Shahbudin…

Mencatat Hitam Putih Malaysia

Menunggu Mahathir Bersuara…

Apa yang paling ditunggu di sebalik keputusan pemilihan UMNO semalam ialah apakah reaksi bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad mengenainya. Ia bukan saja mengenai kekalnya status quo Naib Presiden yang menyaksikan anaknya, Mukhriz kalah dan gagal mencetuskan perubahan dalam UMNO tetapi juga berikutan senarai pemenang jawatan MT turut memperlihatkan pemikiran statik lebih menguasai parti itu berbanding agenda ke arah perubahan.

Walaupun mungkin komen dan penilaian Mahathir mengenai keseluruhan rupa bentuk UMNO selepas pemilihan ini turut dinanti, tetapi yang paling mahu didengar oleh ramai orang ialah reaksinya mengenai kekalahan anaknya yang juga MB Kedah itu.

Apatah lagi, sebelum ini pertandingan ini, beliau sudah pun menjangkakan peluang tipis Mukhriz memenangi pertandingan kali ini berikutan dia bukanlah calon pilihan Perdana Menteri. Calon pilihan Najib ialah Zahid, Shafie dan Hishammuddin. Selain itu, Mahathir juga bimbang dengan amalan politik wang yang didakwanya terus berleluasa turut mengecilkan peluang anaknya memenangi salah satu kerusi Naib Presiden ini.

Dengan menjangkakan peluang tipis anaknya, Mahathir mungkin berharap ada simpati perwakilan terhadap Mukhriz di sebalik adanya arahan supaya status quo dikekalkan, semakin agresifnya calon-calon penyandang berkempen di saat-saat akhir, dakwaan adanya amalan politik wang dan timbulnya pelbagai serangan persepsi oleh pelbagai pihak terhadap keputusannya bertanding jawatan nombor tiga itu.

Tetapi nampaknya kenyataan Mahathir itu tidak mengubah apa-apa, termasuk Najib juga tidak memberi respon atau menjanjikan untuk meletakkan Mukhriz sebagai calon pilihannya. Akhirnya sebagaimana yang dijangka oleh Mahathir, anaknya kecundang lagi dalam persaingan jawatan dalam UMNO meskipun kalau dikira berdasarkan undi popular, kemenangN berpihak kepadanya berbanding Hishammuddin yang mendapat tempat ketiga itu.

Kekalahan Mukhriz ini juga menyaksikan beliau agak tidak bernasib baik apabila bertanding dalam UMNO. Pada 2004, beliau kalah dalam percubaannya mahu menjadi Ketua Pemuda Kubang Pasu, pada 2009 kalah pula kepada KJ untuk jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia dan kini kalah pula untuk jawatan Naib Presiden UMNO. Beliau hanya menang Exco Pemuda UMNO pada 2004 dan semalam juga menang tanpa bertanding sebagai Ketua UMNO Bahagian Jerlun.

Jika kekalahan Mukhriz kepada KJ pada 2009 menyebabkan Mahathir selalu menyebut mengenainya pertandingan itu yang dipaliti dengan amalan politik wang sehinggalah sekarang, kekalahan kali ini tentunya lebih melukakannya. Ini kerana amalan politik wang bukan saja terus berlaku dan diakui oleh salah seorang calon MT, Nur Jazlan yang menyebut perlu ada sekurang-kurangnya RM13 juta untuk seseorang menang Naib Presiden, kekalahan Mukhriz juga dikaitkan dengan pendirian Najib yang tidak terbuka dan lebih condong menyokong status quo.

Walaupun Mukhriz juga anak bekas PM tetapi Najib hanya berminat menyokong seorang saja calon daripada kalangan anak bekas PM iaitu Hishammuddin yang juga sepupunya. Dalam masa yang sama, KJ yang juga menantu bekas PM turut diketahui tidak berpihak kepadanya.

Ini menjadikan dalam usaha Mukhriz mahu menempatkan dirinya sebagai Naib Presiden, cabarannya bukan saja kerana tidak menjadi calon pilihan Najib tetapi juga kerana beliau terpaksa berhadapan dengan tiga keluarga bekas PM iaitu keluarga Tun Rasak, Tun Hussein dan Tun Abdullah atau Pak Lah yang dilihat mahu menghalang kemaraannya.

Walaupun Pak Lah tidak campurtangan tetapi beberapa hari sebelum hari pengundian, ibu KJ iaitu Rahmah Abdul Hamid turut memberikan pandangannya mengenai ketidakwajaran Mukhriz bertanding dengan alasan beliau sepatutnya lebih menumpukan kepada peranan dalam politik kedah bebanding di peringkat nasional.

Dengan kedudukannya sebagai besan kepada bekas PM dan veteran UMNO, komennya itu juga dilihat sebagai usaha mahu menghalang kemaraan Mukhriz dan menjadikan KJ lebih selesa berada di belakang ketiga-tiga Naib Presiden sedia ada.

Begitu juga, walaupun sukar dibuktikan adanya arahan daripada Najib mahu melihat Mukhriz kalah tetapi dengan tiada satu undi pun diperolehinya daripada 14 bahagian di Pahang dan juga dari menteri atau pemimpin yang diketahui rapat dengan Najib, hakikat adanya campurtangan Najib sukar ditolak begitu saja.

Berdasarkan semua elemen yang menyebabkan Mukhriz kalah kali ini, ternyata ia lebih dahsyat dan tersusun berbanding kekalahan Mukhriz pada 2009 dulu. Untuk itu, kebarangkalian untuk Mahathir sekadar berdiam diri dan redha saja dengan kekalahan anaknya ini, barangkali jauh panggang daripada api.

Ia juga menampakkan seolah-olah Mahathir mahu dikurangkan pengaruhnya dalam UMNO, selain budi dan jasanya membantu memenangkan BN dalam pilihanraya lalu juga bagaikan tidak lagi dihargai.

Dengan ini, Mahathir pasti akan melontarkan suaranya, kalau pun tidak menghalakan meriamnya kepada Najib dan UMNO. Dan muntahan peluru daripada Mahathir ini sedang ditunggu oleh semua orang. Tetapi oleh kerana pilihanraya kecil Sungai Limau akan diadakan dalam waktu yang terdekat ini dan ianya sekali lagi merupakan cabaran kepada Mukhriz, mungkin Mahathir menangguhkan dulu serangannnya itu sehinggalah pilihanraya kecil itu berakhir.

Yang ditunggu juga, apakah serangan Mahathir kali ini akan menyebabkan hanya Najib yang tersungkur atau turut membuatkan UMNO tumbang akhirnya? Dalam tempoh masa yang tidak terlalu lama, percayalah, detik-detik dramatik itu pasti akan bermula. (SH 20/10/2013)

0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

13 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
13
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x