Shahbudin…

Mencatat Hitam Putih Malaysia

Darah Perjuangan Anwar Ibrahim Rupanya Masih Mengalir Dalam Tubuh Zahid Hamidi

Dalam suasana UMNO dan BN masih kalut bagi menghadapi pilihanraya kecil DUN Kajang iaitu sama ada BN perlu bertanding atau tidak dan sama ada calon Melayu atau Cina yang perlu diletakkan bertanding di kawasan itu, Naib Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi berkata, BN berpegang kepada prinsip “lawan tetap lawan” bagi menghadapi pilihanraya itu.

Katanya, biar pun perkara mengenai calon belum diputuskan dan sekiranya seseorang itu sudah dimuktamadkan untuk bertanding mewakili BN, pendirian kita ialah “lawan tetap lawan” kerana sesiapa saja yang menentang BN adalah dianggap sebagai musuh BN.

Pendirian dan sikap tegas Zahid itu tidak ada yang peliknya, malah itulah kewajaran yang sepatutnya bagi mana-mana juga pemimpin politik. Tetapi yang menimbulkan sedikit pelik dan tanda-tanya ialah bila mana Zahid menggunakan unngkapan “lawan tetap lawan” kerana semua orang tahu ungkapan itu begitu sinonim digunakan oleh Anwar Ibrahim sejak dipecat daripada UMNO dan kerajaan pada 1998 lagi.

Dalam kempen PRU 13, ungkapan itu menjadi lebih popular kerana Anwar hampr menyebutnya dalam setiap ceramahnya bagi menaikkan semangat dan menggelegakkan lagi darah perjuangan pengikut serta penyokongnya.

Apabila Zahid tiba-tiba menggunakan ungkapan itu, sedangkan beliau boleh memilih menggunakan ungkapan lain atau setidak-tidaknya mengulangi frasa-frasa kata yang kerap disebut oleh Najib Razak, timbul tanda-tanya mengenai kecenderungan dan kekagumannya terhadap Anwar Ibrahim.

Apakah beliau masih mengkagumi Anwar Ibrahim seperti dahulu?

Walaupun Zahid melonjak dalam dunia politik melalui tangga sebagai Setiausaha Politik Najib tetapi semua orang mengetahui bahawa beliau adalah “budak Anwak” sejak zaman Pemuda UMNO lagi. Bahkan ada khabar yang menyebut bahawa Anwarlah yang meletakkan beliau sebagai Setiausaha Politik Najib berikutan ketika itu Najib juga merupakan penyokong Anwar.

Selepas bertahun-tahun berkhidmat dengan Najib, Zahid kemudian meletakkan jawatan sebagai Setiausaha Politik dan diberikan kedudukan sebagai Pengerusi Bank Simpanan Nasional serta beberapa entiti korporat seperti Kretam Holding dan banyak lagi. Ketika itu Anwar ialah Menteri Kewangan dan Timbalan Perdana Menteri.

Semasa menjadi Ketua Pemuda, Zahid telah membangkitkan isu kronisme dan nepotisme dalam Perhimpunan Agung UMNO sebagai sebahagian daripada perancangan yang disusun oleh Anwar untuk memberi tekanan kepada Mahathir sehingga menimbulkan kemarahan Perdana Menteri ketika itu. Mahathir kemudian bukan saja menangkis dakwaan itu dalam ucapannya, malah turut menyiarkan iklan di akhbar-akhbar utama untuk mendedahkan kroni siapa yang sebenarnya lebih banyak mendapat kontrak dan peluang perniagaan daripada kerajaan.

Ketika Anwar dipecat pada 1998, Zahid merupakan antara pemimpin UMNO yang masih bersama dengan bekas TPM itu, malah kelibat beliau dan para penyokongnya daripada Pemuda UMNO hampir setiap hari berada di rumah Anwar di Bukit Damansara.

Berikutan sokongannya yang berterusan itu, beliau kemudian ditahan dibawah ISA dan terpaksa melepaskan jawatan ketua Pemuda UMNO yang disandangnya sebagai syarat pembebasan dan terus kekalnya bersama UMNO. Turut ditahan dibawah ISA ketika itu, Zambry Abdul Kadir yang sekarang merupakan Menteri Besar Perak.

Selepas meletakkan jawatan sebagai Ketua Pemuda UMNO dan Anwar pula berada di penjara, Zahid tidak menyertai perjuangan Anwar, sebaliknya beberapa pengikutnya semasa dalam Pemuda seperti Saifuddin Nasution, Johari Abdul, Hamdan Taha, Zahid Mohd Arip, Hanafiah Man dan ramai lagi kekal meneruskan perjuangan bersama Anwar. Kini sebahagian meria masih kekal bersama PKR, manakala sebahagian lagi sudah pun kembali bersama UMNO.

Zahid pula, bersama kedudukannya yang semakin terpinggir, selain meneruskan perjuangannya bersama UMNO, beliau juga mengisi masa lapangnya dengan melanjutkan pelajaran di UPM sehingga ke peringkat PhD.

Namun demikian, berikutan sikap ramah, mudah didekati serta mempunyai rangkaian kawan-kawan yang ramai dalam UMNO, Zahid perlahan-lahan bangkit dengan menawarkan diri bertanding sebagai ahli MT UMNO dan beliau sentiasa menang serta mendapat kedudukan Top 10 setiap kali pemilihan UMNO.

Beliau mulai mendapat nafas apabila Pak Lah menjadi Perdana Menteri pada 2003 dengan diberi jawatan sebagai Timbalan Menteri Pelancongan dan kemudian sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Di era Najib pula, berikutan hubungannya yang lama sejak zaman Pemuda, kedudukannya dinaik-tarafkan lagi sebagai Menteri Pertahanan dan kini Menteri Dalam Negeri.

Walaupun Zahid dilihat mempunyai dua “tauke” dalam UMNO iaitu Anwar dan Najib, tetapi berikutan latar belakang Islamnya yang lebih menonjol, beliau lebih dilihat mempunyai kecenderungan terhadap Anwar berbanding Najib. Malahan disebabkan lonjakan yang dibuat Anwar terhadapnya dalam dunia korporat dan perniagaanlah, beliau mampu memenangi jawatan Ketua Pemuda UMNO pada 1996 meskipun pesaingnya ketika itu ialah Annuar Musa, Rahim Tamby Chik dan juga Isa Samad.

Meski berbeza bahtera perjuangan sekarang ini, keintiman jiwa dan rasa kekaguman Zahid terhadap Anwar nampaknya masih lagi berbekas dan sukar dikikis. Menyanjung ungkapan “lawan tetap lawan” yang dipinjamnya daripada Anwar Ibrahim sebagai menunjukkan nilai perjuangan yang seharusnya didukung oleh UMNO dan BN sekarang, ia turut menunjukkan pengiktirafan dan adanya kebersamaan beliau dengan bekas “taukenya”, malah seperti menunjukkan darah perjuangan Anwar masih mengalir dalam tubuhnya.

Dengan Mahathir sendiri mengakui bahawa kedudukan sebagai Menteri Besar Selangor akan menjadi tangga yang lebih baik untuk Anwar menawan Putrajaya dalam pilihanraya umum akan datang, apakah ia juga menyebabkan kekaguman Zahid terhadap Anwar makin menebal sama, meskipun jika diambil kira hakikat bagaimana UMNO menarik balik saman terhadap Tian Chua dan Mustaffa Ali baru-baru ini, ungkapan “lawan tetap lawan” itu sebenarnya sudah terbarai dan tidak terpakai lagi. (SH 02/02/2014)

0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

9 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
9
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x