Peluang Wanita UMNO Memulihkan Imejnya

Kehadiran Maznah Mazlan sebagai pencabar Shahrizat Jalil di saat-saat akhir bagi jawatan Ketua Wanita UMNO pada 12 Oktober depan, kembali menghangatkan perebutan bagi jawatan itu. Sebelum ini apabila bekas Ketua Puteri UMNO, Azalina Othman Said menarik diri daripada mencabar Shahrizat kerana dikhabarkan dinasihatkan berbuat demikian di samping dijanjikan kedudukan dalam sebuah GLC serta jawatan kanan dalam Wanita UMNO, bekas Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga itu dijangka akan menang mudah dalam pemilihan kali ini.

Ini kerana, meskipun terdapat seorang lagi individu bakal mencabarnya iaitu Raihan Sulaiman Palestin tetapi beliau dilihat bukanlah seorang yang mempunyai kekuatan dan profil meyakinkan untuk menggugat Shahrizat. Selain rekod dan pencapaiannya dalam Puteri UMNO suatu ketika dahulu tidak ada yang membanggakan, pergaulan dan percampurannya dalam Wanita UMNO juga begitu terhad.

Orangramai mungkin hanya mengingati Raihan kerana beliau adalah anak kepada Sulaiman Palestin yang pernah mengejutkan ramai kerana keberaniannya mencabar Hussein Onn bagi jawatan Presiden UMNO. Selebihnya hampir tidak ada. Lantaran itu, Raihan tidak dilihat sebagai pencabar yang kuat kepada Shahrizat.

Tetapi dengan kehadiran Maznah, yang muncul tanpa sebarang desas-desus atau khabar angin sebelumnya tetapi muncul mengemukakan borang pencalonan hanya kira-kira 20 minit sebelum tempohnya berakhir, menjadikan perebutan jawatan Ketua Wanita UMNO kembali panas dan laluan Shahrizat untuk mempertahankan jawatan tersebut turut berliku.

Maznah, salah seorang EXCO Wanita, kini merupakan ADUN Muadzam Shah dan sebelum ini pernah dilantik Senator dan Timbalan Menteri Sumber Manusia, dilihat cukup meyakinkan bukan saja untuk memberi cabaran kepada Shahrizat tetapi juga untuk melakar wajah baru yang lebih berseri kepada Wanita UMNO bagi menghadapi PRU 14.

Dibandingkan dengan Shahrizat yang pernah menjadi menteri dan lebih popular berbanding Maznah, tetapi dari sudut imej dan”baggage” Maznah ternyata kelihatan lebih baik dan lebih ringan. Beliau tidak ada imej lembu NFC yang menjadi perbualan umum dan penyelewengan dana 1Azam sebagaimana Shahrizat.

Sebaik mengetahui beliau bakal dicabar oleh salah seorang Exconya, Shahrizat lantas memberi reaksi spontannya dengan mengaitkan kehadiran Maznah sebagai calon proksi yang dikatakan ditonjolkan oleh Rafidah Aziz, selain cuba memburukkan pencabarnya itu sebagai tokoh wanita yang tidak aktif serta tidak menghadiri mesyuarat sejak sekian lama.

Walaupun Maznah pantas menangkis kehadirannya sebagai calon proksi dengan mengatakan beliau seorang yang boleh berfikir dan membuat pendirian sendiri, reaksi Shahrizat itu jelas memperlihatkan beliau mulai rasa tergugat kedudukannya.

Memang diakui bahawa Wanita UMNO merupakan sayap penting kepada UMNO. Mereka bukan saja saja aktif dalam kerja-kerja pilihanraya dan kemasyarakatan tetapi kehadiran golongan wanita jugalah yang menunjangi kekuatan UMNO dan kerajaan selama ini. Bukan saja dalam mesyuarat UMNO cawangan-cawangan tetapi juga pelbagai program di seluruh pelusuk negara, termasuk yang didihadiri Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, jika tidak kerana ramainya kaum wanita yang memenuhi majlis dan menampakkan program yang diadakan mendapat sambutan ramai, barangkali sudah lama Najib dan Muhyiddin patah semangat dibuatnya.

Namun isu lembu NFC telah banyak mencalarkan wajah Wanita UMNO. Isu itu membuatkan Wanita UMNO tidak lagi dihormati seperti dulu. Dalam pilihanraya umum lalu, antara sebab Wanita UMNO masih mampu bertahan ialah kerana Shahrizat tidak dijadikan calon pilihanraya dan ramai yang menganggapnya tempoh kepimpinannya akan berakhir sebaik saja pilihanraya tamat. Penggugurannya sebagai menteri meyakinkan rakyat bahawa zaman pencennya sudah menemui titik mula.

Cuba bayangkan prestasi UMNO dan gerak kerja Wanitanya dalam pilihanraya lalu jika Shahrizat dijadikan calon atau diberitahu beliau akan dilantik sebagai penasihat bertaraf menteri kepada Perdana Menteri?

Dalam hal ini, merubah dan menyolek wajah baru kepada Wanita UMNO untuk ditampilkan lebih berseri adalah penting untuk difikirkan. Ketika isu lembu NFC muncul dulu, begitu ramai yang mahukan Shahrizat berundur. Mereka termasuklah Mahathir, beberapa pemimpin UMNO dan kalangan dalam Wanita UMNO sendiri.

Selepas pemilihan 12 Oktober ini, pemilihan UMNO yang seterusnya ialah pada 2016. Tetapi mengikut amalan biasa, pemilihan itu selalunya akan ditanggunhkan untuk memberi laluan kepada pilihanraya umum yang mungkin diadakan pada 2017 atau 2018. Jika itu berlaku, bermakna kepimpinan yang dipilih kali ini adalah mereka yang akan memainkan peranan dalam pilihanraya akan datang yang dijangka tidak kurang getir dan mencabarnya seperti pilihanraya umum lalu.

Persoalannya, jika Shahrizat dipilih lagi, mampukah Wanita UMNO berdepan dengan rakyat sedangkan beliau yang dulunya sudah digugurkan sebagai menteri kini dilantik pula sebagai penasihat khas bertaraf menteri? Tidakkah rakyat terasa mereka dipermain-mainkan dengan pengguguran Shahrizat sebelum ini?

Walaupun Maznah tidak sepopular Shahrizat tetapi imej dan rekodnya belum tercemar lagi. Penampilannya juga meyakinkan. Jika dulu Azalina dikatakan tidak sesuai memimpin Wanita UMNO kerana tidak pernah mempunyai pergaulan yang cukup dalam Wanita, selain tidak pernah menjadi ibu, Maznah melebihi kelayakan itu. Soal calon proksi tidak seharusnya ditimbulkan kerana ketika Shahrizat mencabar Rafidah dulu pun, tiada sesiapa bertanya beliau calon proksi kepada siapa ketika itu.

Pemilihan pemimpin Wanita UMNO kali ini tidak diragui lagi mempunyai kepentingan bukan saja dalam memulihkan imejnya tetapi yang jauh lebih penting ialah peranannya dalam membantu sama ada UMNO terus tegak atau berkecai dalam pilihanraya akan datang. Mengekalkan mereka yang telah tercemar dan terpalit dengan kekotoran samalah seperti menyumbang kepada keruntuhan UMNO.

Inilah masanya untuk Wanita UMNO membuat pilihan yang jujur dan objektif. (SH 28/09/2013)

0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Updated: 26 March 2019 — 1:29 pm
Subscribe
Notify of
guest

2 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
Anonymous
Anonymous
29 September 2013 11:37 am

Fahamkah kita kenapa projek NFC dibiarkan sepi malah sandiwara sorong tarik ini terus bermain dipentas politik UMNO Baru ? Sebenarnya projek NFC bermodalkan ratusan jutaan ringgit adalah projek dicipta untuk gagal yang berkait rapat dengan rasuah dalam kategori usaha sama makan bersama. Oleh kerana itu jika suami Shahrizat bersendirian dalam kes itu sudah pasti Shahrizat telah disingkirkan dari awal lagi seperti yang terjadi keatas Khir Toy. Slogan yang kita selalu dengar adalah "melayu mudah lupa…….melayu yang tidak tahu bersyukur….melayu tak tahu kenang budi…." Apakah kita fahamkah maksud yang tekandung dalam slogan itu…. Ada banyak prasangka tentang slogan itu namun yang… Read more »

kluangman
kluangman
28 September 2013 3:52 pm

Pilih lah ikut mana yg najib suka…kalau tak begitu tau, Cuba Tanya teuku Nan.