Kemelut Menteri Besar Selangor terus membuatkan Pas jadi kalut dan caca-marba. Bukan saja perbalahan antara golongan ulama dan profesional makin ketara, bahkan Pas juga terus berpusing-pusing pendiriannya mengenai calon yang harus dinamakan untuk menggantikan Khalid Ibrahim.
PKR yang sepatutnya berpecah dengan isu ini tetapi berjaya membendungnya sehingga akhirnya Khalid Ibrahim tinggal keseorangan dan akur untuk berundur, sebaliknya Pas pula yang semakin melebar rekahan perpecahannya.
Jika sebelum ini Pas mahu Khalid dikekalkan, kemudian setuju pula Khalid digantikan dengan dua nama iaitu Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Azmin Ali, selepas itu mahu menyerahkan kepada Sultan pula berdasarkan kebijaksanaan istana membuat pilihan, yang terbaru ini Pas mahu menghantar tiga nama pula.
Selepas pulang daripada luar negara baru-baru ini, Sultan Selangor pada dasarnya sudah bersetuju dengan penggantian Menteri Besar apabila menerima perletakan jawatan Khalid, tetapi menangguhkannya sehingga pemegang jawatan baru itu dilantik.
Sehubungan itu, baginda telah menitahkan agar setiap parti dalam PR iaitu PKR, Pas dan DAP menghantar dua nama bagi memudahkan baginda membuat pilihan.
PKR dan DAP bagaimanapun bertegas hanya mencalonkan satu nama saja iaitu Dr Wan Azizah sebagai calon tunggal, bukan saja berdasarkan amalan yang dilakukan di Selangor pada tahun 2013 tetapi juga kerana menjadi kebiasaan dilakukan di mana-mana negeri sebelum ini.
Tindakan PKR dan DAP itu bagaimanapun diselar dan dikecam oleh banyak pihak sebagai perbuatan biadap dan derhaka kepada titah Sultan. Ada pula yang berkata, apa agenda kedua-dua parti itu berkeras mahukan hanya Dr Wan Azizah sebagai Menteri Besar Selangor?
Yang lain pula bertanya, kenapa susah sangat PKR dan DAP memberi lebih daripada dua nama sebagaimana yang dikehendaki oleh Sultan?
Sebagaimana yang disebut dalam blog ini semalam, mencalonkan hanya satu nama tidak seharusnya dianggap perbuatan biadap atau derhaka kerana berdasarkan konvensi serta tafsiran undang-undang yang bersandarkan amalan demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan, pihak yang mendapat majoriti hanya perlu mencalonkan satu nama saja.
Pas yang masih belum membuat pendirian mengenai siapa yang mahu dicalonkan, bagaimanapun sekali lagi membuat parti itu menjadi bahan perbualan ramai apabila Setiausaha Agungnya, Mustaffa Ali memberitahu malam tadi bahawa parti itu akan mencalonkan tiga nama yang akan dihantar kepada istana sebelum 3 September ini.
Namun demikian, katanya, ketiga-tiga nama itu adalah daripada PKR dan bukannya daripada Pas kerana masih berpegang kepada persetujuan sebelum ini bahawa jawatan Menteri Besar Selangor adalah milik PKR.
Daripada Sultan Selangor hanya meminta dua nama, Pas sebaliknya begitu pemurah sehingga mahu mencalonkan tiga nama pula.
Jika PKR dan DAP yang tidak mahu memberi dua nama serta bertegas dengan satu nama saja dianggap oleh banyak pihak sebagai biadap dan derhaka kepada Sultan, tidakkah memberi tiga nama ini semacam Pas sedang menyindir baginda pula?
Kalau Sultan dan minta dua nama, beri sajalah dua. Bukankah itu tanda taat dan patuh kepada titah baginda?
Mengapa perlu sampai tiga nama?
Susah sangatkah mencalonkan dua nama saja sebagaimana yang diminta? (SH 28/08/2014)