Esok 31 Mei, seramai 60,483 pengundi kawasan Parlimen Teluk Intan akan menunaikan tanggungjawab mereka untuk memilih Ahli Parlimen yang baru berikutan kematian wakil rakyat DAP yang menang dalam pilihanraya 2013 itu, Seah Leong Peng yang meninggal dunia akibat kanser. Pilihan kali ini ialah antara Mah Siew Keong yang mewakili BN dengan Dyana Sofya yang mewakili DAP.
Kedua-dua pihak inginkan kemenangan kali ini. Mah yang tewas dalam dua kali pilihanraya lalu begitu mengharapkan kemenangan bagi membuktikan kedudukannya sebagai Presiden Gerakan diterima baik oleh pengundi. BN pula mengharapkan kejayaan untuk membuktikan mereka adalah kerajaan yang disukai rakyat walaupun dicabar getir.
Lantaran itu, BN bukan saja berkempen dengan aktif, menurunkan ramai menteri untuk berkempen, memberi banyak habuan dan menjanjikan deretan pembangunan, malah disaat akhir Najib Razak yang berada di China juga menjanjikan Mah akan dilantik sebagai menteri sekiranya beliau menang nanti.
Mah yang mungkin teruja dengan tawaran itu, bagaimanapun bagai memberi kata dua kepada pengundi bahawa beliau hanya sedia menganggotai kabinet sekiranya diberikan kemenangan dalam pilihanraya kecil ini dan akan menolaknya jika dilantik melalui kerusi Senator.
DAP pula mahukan kemenangan bagi meneruskan pencapaian yang diperolehi dalam pilihanraya 2013 lalu. Namun kali ini cabaran DAP lebih berat kerana mereka meletakkan calon Melayu berbanding calon bangsa Cina dalam pilihanraya lalu. Dalam pilihanraya 2008 pula, DAP meletakkan calon India, M Manogaran.
Kejayaan DAP pada esok bukan saja penting untuk menunjukkan parti itu tidak terikat dengan kouta kaum tetapi juga menunjukkan penerokaan yang mengambil kira selera pengundi muda dan suntikan kepada cita-cita PR memenangi pilihahraya umum akan datang. Pemilihan Dyana Sofya adalah tanda awal menghargai pengundi muda yang dijangka merangkumi lebih 40 peratus daripada keseluruhan jumlah pengundi dalam pilihanraya 2018 nanti.
Kemenangan Dyana juga akan membuktikan bahawa mereka semakin diterima oleh pengundi Melayu dan lebih menjuruskan parti itu benar-benar menjadi berbilang kaum, baik dari segi pemimpin mahupun kesediaan pengundi menyokongnya.
Tetapi kepada pengundi Teluk Intan, siapa yang harus mereka pilih? Apakah lebih baik memilih Mah yang bakal dijadikan menteri atau memilih Dyana yang muda, bergaya dan lebih bertenaga?
Mah bukan saja Presiden Gerakan tetapi juga memang orang Teluk Intan. Keluarganya sejak sekian lama menetap di situ dan semua orang mengenali susur galur keluarga dan keturunannya. Jika menang nanti, Najib sudah menjanjikan jawatan menteri untuknya. Mungkin ada yang berkata, beruntunglah penduduk Teluk Intan jika Mah menang nanti.
Tetapi jika Mah dilantik sebagai menteri, benarkah penduduk Teluk Intan yang untung. Atau hanya Mah saja yang menikmati untungnya. Mungkinkah dengan menjadi menteri nanti, keluarganya yang sudah kaya akan menjadi bertambah kaya lagi?
Dengan menjadi menteri, yang pasti untung hanyalah Mah. Pengundi Teluk Intan belum tentu lagi. Ini kerana banyak kawasan Parlimen yang diwakili oleh menteri tidak juga laju pembangunannya. Kawasan Parlimen yang diwakili menteri juga masih ramai orang susah dan miskin. Malah di kawasan Parlimen yang diwakili oleh Perdana Menteri, Najib Razak iaitu Pekan pun masih ramai yang miskin dan daif hidupnya.
Begitu juga di kawasan Parlimen Kubang Pasu yang pernah diwakili oleh Mahathir dan Kepala Batas oleh Pak Lah, turut juga masih ramai yang miskin, susah dan ketinggalan dari segi pembangunan. Di Kepala Batas misalnya, masih ada penduduknya yang tidak menikmati bekalan letrik sehingga sekarang.
Ini bermakna menjadikan Mah sebagai menteri belum tentu membawa keuntungan kepada penduduk Teluk Intan. Yang tentu untung hanyalah Mah saja. Jika menjadikan menteri menjanjikan rahmat dan “lailatul qadar” kepada pengundi, tentulah tiada yang susah, miskin dan ketinggalan dari segi pembangunan di Kubang Pasu, Kepala Batas dan Pekan.
Sebagaimana yang dikatakan oleh Mah, Teluk Intan adalah kampungnya. Kalah atau menang, beliau tetap ada di situ. Keadaan ini menjadikan memilih Dyana sebenarnya lebih menguntungkan kerana penduduk Teluk Intan akan mempunyai dua wakil yang boleh diminta bantuan iaitu Dyana sebagai Ahli Parlimen dan Mah sebagai Presiden Gerakan yang tentunya akan terus berbakti kepada rakyat.
Lebih dari itu, jika menang juga sudah tentulah Dyana akan berpindah dan bermastautin di bandar ini. Jika ada yang tidak puas menatap wajahnya selama dua minggu berkempen ini, kemenangannya akan membuatkan penduduk Teluk Intan dapat berjumpa dan mengadu masalah kepadanya berlarutan sekurang-kurangnya sehingga 2018. Jika dalam pilihanraya 2018 beliau dipilih lagi, lagi puaslah pengundi Teluk Intan bersama dengannya.
Tetapi jika kalah, tiada sebab lagi untuk Dyana berada di Teluk Intan ini. Beliau mungkin kembali kepada kerjaya asalnya sebagai Setiausaha Politik Lim Kit Siang di Gelang Patah, Johor. Barangkali sedikit kerugian kepada Teluk Intan.
Memenangkan Mah juga tidak mengubah apa-apa dari segi kedudukan kerajaan pusat. Begitu juga dengan kekalahan Mah, tidak menjejaskan apa-apa. Kerajaan pusat akan terus ditadbir oleh BN dan Najib juga akan kekal sebagai Perdana Menteri. Kemenangan Mah hanyalah memberi sedikit imej yang lebih baik kepada Gerakan, BN, kerajaan pusat dan juga Najib.
Oleh kerana kerusi Teluk Intan ini dimenangi DAP dalam pilihanraya lalu, kemenangan Mah akan menjadikan kerusi BN bertambah kepada 134 manakala PR berkurangan menjadi 88. Namun perubahan jumlah kerusi itu tidak memberi sebarang kesan kepada kedudukan BN dan juga PR.
Tetapi berbanding kemenangan, kekalahan Mah akan lebih mencemaskan BN dalam menghadapi pilihanraya akan datang. BN akan lebih bekerja kuat bukan saja di Teluk Intan tetapi juga di seluruh negara. Kemenangan Dyana akan menghantar isyarat kepada Najib dan Putrajaya bahawa rakyat masih belum berpuas hati dengan kerajaan yang ada sekarang. Di sebalik pembaharuan dan transformasi yang kerap dilaungkan – cukai GST, kenaikan harga barang, kos hidup, tata kelola kerajaan dan amalan rasuah yang terus berleluasa adalah antara isu yang masih merisaukan rakyat.
Jika kemenangan Mah mungkin akan membuatkan Najib, para menteri dan kerajaan bersikap sedikit sombong dan bangga diri, sebaliknya kekalahan pula akan menyebabkan mereka lebih merendah diri, gigih berusaha menawan hati rakyat dan membawa pembangunan ke seluruh negara.
Kemenangan Mah juga mungkin hanya menyebabkan Teluk Intan yang dibangunkan tetapi kekalahannya akan melimpahkan rahmat dari Perlis hinggalah ke Sabah.
Lagi pula, mengekalkan kemenangan DAP di Teluk Intan seperti mengembalikan kerusi itu kepada pemenangnya yang lalu. Ini jauh lebih baik kerana akan menjadikan PR yang dianggotai oleh Pas, PKR dan DAP kekal sebagai pesaing yang menggugat BN. Kedudukan itu penting bagi memastikan BN tidak leka dan dibuai mimpi indah dalam menguruskan kerajaan.
Dengan kekuatan yang kekal seimbang itu, BN 133 kerusi tetapi 47 peratus undi popular manakala PR 89 kerusi tetapi 52 peratus undi popular, kedua-dua parti ini akan saling berlumba memberi khidmat yang terbaik kepada rakyat. BN akan menabur budi di Pusat dan kerajaan negeri yang ditadbirnya manakala PR juga akan memperbaiki khidmatnya di beberapa negeri bagi memastikan kuasa itu kekal di samping mengejar impian menawan Putrajaya pula.
Persaingan ini akhirnya akan membuatkan rakyat bertimpa-timpa untungnya.
Jika pengundi Teluk Intan berfikiran bijak dan memandang ke hadapan, pilihanraya ini bukan saja mampu memberi lebih kebaikan kepada mereka tetapi juga kepada rakyat seluruh negara. Bagaimanapun, semuanya terserah kepada mereka membuat pilihan. (SH 30/05/2014)