas sendiri, ada baiknya mereka menoleh sejenak ke belakang melihat apa yang telah berlaku seminggu dua sebelum ini. Jika Shaari dan Hasnul didakwa membelakangi parti, bagaimana pula dengan kenyataan Haji Hadi yang juga menyatakan sokongan terbuka kepada Khalid sebelum Pas bermesyuarat?
Tidakkah Presiden Pas sendiri khianat kepada parti atau setidak-tidaknya telah menyediakan jalan untuk itu? Bukankah pepatah selalu memgingatkan, kalau “bapa borek, anak rintik” dan “guru kencing berdiri, murid kencing berlari”?
Sokongan Shaari dan Hasnul juga sebenarnya masih dalam lingkungan kedudukan Pas sebagai rakan dalam PR. Jika menyokong Dr Wan Azizah suatu kesalahan, bagaimana pula dengan kenyataan Mat Sabu, Husam Musa, Dr Mujahid dalam lain-lain yang juga senada dalam menyokong calon Menteri Besar yang ditonjolkan oleh PKR serta mempertahankan kedudukan Pas agar tidak berpecah daripada PR serta mempersoalkan apakah istimewanya Khalid Ibrahim di mata Pas?
Tidakkah mereka juga khianat kepada parti?
Orang mungkin boleh menerima Shaari dan Hasnul sebagai pengkhianat dan penderhaka kepada parti jika mereka secara terbuka menyokong calon daripada UMNO atau BN yang memang menjadi musuh Pas dan di luar lingkungan PR. Tetapi apakah menyokong calon dalam PR sendiri pun suatu kesalahan?
Faktor mendahului mesyuarat seharusnya tidak timbul kerana Pas sendiri sudah dua kali menangguhkan tarikh mesyuaratnya. Mula-mula 10 Ogos, kemudian 13 Ogos dan akhirnya ditetapkan 17 Ogos.
Bagaimana jika Pas terus menangguhkan mesyuaratnya? Apakah Shaari dan Hasnul mahu berdiam diri dan berpeluk tubuh saja sedangkan kegawatan politik di Selangor ini kian mencengkam perasaan hampir semua orang?
Kedua Adun ini juga tidak boleh dianggap membelakangi keputusan Majlis Syura kerana keputusan menyokong Khalid dulu dibuat ketika beliau masih ahli PKR tetapi setelah dipecat dan menjadi ahli Bebas, logiknya keputusan itu tidak terpakai lagi. Seharusnya dalam hal ini, Majlis Syura haruslah proaktif dan dinamik dengan segera mengadakan mesyuarat seterusnya bagi mengelakkan kekeliruan.
Ohh! jangan lupa, bagaimana pula dengan kenyataan terang-terangan seorang AJK Pas Pusat, Dr Zuhdi Marzuki yang mahukan Pas membentuk kerajaan campuran dengan UMNO di Selangor? Beliau kemudiannya mengulangi lagi dengan mencadangkan penubuhan kerajaan konsensus nasional pula.
Tidakkah ini lebih mengkhianati parti dan persefahaman Pas dengan rakan-rakannya sendiri bersama PR selama ini?
Tindakan empat Exco Pas yang sanggup berketua dan menyokong Menteri Besar tidak berparti pula bagaimana? Apa prinsip Pas dalam hal ini?
Jika Pas ingin mengambil tindakan, ada baiknya ambil tindakan yang menyeluruh dan kepada semua pihak. Jangan memilih-milih atau kepada orang tertentu saja. Bukankah Islam itu adil dan tidak memilih bulu? (SH 15/08/2014)