Secara umumnya, ucapan Najib selaku Presiden UMNO di perasmian Perhimpunan Agung UMNO tahun ini tiada apa-apa yang menarik dan baharu. Intipati ucapannya adalah ulangan kepada perkara yang telah dilakukannya dan sudah banyak kali diucapkannya sebelum ini.
Stail dan gayanya berucap juga masih seperti yang lama, bermadah dan banyak berperibahasa serta terlihat sedikit menjerit-jerit sehingga kadangkala nadanya seperti mengada-ngada. Sudah banyak kali rungutan kedengaran bahawa sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO, beliau tidak perlu menjerit dalam ucapannya tetapi nampaknya Najib mengulanginya lagi.
Sepertimana perhimpunan tahun-tahun sebelumnya di mana nama Anwar Ibrahim sentiasa menjadi sebutan dan tidak lekang dari bibirnya, kali ini sekali lagi nama Ketua Pembangkang itu menjadi sebutan dan sasarannya.
Dan oleh kerana nama Anwar telah disebut oleh Najib, maka sudah tentunya perwakilan yang mula berucap petang ini turut juga menyebut dan mengulang-ulangnya sehingga hari terakhir perhimpunan nanti. Sekali lagi, dalam sebuah perhimpunan UMNO, nama Anwar yang menjadi Ketua Umum PKR disebut dan menjadi popular.
Bahkan tahun ini, nama Anwar bukan saja disebut oleh Najib yang dikaitkan dengan pembohongan berkenaan 40 ribu pengundi daripada Bangladesh, malahan sebuah tayangan video mengenai Anwar turut dipertontonkan kepada perwakilan UMNO.
Walaupun tayangan video itu adalah bertujuan untuk menyerang dan mengkritik sikap dan tingkah laku Ketua Pembangkang itu serta ingin menunjukkan sikap tidak bertanggungjawabnya terhadap apa yang pernah dikatakannya, hakikatnya Najib telah melakukan suatu pembaharuan dalam perhimpunan kali ini iaitu dengan membawa wajah dan suara Anwar ke dalam Dewan Merdeka.
Jika sepanjang lima tahun lalu, hanya nama Anwar saja yang disebut, kali ini suara dan gambarnya dalam bentuk video pula yang dibawa oleh Najib untuk ditonton oleh perwakilan UMNO.
Semua ini boleh membawa pelbagai tafsiran. Ia seolah-olah memberi gambaran bahawa Najib tidak boleh hidup dan bernafas tanpa menyebut nama Anwar. Walaupun mereka bermusuh dalam politik, tetapi Anwar nampaknya sentiasa dekat dihati Najib.
Dengan membawa video Anwar ke dalam Dewan Merdeka, Najib juga seperti sedang memberi signal kepada perwakilan UMNO bahawa jika keadaan terdesak, tidak mustahil selepas ini Anwar juga akan dibawa masuk ke dewan itu.
Bukankah politik itu seni yang serba mungkin?
Walaupun Najib menang tanpa bertanding sebagai Presiden UMNO dan mungkin kekal lagi sebagai Perdana Menteri untuk tempoh sehingga pilihanraya umum akan datang, tetapi kelemahannya juga semakin kerap diperkatakan sehingga dikatakan mempunyai hubungan yang tidak semesra dulu dengan bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad.
Kekalahan Mukhriz sebagai Naib Presiden UMNO yang dikaitkan kerana beliau bukan calon pilihan Perdana Menteri dan kecenderungan Najib untuk melihat penyandang jawatan itu terus kekal dan kemudian diikuti dengan keengganan Najib melantik Menteri Besar Kedah itu sebagai ahli MT tambahan, dikatakan mengguris hati Mahathir.
Dan apabila Mahathir menulis surat mahu meletakkan jawatan sebagai Penasihat Petronas atas alasan kesihatan dan mahu berehat, ramai yang melihat ianya mungkin ada kaitan untuk memberi tekanan kepada Najib kerana dalam masa yang sama Mahathir bersedia pula terus kekal sebagai Penasihat Proton.
Alasan Mahathir bahawa beliau kekal sebagai Penasihat Proton kerana syarikat itu bukan dimiliki oleh kerajaan, sebaliknya dipunyai oleh DRB-Hicom, nyata menimbulkan lebih banyak tanda-tanya dan seolah-olah beliau tidak mahu lagi dikaitkan dengan kerajaan yang sedang dipimpin oleh Najib.
Spekulasi hubungan Najib dengan Mahathir terus menjadi perbualan ramai kerana Mahathir dikatakan tidak mungkin membiarkan Najib yang semakin lemah dan dikaitkan dengan banyak isu terus menerajui UMNO kerana ia hanya berpotensi membawa kekalahan kepada UMNO dan BN dalam pilihanraya umum akan datang.
Najib pula dilihat mahu terus berkuasa selama yang mungkin dan disebalik kelemahannya yang semakin diperkatakan serta kebencian rakyat yang makin meninggi berikutan satu demi satu kos hidup rakyat dinaikkan, dilihat seperti tidak peduli sama ada BN berkuasa lagi atau tidak selepas PRU 14 nanti.
Meskipun beliau berulangkali menyatakan pilihanraya akan datang adalah kritikal dan lebih sengit daripada PRU 13 tetapi banyak tindakannya kebelakangan ini menunjukkan beliau seolah-oleh hanya mahu BN berkuasa sehingga PRU 14 sahaja. Satu demi satu kelemahan dan kecurangan kerajaan serta kepimpinannya yang terdedah sejak akhir-akhir ini seperti Najib ingin menjadi Perdana Menteri yang terakhir bagi UMNO sebelum ia tumbang ke tangan PR.
Namun menjelang pilihanraya umum akan datang, cabaran yang boleh memendekkan tempoh hayat Najib sebagai Perdana Menteri hanyalah Mahathir.
Apakah dengan menayangkan video dan membawakan wajah dan suara Anwar ke dalam Dewan Merdeka, Najib sebenarnya sedang memberi isyarat bahawa beliau juga boleh membawa masuk Anwar secara nyata dan rasmi ke dalam UMNO jika keadaan memerlukannya berbuat demikian.
Sebagaimana Mahathir boleh menjemput Tengku Razaleigh masuk semula ke dalam UMNO suatu ketika dahulu, tenulah tidak mustahil jika Najib juga boleh menjemput Anwar kembali ke pangkuan UMNO.
Bukankah politik itu seni yang serba mungkin, lebih-lebih jika sudah berkongsi musuh nanti. (SH 05/12/2013)