Shahbudin…

Mencatat Hitam Putih Malaysia

Demo Pro GST Amat Dialu-Alukan

Setelah mengeluarkan kenyataan mendoakan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim agar segera dipenjarakan dan akan mengadakan kenduri kesyukuran mengenainya, NGO Perkasa hari ini mencadangkan agar Cuepacs dan Dewan Perniagaan mengetuai demonstrasi besar-besaran bagi menyokong perlaksanaan cukai GST yang mahu dilaksanakan kerajaan pada April 2015 nanti.

Menurut beliau, demonstrasi besar-besaran itu perlu diadakan ssbagai tindak balas kepada perhimpunan membantah GST pada 1 Mei lalu yang dihadiri kira-kira 50 orang yang telah banyak mengelirukan rakyat dan menjadi modal politik bagi memburuk-burukkan kerajaan.

Atas semangat demokrasi dan bersesuaian dengan sikap kerajaan sendiri membenarkan perhimpunan aman melalui penggubalan Akta Perhimpunan Aman, cadangan Perkasa ini seharusnya dialu-alukan bagi menunjukkan keterbukaan dan siapakah yang lebih mendapat sambutan – adakah perhimpunan membantah GST atau yang menyokong sistem cukai baru itu?

Beberapa tahun lalu, ketika diadakan Demonstrasi Bersih 2.0, Pemuda UMNO yang diketuai oleh Khairy Jamaluddin pernah mengadakan perhimpunan Patriot serentak dengan tarikh dan masa Himpunan Bersih 2.0 diadakan tetapi ditempat yang berbeza sebagai tindak balas dan bukti untuk menunjukkan kepada rakyat perhimpunan manakah yang lebih mendapat sambutan.

Tanpa niat untuk memperkecilkan mana-mana pihak, jika rajin meminta bantuan daripada Makcik Google, lihatlah sendiri berapakah kehadiran demonstrasi Bersih 2.0 dan berapakah pula yang hadir dalam demo Patriot di sekitar Jalan Bukit Bintang itu?

Walaupun sebelum ini mendakwa Perkasa mempunyai keahlian seramai 500 orang, tetapi agak menghairankan juga mengapakah Ibrahim Ali tidak pula mencadangkan agar NGO pimpinannya mengetuai demonstrasi itu, sebaliknya hanya berkata akan memberi sokongan penuh saja kepadanya. Bukankah lebih molek jika Perkasa yang mengetuai demonstrasi itu, bukannya Cuepacs dan Dewan Perniagaan yang diarahkan berbuat demikian?

Apakah Perkasa mengelak untuk mengetuai demonstrasi pro GST dan meminta Cuepacs serta Dewan Perniagaan mengetuainya, bertujuan mengelak nasib yang sama pernah dialami oleh Pemuda UMNO dahulu?

Tetapi jika demonstrasi itu mahu diadakan, elok juga diajak sekali UMNO, parti-parti komponen serta NGO pro kerajaan bergabung sekali. Dengan Cuepacs yang mewakili kakitangan kerajaan, Dewan Perniagaan, UMNO, parti-parti komponen BN, NGO pro kerajaan dan Perkasa bergabung serta bersatu hati, barulah boleh dilihat kumpulan manakah yang lebih mendapat sambutan.

Jika tidak cukup lagi, bolehlah juga diangkut pelajar-pelajar IPT untuk meramaikannya lagi.

Rakyat tentunya teruja untuk melihat suatu demonstrasi paling besar dalam sejarah negara bakal diadakan. Sekiranya demonstrasi itu berjaya diadakan dengan kehadiran melebihi jumlah yang hadir pada 1 Mei lalu, barulah kerajaan boleh berbangga bahawa dasar yang mahu dilaksanakannya benar-benar mendapat sokongan rakyat.

Ini juga bertepatan dengan kenyataan Timbalan Menteri Kewangan, Ahmad Maslan bahawa GST tetap akan dilaksanakan walaupun ada bantahan daripada rakyat. Antara lainnya beliau berkata, demonstrasi itu tidak menggambarkan bantahan yang sebenar daripada rakyat.

Sudah tentulah hanya dengan mengadakan demonstrasi pro GST, barulah kerajaan tahu sama ada rakyat benar-benar menyokong perlaksanaan sistem cukai itu atau sebaliknya?

Atau lebih ramai lagi rakyat bersikap seperti “api dalam sekam” dan hanya menunggu tarikh PRU 14 untuk menghukum UMNO, BN dan kerajaan?

Kalau dapat menghimpunkan lebih ramai kejadiran, laksanakanlah GST tetapi jika yang hadir kurang daripada kehadiran pada 1 Mei, maka sewajarnyalah ianya dibatalkan atau setidak-tidaknya ditangguhkan sebagaimana pendapat kebanyakan pakar ekonomi iaitu sehingga pendapatan rakyat dipertingkatkan terlebih dahulu.

Meskipun dalam banyak kenyataan yang dikeluarkan oleh Ibrahim Ali dan Perkasa, lebih ramai rakyat yang tidak bersetuju dengannya tetapi cadangannya agar demo pro GST ini diadakan sebagai tindak balas kepada demonstrasi membantahnya pada 1 Mei lalu, tentulah kali ini ianya lebih menerima sambutan baik.

Tanpa menaruh syak wasangka bahawa cadangan ini bertujuan meredakan luahan kemarahan banyak pihak terhadap kenyataannya semalam yang mendoakan agar Anwar segera dipenjara dan mengadakan kenduri kesyukuran yang dianggap tidak wajar dan keterlaluan sebagai sesama Islam, rakyat sebenarnya amat mengalu-alukan demo pro GST ini.

Ramai yang tidak sabar untuk melihat sejauh mana massa dapat digerakkan untuk menyokong kerajaan setelah sekian banyak demonstrasi anti kerajaan lebih mendapat sambutan. Setelah dimomokkan dengan hanya mendapat sokongan 47 peratus rakyat, sesekali kerajaan haruslah berani menunjukkan kekuatannya secara terbuka. (SH 03/05/2014)

0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

7 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
7
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x