Shahbudin…

Mencatat Hitam Putih Malaysia

Jadikanlah Zahid Hamidi Menteri Dalam Negeri Sampai Mati…

Satu-satunya perkara yang membuatkan orangramai jadi menyampah dan meluat setiap kali BN menang dalam mana-mana pilihanraya kecil ialah apabila para pemimpinnya berebut-rebut mendabik dada membangga diri sambil mengaku gerak kerja yang mereka dilakukan atau oleh kumpulan merekalah yang menyumbang kepada kemenangan itu.

Dalam pilihanraya kecil Teluk Intan yang sudah berlalu hampir dua minggu lalu di mana BN berjaya menewaskan DAP dengan kelebihan 238 undi, jelas dapat dilihat sikap “masuk bakul angkat sendiri” dan amalan membangga diri itu seolah-olah kemenangan itu telah menjamin BN untuk terus berkuasa selama 50 tahun lagi.

Dapat dilihat satu demi satu pemimpin UMNO dan kerajaan membanggakan kemenangan dan menjustifikasikan kejayaan itu adalah dicapai melalui sumbangan masing-masing. Biro penerangan bangga kerja penerangannya, pemuda dengan gerak kerja pemudanya, wanita dengan lawatan rumah ke rumah dan begitu juga dengan puteri dengan sumbangan yang kononnya telah mereka mainkan sepanjang kempen pilihanraya itu.

Pemimpin UMNO negeri dengan hujah penerimaan rakyat terhadap kepimpinan Menteri Besarnya, malah MCA yang sebelum itu tidak berani meletakkan calonnya di Bukit Gelugor, turut tidak mahu ketinggalan dan tanpa ada perasaan malu membuat kenyataan bahawa kemenangan BN di Teluk Intan membuktikan penerimaan kembali pengundi Cina terhadap BN.

Sementara Najib dan Muhyiddin hanya menyatakan rasa syukur atas kemenangan itu, para pemimpin lain sebaliknya berlumba-lumba mahu menunjukkan kepada pucuk pimpinan bahawa gerak kerja merekalah yang menjadi penyumbang kepada kemenangan itu sambil melahirkan keyakinan bahawa kejayaan yang lebih besar diyakini dicapai dalam pilihanraya seterusnya.

Pemimpin UMNO terbaru yang mahu menunjukkan bahawa sumbangan beliaulah menjadi penyumbang kepada kemenangan BN di Teluk Intan ialah Ahmad Zahid Hamidi, Naib Presiden UMNO dan juga Menteri Dalam Negeri yang menyatakan amaran beliau kepada kumpulan kongsi gelap agar jangan masuk campur dalam kempen dan kegiatan mengugut telah menjadi penyumbang kepada kemenangan itu.

Menurut pemimpin kanan UMNO, disebabnya amarannya itu, kongsi gelap di Teluk Intan tidak berani masuk campur dalam kempen pilihanraya itu dari segi mengugut, mengarah dan memberi amaran kepada pengundi. Dalam erti kata lain, amaran Zahid itu bagai membuatkan semua kongsi gelap jadi kecut perut dan tidak berbuat apa-apa kerana terlalu gementar dengan amaran yang telah diberikannya sebelum itu.

Barangkali wajah Zahid yang bengis dan sentiasa masam itu telah mendatangkan ketakutan yang amat sangat kepada kongsi gelap!

Mereka menjangkakan majoriti di Teluk Intan daripada 12,000 turun kepada 6,000, kemudian turun lagi kepada 2,000 tapi Alhamdulillah kita menang 238 undi, kata Zahid yang semasa kempen pilihanraya itu turut menggelarkan pengundi Cina sebagai golongan yang tidak bersyukur kepada kerajaan.

Kenyataan Zahid ini tidak syak lagi menunjukkan percubaan menonjolkan keupayaannya yang luar biasa sebagai Menteri Dalam Negeri dalam membantu BN mencapai kemenangan, walaupun mungkin ramai yang tersengih sinis dengannya. Zahid dilihat bukan saja cuba menunjukkan sumbangannya yang besar, malah juga tahap keupayaannya sebagai pemimpin yang tidak ada pada mana-mana pemimpin lain.

Ini kerana tidak pernah ada mana-mana Menteri Dalam Negeri sebelum ini yang mengakui ditakuti oleh kongsi gelap. Zahid adalah satu-satunya di negara ini.

Jika benar kerana amarannya itu telah menjadi penyumbang kepada kemenangan BN, maka ada baiknya Perdana Menteri mengekalkan saja Zahid sebagai Menteri Dalam Negeri sehingga beliau mati. Ini kerana dalam mana-mana pilihanraya pastinya akan melibatkan campurtangan kumpulan kongsi gelap dan amaran beliau saja sudah mampu membuatkan mereka tidak melibatkan diri atau campurtangan.

Sudah tentu dengan adanya Zahid sebagai Menteri Dalam Negeri yang ditakuti oleh kumpulan kongsi gelap, BN akan sentiasa menang dalam mana-mana pilihanraya kecil selepas ini dan begitu juga dalam pilihanraya umum nanti.

Atas sumbangannya itu, wajarlah dijadikan Kementerian Dalam Negeri milik Zahid Hamidi untuk selama-lamanya atau sehingga beliau meninggal dunia.

Tetapi tentunya orangramai juga tertanya-tanya, kenapa tiada tangkapan terhadap kongsi gelap sepanjang kempen pilihanraya itu? Kegiatan kongsi gelap bukan sekadar diberi amaran, tetapi harus dibendung sehabis-habisnya.

Jika pengakuan Zahid boleh diambil kita yang menyatakan beliau kenal semua kongsi gelap itu dan tahu di mana mereka bersembunyi, tentulah tidak sukar untuk melakukan serbuan atau tangkapan.

Namun demikian, kenyataan Zahid ini juga ada kontradiksinya apabila dua hari lalu beliau juga menyatakan sudah meninggalkan hobi menunggang motosikal besarnya buat sementara waktu kerana mematuhi nasihat polis yang bimbangkan ditembak oleh kumpulan gangster.

Kalau sudah boleh membuatkan kumpulan kongsi gelap mendengar serta patuh dengan amarannya, kenapakah beliau tidak boleh memberi amaran agar jangan menembaknya ketika menunggang motosikal besar?

Atau kenyataan ini satu lagi percubaan mahu menonjolkan dirinya yang kian disisihkan lantaran Najib sejak kebelakangan ini didapati memberi lebih keistimewaan kepada Hishammuddin Hussein berbanding dirinya? (SH 10/06/2014)

0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

9 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
9
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x