Kalaulah Mukhriz Kalah Naib Presiden UMNO…

Penyertaan Menteri Besar Kedah, Mukhriz Mahathir dalam perebutan jawatan Naib Presiden UMNO tidak sudah-sudah mengundang kontroversi. Daripada disyaratkan meminta nasihat Presiden UMNO terlebih dahulu, kemudian penyertaannya dikatakan tidak mendapat restu berikutan Najib mahu penyandang sedia ada dikekalkan dan terbaru ini, beliau dikatakan merupakan ancaman kepada kedudukan Najib pula.

Namun di sebalik semua itu, mood dan trend perwakilan UMNO menjelang pemilihan 19 Oktober depan terlihat semakin mengukuh terhadapnya. Kedudukan sebagai anak Mahathir, kejayaan BN menawan semula Kedah dan imejnya sebagai antara pemimpin muda yang baik dan berwibawa adalah antara faktor penyumbang ke arah itu.

Ini menjadikan, meskipun tarikh pemilihan ada kira-kira tiga minggu lagi tetapi ramai menjangkakan beliau tidak menghadapi banyak masalah untuk menduduki salah satu daripada tiga kerusi naib presiden itu.

Secara langsung juga keadaan ini menjadikan sekurang-kurangnya salah seorang daripada tiga penyandang kerusi Naib Presiden iaitu Zahid Hamidi, Hishammuddin dan Shafir Apdal mulai rasa tergugat. Sekiranya, dua lagi calon iaitu Isa Samad dan Ali Rustam turut berupaya melonjakkan diri masing-masing, tambahan pula kedua mereka juga pernah menyandang kerusi itu sebelum ini, bermakna ketiga-tiga penyandang jawatan naib presiden ini tidak lagi selamat kedudukannya.

Serentak dengan tersebarnya cakap-cakap bahawa penyertaan Mukhriz tidak mendapat restu Najib, spekulasi itu bertambah hangat apabila Zahid, Hishammuddin dan Shafie dilihat bersama-sama dan saling bergandingan tangan ketika hadir di hari penamaan calon pada 21 September lalu.

Walaupun dinafikan ada pakatan atau sebarang usaha untuk mewujudkan blok undi, kempen-kempen yang mahukan ketiga-tiga penyandang itu dikekalkan ternyata semakin tersebar di mana-mana.

Di Wilayah Persekutuan pula, ketika majlis memperkenalkan salah seorang calon Naib Presiden, Zahid Hamidi kepada para perwakilan yang diadakan di sebuah hotel minggu lalu, Tengku Adnan Tengku Mansor secara terbuka menyatakan bahawa Najib mahukan ketiga-tiga penyandang sedia ada dikekalkan.

Apabila perkara itu menjadi heboh dan disiarkan dalam beberapa blog pro UMNO, diberitahu kemudiannya bahawa ucapan Tengku Adnan pada malam itu adalah atas kapasitinya sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO WP dan bukannya sebagai Setiausaha Agung UMNO. Namun yang jelasnya, Ku Nan dengan kedudukan dan gambarannya sebagai “tangan kanan” Najib dilihat mahukan perwakilan UMNO WP mengekalkan naib presiden sedia dan menolak Mukhriz.

Di kalangan ketua-ketua cawangan dan para perwakilan WP, ucapan Ku Nan itu telah menimbulkan keresahan dan serba salah kerana ramai yang beranggapan bahawa kehadiran Mukhriz sebagai salah seorang naib presiden seharusnya diterima dengan baik, sesuai dengan saranan meremajakan parti dan menerima pemimpin muda yang berkelayakan yang sering dilaung-laungkan sebelum ini. Tambahan pula, di kalangan tiga penyandang naib presiden itu ada yang begitu dipertikaikan kewibawaan dan daya kepimpinannya.

Di negeri-negeri lain juga didapati bahawa kempen yang mahukan ketiga-tiga penyandang dikekalkan turut kedengaran. Dalam banyak keadaan pula, nama Najib turut digunakan untuk menguatkan keyakinan agar para perwakilan bersetuju tanpa banyak soal dengannya.

Hujah yang digunakan ialah Najib dikatakan cukup selesa bekerja dengan ketiga-tiga naib presiden sedia ada yang sudah dikenalinya cukup lama dan sekiranya berlaku perubahan ia mungkin merencatkan sebarang usaha ke arah transformssi dalam parti dan juga kerajaan yang mahu dilakukan Najib selepas ini.

Dan terbaru ini, kemenangan Mukhriz sebagai naib presiden dikatakan sebagai ancaman kepada Najib pula. Apa yang ditulis oleh The Economist mengenai hal itu sebenarnya adalah perkara yang sudah menular jauh diperbualkan di kalangan para perwakilan. Tujuannya tidak lain ialah untuk menghalang kemenangan Mukhriz dan menjadikan status quo naib presiden tidak berubah.

Isu kehadiran Mukhriz sebagai ancaman kepada kedudukan Najib kini bukan saja terpaksa dinafikan oleh tuan punya badan sendiri tetapi turut dilakukan oleh Mahathir juga. Mukhriz, kata Mahathir lagi, tidak mempunyai apa-apa niat buruk terhadap Najib.

Sementara Mukhriz mulai menyedari bahawa kempen-kempen untuk menolaknya daripada memenangi jawatan Naib Presiden UMNO mulai mengancam peluangnya, Mahathir pula tentunya terpaksa berbuat demikian kerana tidak mahu anak bongsunya itu kecundang dalam pemilihan kali ini.

Setelah kalah dalam pertandingan merebut jawatan Ketua Pemuda Kubang Pasu kepada Haji Zulkifli dalam pemilihan 2004 dan kemudian kalah juga kepada Khairy Jamaluddin dalam pertandingan Ketua Pemuda UMNO Malaysia pada 2009, Mahathir tentunya tidak rela melihat Mukhriz kalah lagi dalam pendakiannya menuju puncak hireaki dalam UMNO dan juga kerajaan.

Walaupun Najib sudah menafikan beliau merestui calon-calon tertentu dan menyerahkan kepada para perwakilan membuat pilihan, namun ia didapati semakin kerap diperkatakan di mana-mana. Semakin dekat hari pemilihan, dipercayai lagu yang mengatakan Najib mahu Zahid, Hishammuddin dan Shafie dikekalkan, pastinya lebih kerap didendangkan dengan pelbagai irama dan tempo oleh tukang-tukang kempen sama ada yang rasmi mahupun tidak rasmi.

Semakin kuat Mukhriz cuba menyelit dan memastikan kemenangannya, begitu jugalah semakin kuat gerakan yang mahu menolaknya.

Cumanya, bolehkah Mukhriz disingkirkan sedangkan mood dan kehendak perwakilan secara majoritinya lebih memihak kepadanya?

Kemenangan Mukhriz mungkin menjadikan UMNO tambah menarik dengan wajah kepimpinan yang dilihat lebih segar dan meyakinkan di mata rakyat tetapi sekiranya Mukhriz kalah, drama-drama dalam UMNO selepas itu juga pastinya lebih menarik lagi.

Mahathir tentunya sekali lagi menjadi watak yang paling lantang mengkritik UMNO dan Najib tidak akan terlepas daripada sasarannya. (SH 30/09/2013).

0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Updated: 26 March 2019 — 1:29 pm
Subscribe
Notify of
guest

5 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
Anonymous
Anonymous
30 September 2013 10:22 am

Jika mahu berlaku adil dalam memilih pemimpin , kita tidak akan mempersoalkan seseorang itu dari keturunan apa, anak siapa, kroni siapa tapi pekara utama yang kita perlu nilaikan ialah apakah mereka itu ada kemampuan memimpin sebuah parti yang isi dalamnya penuh dengan kerenah yang merumitkan ? Jika anak si polan itu berkebolehan menjadi seorang pemimpin politik yang cemerlang, gemilang dan terbilang yang kita percaya bahawa beliau mampu memberi kebaikan kepada semua orang, apakah patut kita halang atau cantas mereka kerena mereka dari keturunan hantu raya yang telah mentekedarah duit rakyat 100 bilion ringgit ? Tapi jika seseorang itu naik bukan… Read more »

Anonymous
Anonymous
30 September 2013 9:16 am

Mukhriz tk menang pun tk pa. Buktikan dulu slogan kempen PRU 13 BN MENANG RAKYAT SENANG. Kami di Kedah belum senang.

Anonymous
Anonymous
30 September 2013 9:14 am

Kalau Mukhriz itu Mukhriz yang sebenar dirinya, rasanya tak ada masalah, dia boleh serap masuk dalam team transformasi Najib. Akan tetapi, besar kemungkinannya, dia hanya akan jadi bayang Mahathir. Segala percaturan tindak tanduknya akan diatur oleh Mahathir nanti, ibarat tok dalang wayang kulit. Penonton wayang kulit tidak tahu apa yang sebenarnya berlaku di belakang layar. Mahathir akan berusaha bermati-matian untuk jadikan Mukhriz PM sebelum dia memejam mata. Rencana itu sedikit sebanyak akan membawa kegoncangan dalam kesejahteraan dan perpaduan dalam UMNO. Kemenangan Mukhriz bukan sahaj akan menjadi ancaman dan masalah kpd Najib, tetapi juga kpd UMNO!

Anonymous
Anonymous
30 September 2013 7:10 am

Elok lah dia kalah. Mukhriz bukan lah hebat mana pun sekadar ada nama bapa nya Mahathir yang ramai rakyat meluat. tumpu sahaja lah kat Kedah tu bantu semua orang Melayu lepas tu kalau berjaya bolih lah berangan nak jadi PM. Tapi elok lah ketepikan sahaja dia ni supaya jangan berbuah dua kali sejarah PM di Malaysia ni. Anyway is he a Malay?….

Anonymous
Anonymous
30 September 2013 6:57 am

Elok lah dia kalah. Mukhriz bukan lah hebat mana pun sekadar ada nama bapa nya Mahathir yang ramai rakyat meluat. tumpu sahaja lah kat Kedah tu bantu semua orang Melayu lepas tu kalau berjaya bolih lah berangan nak jadi PM. Tapi elok lah ketepikan sahaja dia ni supaya jangan berbuah dua kali sejarah PM di Malaysia ni. Anyway is he a Malay?….