Shahbudin…

Mencatat Hitam Putih Malaysia

Selangor Bakal Jadi Negeri Dikuasai Wanita…

Kemelut mengenai jawatan Menteri Besar Selangor sudah hampir ke penghujungnya apabila Anwar Ibrahim malam tadi mengumumkan bahawa Presiden PKR, Dr Wan Azizah akan mengambil alih jawatan tersebut daripada Khalid Ibrahim. Pengumuman itu berikutan persetujuan pimpinan PKR sendiri bagi meneruskan Langkah Kajang yang telah dirangka sejak beberapa bulan lalu tetapi tergendala berikutan keputusan Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman penjara lima tahun keatas Anwar Ibrahim.

Dengan hanya pencalonan tunggal itu, nama Dr Wan Azizah akan dibawa ke mesyuarat Majlis Pimpinan PKR esok, Rabu iaitu selepas sidang khas Parlimen mengenai MH17, bagi mendapat persetujuan secara rasmi daripada Pas, PKR dan DAP. DAP sudah pun diketahui umum bersetuju dengan pertukaran Khalid Ibrahim manakala Pas juga dilaporkan semalam sudah bersetuju mengenai pertukaran itu tetapi hanya belum memutuskan untuk bersetuju atau tidak terhadap pencalonan Dr Wan Azizah.

Namun, dengan sudah bersetuju mengenai perukaran Khalid dan meneruskan memberi sokongan agar kerusi Menteri Besar Selangor terus diduduki oleh PKR, Pas juga tentunya tidak masalah besar untuk bersetuju dengan Dr Wan Azizah.

Selepas ini, PR hanya perlu mendapat perkenan Sultan Selangor saja lagi bagi merealisasikan hasrat pertukaran Khalid dengan Dr Wan Azizah itu.

Perkhabaran ini tentunya paling meresahkan peguam UMNO, Hafarizam Harun yang sebelum ini cuba mengaitkan ketidaksesuaian Dr Wan Azizah memegang jawatan itu dengan lumrah semulajadinya sebagai wanita, tetapi dalam masa yang sama diketahui juga Lebuhraya Kidex yang menjadi isu di Selangor sekarang adalah juga kepunyaannya.

Melalui pengumuman yang dibuat oleh Anwar kira-kira seminggu sebelum sambutan Aidilfitri, Khalid Ibrahim tentulah menjadi pemimpin yang paling tidak gembira di Hari Raya tahun ini. Silap-silap sambutan rumah terbukanya juga tidak lagi semeriah tahun-tahun sebelumnya. Namun itulah lumrah kehidupan seorang pemimpin yang harus diterima dengan terbuka oleh sesiapa juga yang memilih politik sebagai kariernya.

Khalid juga seharusnya akur dengan pertukaran ini kerana sebagainana orang lain menyokongnya selama enam tahun sebelum ini, inilah masanya pula beliau membalasnya dengan menunjukkan sikap terpuji dan berbudi pekerti terhadap hukum-hakam dan jatuh bangun dalam politik.

Bagi Wan Azizah pula, selain mungkin gembira dengan perkhabaran ini, cabaran yang terbentang di depan matanya juga bukan kepalang kerana isu-isu seperti masalah air, Bible, lebuhraya Kidex serta terus memacu ekonomi negeri dan memastikan kewangan negeri sentiasa mantap, adalah antara ujian besar yang sedang menunggunya.

Sebahagian daripada isu-isu itulah yang menyebabkan sokongan rakyat kepada PR merudum daripada 50 peratus kepada hanya 35 peratus sekarang ini sebagaimana di kaji oleh Umcedel baru-baru ini. Jika sebahagian isu tersebut dapat ditangani dengan baik, tidak mustahil ia kembali menaik kerana kebanyakan pengundi di Selangor adalah campuran antara bandar dan luar bandar serta majoritinya celik internet yang menyebabkan mereka lebih mengetahui fakta sebenar dan tidak mudah dimanipulasi oleh akhbar-akhbar pro kerajaan.

Selepas ini Dr Wan Azizah akan mencatat rekod sebagai wanita pertama menjadi Menteri Besar di negara ini. Selepas mencatat rekod sebagai Ketua Pembangkang wanita pertama, beliau sekali lagi mencatat rekod nampaknya. Keadaan ini tentunya menggembirakan kaum wanita seluruhnya kerana pengiktirafan ini begitu tinggi dan besar nilainya. Lebih-lebih lagi, sebelum ini Speaker Selangor, Hannah Yeoh juga adalah seorang wanita. Beliau juga merupakan wanita pertama menjadi Speaker di negara ini. Lebih menarik Selangor juga mempunyai Exco wanita paling ramai iaitu empat orang.

Dalam ertikata lain, Selangor akan menjadi negeri yang dikuasai oleh wanita selepas ini. Kedudukan ini bukan saja merupakan cabaran kepada PR tetapi juga cabaran lebih besar kepada UMNO Selangor. Mampukah lelaki-lelaki gagah perkasa daripada UMNO Selangor merampas negeri yang dikuasai oleh wanita ini?

Kalau tewas lagi, malulah wehh…(SH 22/07/2014)

0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

3 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
3
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x