Surat Terbuka Dari Rakyat Malaysia – Tahniah Dan Terima Kasih Rosmah, Kami Sangat Bangga Denganmu

Kepada
Yabhg Datuk Seri Datin Paduka Dr Rosmah Mansor
First Lady Of Malaysia
Seri Perdana, Putrajaya.

Yabhg Datuk Seri yang kami sayangi,

Setelah membaca kenyataan daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Shahidan Kassim hari ini, kami rakyat Malaysia secara tiba-tiba berasa bersalah kerana telah tersalah anggap selama ini. Benar kata Shahidan, rakyat Malaysia sepatutnya berterima kasih dengan pengorbanan yang Datuk Seri curahkan untuk negara selama ini.

Isu terbaru yang timbul berkaitan lawatan Datuk Seri ke Qatar bersama rombongan dengan menaiki jet eksekutif dan dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan setelah diluluskan oleh Perdana Menteri dan kabinet sebenarnya hanyalah isu remeh jika dibandingkan dengan nilai dan impak daripada lawatan tersebut.

Sebagai isteri Perdana Menteri, kami rakyat Malaysia sedar pengorbanan Datuk Seri dalam hal ini. Jika Datuk Seri ingin bersenang-lenang sebagai isteri ketua kerajaan, Datuk Seri sebenarnya tidak perlu bersusah-payah melakukan lawatan ke sana sini, bertemu dengan ramai orang, menyampaikan ucapan dan sebagainya, sebaliknya Datuk Seri boleh saja duduk goyang kaki di Seri Perdana atau sesekali shopping sakan ke London, Milan atau Paris.

Tetapi Datuk Seri tidak mahu berbuat demikian, sebaliknya ingin turut serta menyingsing lengan menyumbang khidmat bakti untuk negara. Pengorbanan ini memang wajar dipuji. Kami sendiri tidak terbuat dengan apa yang Datuk Seri lakukan ini.  Datuk Seri tidak seperti isteri-isteri penoreh getah atau pesawah padi atau sesetengah kakitangan kerajaan  dan rakyat negara ini yang sanggup membiarkan suami seorang diri saja membanting tulang, sebaliknya Datuk Seri telah menunjukkan contoh teladan yang terpuji untuk kemajuan negara.

Barangkali ramai yang tidak sedar, lawatan ke Qatar baru-baru ini bukanlah makan angin saja tetapi menghadiri forum perniagaan dan berpeluang bertemu dengan pak-pak syeikh Arab yang kaya-raya. Sudah tentu hasil dari lawatan Datuk Seri ini, banyak pelaburan daripada negara-negara Arab akan mencurah-curah selepas ini. Dalam masa yang sama juga, kami percaya, kecantikan dan keangggunan wajah Datuk Seri ini akan menyebabkan lebih ramai pelancong-pelancong Qatar dan negara-negara Arab lainnya akan melawat Malaysia selepas ini.

Dalam hal ini ini, Datuk Seri bukan saja telah membantu menambahkan pelaburan untuk negara, bahkan telah menyumbang sesuatu yang besar sempena Tahun Melawat Malaysia pada 2014 nanti. Secara tidak langsung, Datuk Seri telah memudahkan lagi kerja-kerja Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Nazri Aziz untuk menarik kedatangan pelancong ke negara ini.

Yabhg Datuk Seri, ibu kepada rakyat Malaysia,

Kami amat faham dengan tugas dan fungsi besar Datuk Seri kepada negara ini. Sebagai wanita yang cerdik, pintar dan “clever” yang telah menyumbang banyak kepada negara ini, kami faham keperluan Datuk Seri untuk ke sana sini dengan menaiki jet eksekutif. Hanya dengan menaiki jet eksekutif, barulah aura dan ketokohan Datuk Seri tambah menyerlah lagi, tambahan pula dengan menaiki jet eksekutif juga barulah pak-pak Arab yang berhidung tinggi itu memandang hormat kepada Datuk Seri dan juga negara ini.

Lagi pula, Datuk Seri, Malaysia bukanlah negara yang begitu dikenali di peringkat antarabangsa berbanding sesetengah negara Arab yang kaya dengan minyak itu. Hanya dengan menunjukkan sedikit kesombongan dan keangkuhan, barulah kehadiran Datuk Seri mewakili Malaysia dapat disedari. Pepatah Hindustan selalu menyebut, hanya dengan menunjuk-nunjuk kesombongan dan keangkuhan, kehadiran kita akan lebih disedari dan dihormati.

Kiranya Datuk Seri hanya menaiki pesawat komersil, walaupun lebih menjimatkan tetapi impak dan kesannya kepada negara pasti tidak sama. Hanya mereka yang tidak memahami perkara ini saja yang melalak dan melolong meminta Datuk Seri menaiki pesawat komersil  untuk lawatan ke luar negara.

Bagi kami rakyat Malaysia yang sentiasa berdiri teguh di belakang Datuk Seri, bukan saja lawatan ke luar negara perlu diperuntukkan jet eksekutif, bahkan untuk lawatan dalam negeri sekali pun, Datuk Seri sebenarnya patut diberikan jet eksekutif juga.

Datuk Seri yang kami doakan kesejahteraannya siang dan malam,

Dalam isu jet eksekutif yang menjadi percakapan ramai sekarang ini, kesalahan juga sebenarnya terletak di tangan Perdana Menteri sebelum ini, terutama Tun Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi yang begitu kedekut untuk membenarkan isteri masing-masing menggunakan kemudahan mewah itu semasa pemerintahan mereka.

Jika Tun Mahathir yang sentiasa mendapat kemenangan dua pertiga dalam pilihanraya membenarkan Tun Siti Hasmah menggunakan jet eksekutif ketika pemerintahannya dulu, tentulah ia tidak menjadi isu sekarang ini. Begitu juga jika selepas pilihanraya 2004 di mana Tun Abdullah membawa kemenangan paling cemerlang dengan 198 kerusi, telah bertindak ketika itu memberi kebebasan kepada isterinya aruah Tun Endon dan Tun Jeanne menggunakan jet eksekutif untuk ke mana-mana, pastilah tiada isu bila Datuk Seri menggunakannya sekarang ini.

Malangnya, kedua-dua bekas Perdana Menteri itu bukan saja kedekut tetapi juga tiada wawasan untuk masa depan. Jika ketika BN menang cemerlang, amalan menggunakan jet eksekutif ini sudah dimulakan, tentulah ianya tidak berbangkit lagi di ketika BN hanya menang dengan kelebihan 23 kerusi saja sekarang ini.

Kami juga mengharapkan Datuk Seri teruslah melakukan lawatan ke luar negara dan teruslah juga menggunakan jet eksekutif kerajaan. Sumbangan dan hasil lawatan Datuk Seri ke seluruh dunia sebenarnya amat besar untuk negara. Benarlah kata Shahidan Kassim, rakyat Malaysia harus berbangga dan berterima kasih dengan Datuk Seri.

Kami rakyat marhaen dan miskin yang sudah mula kurang makan gula sekarang sebenarnya amat berbangga dengan kehadiran Datuk Seri, sama bangganya dengan rakyat Filipina terhadap Imelda Marcos, rakyat Mesir terhadap Suzanne dan rakyat Tunisia kepada Lalia Ali suatu ketika dahulu.

Akhirnya atas segala sumbangan dan pengorbanan Datuk Seri untuk negara, kami juga mencadangkan agar sempena hari keputeraan DYMM Yang Dipertuan Agong tahun depan, Perdana Menteri dapat mengurniakan pingat kebesaran yang nembawa gelaran Tan Sri pula kepada Datuk Seri.

Sekian, semoga Datuk Seri terus panjang umur dan menyumbang untuk negara ini.

Daripada kami
Rakyat Malaysia yang memahami. (SH 19/11/2013)

Kongsikan artikel ini
Updated: 26 March 2019 — 1:29 pm

7
Leave a Reply

avatar
0 Comment authors
Anonymousgengster melayu alaf baru.Shakirin Al-Ikram Recent comment authors

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

  Subscribe  
newest oldest
Notify of
Anonymous
Guest
Anonymous

Pedas…. tp kurang berapi. namun begitu syabas kerana begitu memahami…

gengster melayu alaf baru.
Guest
gengster melayu alaf baru.

…sambung….
Kmi bngga datuk seri lebih mmentingkan imej dan kualiti kustom yg hebat dan mahal biarpun ada anak2 yg bersekolah cuma dpt kasut sekolah sepasang setahun..

Shakirin Al-Ikram
Guest
Shakirin Al-Ikram

Good one, lagu ni cepat boleh ganti Raheem Ajis, kahkahkah!!
Salut and tabek, anaknda! Said it all so tak chan NendaNgah nak betul2 dan beralas. Adik AsPan pun gitu.
Rasanya NajiBoRosberdua ni mengalami masaalah pendengaran tahap Barah – tak boleh dego or is it pengelihatan?.

Anonymous
Guest
Anonymous

masih kurang pedas, boleh tambah cili lagi ni sindiran utk Big Moma.

Anonymous
Guest
Anonymous

Siapa makan cili kalau tak rasa pedas memang bukan keturunan Nabi Adam AS

Anonymous
Guest
Anonymous

Ayat akhir para 5, tu yg tiada pd isteri 2 PM terdahulu. Ini kita kena fahami!

Anonymous
Guest
Anonymous

lawakkkk