Isu Menteri Besar Selangor terus membuatkan Pas jadi kalut dan keliru. Setelah Khalid dipecat dan menjadikan PKR dan DAP semakin bersatu mahu menyelesaikan isu itu dengan segera, Pas sebaliknya terpaksa menunggu sehingga 17 Ogos depan untuk membuat keputusan rasmi mengenainya.
PKR jelas tidak berpecah dengan isu Khalid ini, kecuali ada sedikit rungutan dan rasa tidak puas hati diperingkat bawahan, manakala DAP yang bermesyuarat semalam pula telah menyatakan pendirian yang jelas menyokong pemecatan itu sebagai hak PKR serta menerima Dr Wan Azizah sebagai calon Menteri Besar yang baru.
Kiranya Pas tidak menangguhkah mesyuarat yang sepatutnya pada 10 Ogos, manakala Khalid pula sudah dipecat pada 9 Ogos, parti itu tentulah lebih mudah membuat keputusan berhubung isu Khalid ini. Denyan Khalid bukan lagi mewakili PKR, secara prinsipnya jika Pas masih mahu berpegang kepada pesefahaman dslam PR, mereka tiada pilihan lain lagi selain meninggalkan Khalid yang sudah pun menjadi ADUN Bebas ketika ini.
Tetapi kerana menangguhkan lagi mesyuarat sehingga 17 Ogos, ruang untuk kekealutan dan kekeliruan itu terus terbuka dengan luasnya, lebih-lebih lagi memang diketahui wujud kelompok tertentu dalam Pas yang memang sukar menerima keterbukaan dan pandangan pihak lain.
Dalam isu Khalid ini, sementara sebelum dipecat pun, Pas terlihat keliru dengan keutamaan yang harus didahulukannya ssbagai sebuah parti politik dan rakan gabungan dalam PR, selepas dipecat juga, keinginan menampakkan perbezaan pendirian turut ketara.
Selepas Khalid dipecat, ketika Setiausaha Agung Pas, Mustaffa Ali menyatakan parti itu mahu terus kekal bersama PR, Dewan Ulamanya pula melalui Pemangku Ketuanya, Ahmad Yaakob yang juga Menteri Besar Kelantan, berpendirian berbeza dengan membayangkan tidak kisah jika Pas keluar PR dan bergerak bersendirian selepas ini.
Beliau juga berbangga dengan sejarah lampau Pas yang pernah bergerak bersendirian walaupun hakikatnya ketika bersendirian itu, pencapaian Pas hanyalah gah di pentas-pentas ceramah saja manakala kemenangan dalam pilihanraya hanyalah di kawasan-kawasan tertentu saja.
Sudah disebut dalam blog ini sebelum ini, kejayaan Pas berkuasa di Kelantan pada 1990 pun adalah atas bantuan Semangat 46 dan perpecahan yang berlaku dalam UMNO, begitu juga kejayaan di Terengganu pada 199 adalah selepas kes pemecatan Anwar Ibrahim pada 1998.
Kejayaan berkuasa di Kedah, bertapak di Perak, Selangor, Johor dan lain-lain adalah juga adalah persefahaman dengan pihak lain yang mana jika bersendirian, amat sukar Pas melakukannya.
Oleh itu, susah difahami apakah yang dimahukan oleh Dewan Ulama ini dalam berpolitik – memenangi pilihanraya atau sekadar berceramah saja?
Lebih dari itu, Ahmad Yaakob atas nama Dewan Ulama juga telah bertindak tidak wajar dengan segera membuka ruang kepada Khalid untuk menyertai parti itu setelah dipecat daripada PKR. Dalam hal ini, Lim Kit Siang nyata berang dengan sikap Pas yang tidak gentleman dan seolah-olah suka menangguk di air keruh.
Sebagai rakan yang masih bersama dalam PR, tawaran Ahmad Yaakob untuk Khalid menyertai Pas memang tidak boleh diterima dan tidak beretika, sementelah pula Khalid sendiri belum menyatakan hasrat untuk menyeberang kepada parti itu.
Bolehkah Pas bayangkan ketika mereka memecat Dr Hassan Ali dahulu jika tiba-tiba PKR atau DAP juga turut mempelawa bekas Pesuruhjaya Pas Selangor itu menyertai parti mereka? Barangkali bertimbun maki hamun dan dalil Al Quran serta Hadis digunakan untuk menyerang PKR dan DAP?
Namun oleh kerana PKR dan DAP memahami erti setiakawan serta merasakan pemecatan itu adalah urusan Pas, mereka bukan saja menyokongnya dan tidak membuka pintu parti masing-masing untuk Dr Hasan, malah tidak juga berbunyi apa-apa yang menunjukkan tidak suka atau membantah pemecatan itu.
Tetapi dalam isu Khalid ini, Dewan Ulama Pas nampaknya terus mencari tangguk sebaik melihat air keruh walaupun di halaman rakan sendiri dan ini bukanlah suatu sikap yang baik, bukan saja dalam berpolitik bahkan juga dalam kehidupan seharian.
Lebih malang, yang sering menimbulkan masalah dan kekalutan dalam Pas ini ialah golongan yang mendakwa sebagai ulama sedangkan sebagai kelompok yang faham agama, golongan ini sepatutnya menjadi pengharmoni suasana serta penyelesai masalah berbanding penimbul masalah, kekeliruan dan kekalutan.
Yang menimbulkan isu pil kuda, calon berfahaman sosialis, membenarkan calon bertindih walaupun setelah ada persetujuan, tiba-tiba menimbulkan soal hudud ketika kempen PRU 13 sedangkan sebelum itu berpegang kepada konsep negara berkebajikan, berkeinginan dengan konsep kerajaan perpaduan dengan UMNO, berbalah dengan DAP dalam isu terowong dasar laut dan banyak lagi, semuanya ditimbulkan oleh kelompok yang mendakwa sebagai ulama.
Isu-isu yang menggugat keyakinan rakyat ini pula kerapkali dibangkitkan di saat-saat akhir menjelang pilihanraya atau pembuangan undi.
Golongan ini seolah-olah lebih suka Pas menjadi pembangkang saja selama-lamanya dan memadai dengan memukau hadirin di pentas-pentas ceramah mengenai segala macam keburukan dan salah laku yang dilakukan oleh kerajaan BN tetapi apabila kalah dalam pilihanraya akan berhujah pula bahawa tidak mengapa kalah asalkan Allah redha, semuanya ada hikmah dan segala macam dalil lagi.
Soalnya, apakah UMNO dan BN yang dimaki hamun tetapi terus menang pilihanraya itu mendapat redha Allah?
Golongan profesional dalam Pas pula terlihat lebih profesional, cool, tenang, matang serta lebih memahami bahawa matlamat utama Pas bersama-sama dengan PKR dan DAP ialah untuk menjadi alternatif kepada BN dalam mentadbir negara ini.
Melainkan Pas lebih bersatu hati, matang dan memahami apa yang mereka mahukan dalam berpolitik serta bergabung bersama dalam PR, parti itu lebih mungkin menjadi pembangkang saja walaupun di mana dan dengan siapa mereka berada. (SH 11/08/2014)