Pengerusi Felda, Isa Samad adalah antara pemimpin UMNO yang suka melawak dan mempunyai banyak perumpamaan apabila bercskap mengena sesuatu isu. Ada-ada saja perumpamaan atau contoh perbandingan yang keluar dari mulutnya dan selalunya pula ianya terlihat logik dan mudah diterima akal.
Sikapnya yang suka melawak, bergurau dan mudah didekati, selain banyak perumpamaan menarik dalam diari pemikirannya, menjadikan beliau antara pemimpin UMNO yang disenangi di peringkat akar umbi.
Beliau yang pernah menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan selama 22 tahun dan kemudian dilantik Menteri Wilayah Persekutuan pada 2004 tetapi digugurkan kerana kesalahan politik wang, kini menjadi Pengerusi Felda dan sedang mencuba kembali untuk menduduk kerusi Naib Presiden UMNO yang pernah dimenanginya pada 2004 dahulu.
Kali ini persaingan nampak sengit. Ada enam calon yang bertanding termasuk dirinya. Ketiga-tiga penyandang iaitu Zahid, Hishammuddin dan Shafie memegang jawatan menteri di peringkat pusat, Mukhriz pula memegang jawatan Menteri Besar Kedah manakala beliau menjadi Pengerusi sebuah GLC dan Ali Rustam pula menjadi Pengerusi PUNB.
Dalam usahanya memenangi semula jawatan Naib Presiden itu, Isa kali ini menasihatkan para perwakilan agar memilih dengan berhati-hati serta teliti, umpama memilih buah durian.
Katanya, “apabila kita membeli durian, walaupun ia dijual longgok, kita perlu memeriksa setiap biji buah dengan teliti. Kita mesti bau dan goncang buah dengan teliti. Akhirnya kita hanya memilih yang baik. Prinsip yang sama digunakan apabila memilih pemimpin”.
Sekali lagi, Isa terlihat bijak menggunakan perumpamaan dan perbandingan supaya orang mudah membuat pilihan. Perbandingan Isa yang menyamakan memilih pemimpin dengan memilih buah durian ada logik serta benarnya.
Maknanya, dalam memilih pemimpin mestilah teliti dan mengambil kira beberapa aspek sebelum pilihan hendak dibuat. Tidak boleh memilih secara semberono atau berdasarkan ikut-ikutan saja. Tidak boleh juga juga pilihan dibuat kerana berdasarkan adanya pakatan atau rakit. Kekuatan dan kebolehan seseorang pemimpin itu harus dinilai dan diteliti demi masa depan parti itu.
Perumpamaan dan perbandingan Isa ini juga menggambarkan sikapnya yang sayangkan parti. Walaupun beliau bertanding, beliau tidak meminta secara langsung agar dirinya dipilih. Beliau hanya meminta dipilih pemimpin yang baik. Dengan kata lain, jika dirinya dirasakan baik, maka pilihlah tetapi jika tidak, pilihlah pemimpin yang lain.
Macam juga kita memilih buah durian, jika didapati baik, maka belilah. Kalau tidak baik, tak payahlah beli. Boleh mencari durian yang baik di tempat lain pula.
Cumanya, kalau pemimpin umpama durian, Isa Samad dalam kedudukan dan usianya sekarang merupakan durian jenis apa? Adakah beliau durian musang king, durian tembaga, durian D24 atau durian kampung? Atau adakah beliau sudah termasuk dalam kategori durian longgok yang berharga 3 biji RM10?
Atau barangkali sudah boleh dianggap durian yang mahu dibuat tempoyak?
Walaupun perumpamaan pemimpin dengan durian itu ternampak lojik tetapi apabila Isa yang memperkatakannya dan beliau pula merupakan antara pemimpin yang bakal dipilih itu, ia seolah-olah tidak mahu dirinya dipilih sebagai salah seorang Naib Presiden UMNO kali ini. Perumpamaan ini jelas tidak memihak kepada dirinya.
Dengan rekod pernah menjadi Menteri Besar selama 22, pernah menjadi Menteri Wilayah Persekutuan, pernah juga bertanding dan menang pelbagai jawatan dalam UMNO, pernah didapati bersalah kerana politik wang dan kini memegang jawatan dalam GLC yang biasanya untuk orang-orang pencen, Isa ternyata bukan lagi durian musang king atau D24.
Kalau pun belum termasuk dalam kategori durian yang mahu dibuat tempoyak, Isa setidak-tidaknya adalah durian longgok yang berharga 3 biji RM10 atau 5 biji RM10 saja.
Ini kerana keperluan UMNO dewasa ini ialah kepada pemimpin muda yang berkebolehan serta boleh menampilkan wajah baru dan segar UMNO di pandangan rakyat biasa. Berbanding ketiga-tiga penyandang Naib Presiden yang lebih muda daripadanya serta boleh dianggap durian yang baik-baik, Isa ternyata di belakang mereka.
Begitu juga jika mahu dibandingkan dengan Mukhriz yang jauh lebih muda dan turut dianggap durian yang baik, Isa bukanlah durian yang lebih baik daripadanya.
Beliau mungkin menjadi pilihan kepada perwakilan tertentu saja sepertimana masih kedapatan ada orang yang membeli durian longgok yang berharga 5 biji RM10 di pasar-pasar malam.
Tambahan pula, selain Isa yang bertanding jawatan Naib Presiden, anaknya Najib Isa ( sama nama dengan Perdana Menteri) turut juga bertanding Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia kali ini. Dengan beliau anak-beranak menawarkan dirinya untuk berada dalam kepimpinan UMNO di peringkat Pusat, barangkali hanya seorang saja yang dianggap durian yang masih baik dan harum baunya.
Nampaknya perbandingan Isa Samad mengenai memilih pemimpin macam memilih buah durian merupakan perbandingan yang tidak menguntungkan dan tidak juga memihak kepada dirinya. Isa seolah-olah sedang berkempen agar perwakilan jangan memilih dirinya. (SH 07/10/2013)