Shahbudin…

Mencatat Hitam Putih Malaysia

“Kalau Hebat Sangat, Bubar DUN Selangor Dan Tandinglah Atas Tiket BN”

Kemelut politik di Selangor dan isu pertukaran Menteri Besarnya sudah mula memasuki episod yang memual dan merimaskan. Rakyat dan pemerhati politik sudah mulai bosan dengan situasi yang berlarutan itu. Semua keadaan ini berpunca daripada dua sebab iaitu kedegilan Khalid Ibrahim yang merasakan jawatan itu miliknya selagi mahu serta kegagalan pimpinan PR bertindak tegas serta pantas menyelesaikannya.

Pertukaran jawatan Menteri Besar adalah perkara biasa. Blog ini sudah menulis sebelum ini bahawa pertukaran itu telah banyak kali berlaku sebelum ini dan tiada yang peliknya bila Khalid Ibrahim pula mahu ditukarkan. Dalam hal ini, Khalid haruslah sedar beliau dipilih oleh parti dan seharusnya akur bila diminta untuk berundur. Janganlah menganggap jawatan, kediaman dan kereta rasmi dan pelbagai kemudahan lainnya sebagai hak milik peribadi.

Amatlah memalukan apabila pemimpin UMNO yang sering dikaitkan dengan kronisme, nepotisme dan amalan-amalan tidak baik boleh menerima apabila ditukarkan tetapi Khalid yang kononnya sarat dengan perubahan dan reformasi tidak mahu akur dengan pertukaran.

Tindakan beliau berkeras bahawa akan terus memegang jawatan sehingga akhir penggal di sebalik desakan kian bertubi-tubi mahu menukarnya, bahkan diingatkan oleh Anwar Ibrahim juga agar jangan menjadikan jawatan Menteri Besar milik peribadi, tidak lebih menunjukkan sikap tamak dan tidak faham hukum politik dalam jiwa Khalid sendiri.

Tindakannya melompat dari satu dahan ke satu dahan mencari perlindungan juga menunjukkan jiwa kacaunya mahu menpertahankan jawatan itu. Kenapa hanya ketika ini mahu berbaik-baik dan hadir majlis berbuka puasa dengan Perdana Menteri, Najib Razak? Mengapa baru sekarang juga teringat mahu menjemput Presiden Pas, Haji Hadi datang ke kediamannya untuk berbual-bual politik walaupun sudah jam 11 malam?

Kenapa selama lebih lima tahun menjadi Menteri Besar sebelum ini beliau tidak terfikir semua itu? Mengapa selama ini hanya Anwar Ibrahim saja yang dipujanya tetapi sekarang mula dibelakangkannya?

Khalid sebenarnya tiada alasan untuk mempertahankan lagi dirinya jika benar pimpinan PR sudah bersetuju untuk menukarnya. Beliau haruslah akur dengan ketetapan itu. Tidak perlu lagi melompat dan tersengih ke sana sini mencari dahan serta tauke yang dirasakan lebih kuat.

Bagi PR pula, janganlah dilengah-lengahkan lagi pertukaran itu jika ianya sudah dipersetujui secara muafakat. Segeralah majlis pimpinan PR bertemu Khalid dan memaklumkan perkara tersebut secara terang-terangan kepadanya. Selepas itu, pimpinan utama PR daripada Pas, PKR dan DAP pula segeralah mengadap Sultan Selangor memberitahu mengenai hasrat pertukaran yang telah diputuskan secara muafakat serta mencadangkan bakal penggantinya.

Jika semua ini dilakukan secara terib dan berhemah, tidak mungkan lebih banyak masalah akan timbul. Sultan Selangor juga tidak mungkin menolak jika sudah pimpinan ketiga-tiga parti mengadapnya memaklumkan pertukaran itu kerana baginda adalah seorang yang faham mengenai undang-undang.

Tetapi jika semua pendekatan ini diambil dan Khalid masih juga berdegil mengatakan beliau akan bertahan sehingga akhir penggal iaitu sehingga pilihanraya akan datang, barulah boleh dipertimbangkan untuk mengusulkan undi tidak percaya terhadapnya di DUN Selangor.

Tetapi tindakan ini seharusnya menjadi pilihan terakhir kerana jika ia berlaku, ia lebih menunjukkan kegagalan pimpinan PR sendiri dalam menyelesaikan masalahnya. UMNO sendiri, walaupun kerap menukar Menteri Besarnya sebelum ini tetapi tidak pernah pula sampai ke peringkat mengusulkan undi tidak percaya kepada ahli partinya sendiri. Proses rundingan haruslah menjadi keutamaan.

Bagi Khalid pula, oleh kerana partinya sendiri sudah tidak menghendakinya dan PR juga turut bersetuju untuk menukarnya, tiada lagi alasan untuknya bertahan di kedudukan itu. Tetapi jika beliau ingin melawan ketetapan itu, tunjukkanlah kejantanan dengan membubarkan DUN Selangor bagi membolehkan pilihanraya negeri diadakan.

Jika benar beliau sudah mempunyai hubungan baik dan “cium mulut” dengan UMNO dan Najib, selepas itu bertandinglah menggunakan tiket BN dan bekerjasamalah dengan UMNO melawan PR. Jika masih mampu menang, ciumlah tangan Perdana Menteri untuk minta diteruskan sebagai Menteri Besar sehingga akhir penggal.

Janganlah pula nanti andainya sudah menang, Noh Omar pula dinaikkan jadi Menteri Besar Selangor.

Seandainya beliau masih mampu menang, sama ada di kerusi Pelabuhan Kelang mahupun Ijok dan kemudian melalui kerjasamya dengan UMNO pula boleh membuahkan kerusi majoriti, barulah beliau diiktiraf sebagai pemimpin yang hebat dan diterima rakyat Selangor.

Dalam kedudukan sekarang, di mana rakyat Selangor memberikan undi dan sokongan kepada PR, Khalid tidak seharusnya terus mahu bertenggek di kerusi empuk itu sedangkan pimpinan PR sudah bersetuju mahu menggantinya. Beliau selama ini diberikan undi dan sokongan atas tiket PKR dan PR, maka akurlah dengan kehendak dan ketetapan parti. (SH 17/07/2014)

0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

11 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
11
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x