Menteri KDN Dulu Ada Juga Beri Amaran, Tapi Menteri Baru Senyap Terus

Suatu perkara yang ketara dalam perhimpunan aman Turun di Dataran Merdeka baru-baru ini ialah tiadanya kedengaran suara daripada Menteri Dalam Negeri, Ahmad Zahid Hamidi mengenai perhimpunan itu. Hanya sekali kedengaran kenyataan akhbar yang dikeluarkannya yang mengaitkan perhimpunan itu dengan tindakan subversif, itu pun hanya kenyataan akhbar dan bukannya beliau bercakap secara langsung.

Berbanding ketika menjelang pemilihan UMNO yang menampakkan suara tegasnya bagai halilintar membelah awan terutama kenyataan “tembak dulu, siasat kemudian”, kelibatnya sebagai Menteri Dalam Negeri mengenai perhimpunan Turun ini hampir tiada, kecuali hanya melui kenyataan akhbar yang dikeluarkan kementeriannya saja.

Dikhabarkan beliau sedang bercuti bersama keluarganya di luar negara. Malah seorang pemilik laman sosial ada memuatkan gambarnya bertemu dengan Zahid Hamidi di Harrods, London.

Beberapa waktu sebelum berlangsungnya perhimpunan itu, hanya pihak polis yang didapati mengeluarkan kenyataan. Bermula dengan kenyataan bahawa perhimpunan itu tidak mendapat permit polis, kemudian dilaporkan kemungkinan berlakunya keganasan, mendirikan khemah untuk diletakkan senjata dan bom tangan, penempatan ribuan anggota polis untuk mengawal keadaan, penemuan senjata seperti parang dan sehinggalah akhirnya tindakan memohon maaf kerana memuatkan gambar yang salah berkaitan perhimpunan itu.

Tidak seperti perhimpunan-perhimpunan sebelumnya di mana Menteri Dalam Negeri ketika itu, Hishammuddin kerap kali memberi amaran demi amaran, kali ini nampaknya bukan saja tiada amaran, malahan suara Menteri Dalam Negeri langsung tidak kedengaran.

Jika kita masih ingat, antara punca merudumnya pretasi dan sokongan yang diterima Hishammuddin ialah kegagalannya bertindak dengan bijaksana menangani perhimpunan demi perhimpunan seperti Bersih, anti Lynas dan beberapa siri perhimpunan lainnya di seluruh negara sebelum PRU 13 yang lalu.

Hishammuddin yang lebih dilihat suka memberi amaran tetapi tidak disusuli dengan tindakan telah membangkitkan kemarahan banyak pihak dalam UMNO dan golongan pro kerajaan, sehingga beliau ditafsirkan sebagai pemimpin yang lemah dan jawatan yang disandangnya dipersenda dengan gelaran Menteri Amaran Dalam Negeri.

Akibat kekecewaan itu juga, Hishammuddin hampir kecundang dalam perebutan jawatan Naib Presiden UMNO pada Oktober lalu dimana beliau hanya mampu mendapat tempat ketiga dengan perolehan 101 undi berbanding pencabar terdekatnya Mukhriz Mahathir yang mendapat 93 undi.

Namun perhimpunan Turun ini bukan saja dipropagandakan dengan dakwaan penemuan senjata dan bom tangan, malah turut dikaitkan dengan agenda mengguling kerajaan. Secara kasar ia tentunya perlu lebih diambil perhatian oleh Zahid Hamidi berbanding perhimpunan Bersih yang hanya mahu memastikan pilihanraya secara adil dan bersih serta kerajaan BN dapat ditumbangkan melalui proses pilihanraya.

Tetapi Zahid seolah-olah santai saja menghadapinya.

Perhimpunan Turun di Dataran Merdeka merupakan ujian pertama bagi Zahid dalam menghadapi suara kebangkitan rakyat. Walaupun tidak berlaku kejadian besar yang tidak diingini, kecuali pembatalan tembakan bunga api dan kejadian membaling botol minuman kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur, secara keseluruhannya pihak polis memberi kerjasama baik dan tidak bertindak ganas dalam perhimpunan kali ini.

Ia amat berbeza dengan beberapa perhimpunan sebelum ini yang menyaksikan berlakunya beberapa kejadian tidak diingini seperti kecederaan dan kereta polis diterbalikkan.

Namun demikian, beberapa pihak dalam UMNO dan mereka yang pro kerajaan telah meluahkan rasa tidak puas hati kerana Zahid Hamidi selaku Menteri Dalam Negeri seolah-olah tidak berperanan dan hanya berdiam diri sebelum perhimpunan itu dilangsungkan.

Kalau pun sedang berada di luar negara, Zahid sepatutnya kata mereka, masih boleh bersuara atau memberi arahan kepada pihak polis dalam menangani perhimpunan yang sudah lama dirancang itu, lebih-lebih lagi pihak polis sendiri ada mengeluarkan kenyataan berkaitan penemuan senjata dan kemungkinan bom diletupkan untuk mencetuskan huru-hara.

Mereka turut berhujah bahawa walaupun berhimpun secara aman adalah dibenarkan oleh Perlembagaan, tetapi perhimpunan Turun ini jelas telah meletakkan imej Perdana Menteri dan kerajaan di kedudukan paling buruk, bukan saja di mata rakyat bahkan juga di persepsi antarabangsa.

Zahid Hamidi, kata mereka, terlihat tidak melindungi kerajaan dan Perdana Menteri dalam hal ini. Malah tindakan pihak polis yang baru mula mahu menyiasatnya sedangkan telah memberi kerjasama sewaktu perhimpunan berlangsung seperti menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena dengan Kementerian Dalam Negeri yang dipimpin oleh Zahid Hamidi sekarang ini.

Selemah-lemah Hishammuddin, kata mereka lagi, berani juga dia bersuara dan memberi amaran tetapi Zahid Hamidi langsung tidak keluar suaranya. (SH 02/01/2013)

0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Updated: 26 March 2019 — 1:30 pm
Subscribe
Notify of
guest

2 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
Anonymous
Anonymous
18 January 2014 1:15 pm

Menteri KDN ni bestfren Anwar dulu, kini, selamanya..tlg siasat bpr byk harta Anwar yg dia pegang..sendiri mau igt..rakyat dibodoh2 oleh mrk..
.

Anonymous
Anonymous
3 January 2014 3:04 pm

Kalau PM 1Malaysia pun takut inikan pula Menteri Dalam Negeri.Kedua-dua ekor manusia ni tak da buah kerandut!