Kuala Besut: Hanya Ahmad Said Yang Wajar Bergembira

Seperti yang dijangka, pilihanraya kecil DUN Kuala Besut adalah kawasan yang sukar bagi Pas. Walaupun Pas turun bertanding dengan semangat yang tinggi ingin membawa perubahan dan mencipta sejarah Terengganu seri, Kuala Bssut nampaknya bukanlah medan yang sesuai bagi tujuan itu.

Meski Pas kali terakhir pernah memenangi DUN Kuala Besut pada 1999 tetapi sejak 2004, kawasan itu merupakan kubu ampuh bagi UMNO dan BN. Sejak kepimpinan Idris Jusoh di Besut di mana beliau juga pernah menjadi Menteri Besar daripada 2004 hingga 2008, kawasan itu sudah beralih menjadi kubu yang selamat bagi UMNO dan BN.

Tambahan pula dalam pilihanraya kecil kali ini, BN juga melambakkan projek pembangunan bernilai hampir RM500 juta yang meliputi 15 projek untuk kepentingan nelayan dan pelancongan di kawasan itu. Dengan tempoh kempen hanya 11 hari tetapi 15 projek dicurahkan, bermakna dalam sehari penduduk di situ diberi lebih daripada satu projek pembangunan.

Ini merupakan suatu hakikat bahawa kerajaan sebenarnya amat pemurah dalam mencurahkan projek jika kedudukannya hampir tergugat.

Dalam keadaan itu, tidak menghairankan jika BN terus menang di Kuala Bssut. Bagaimanapun, kemenangan ini sebenarnya tidak boleh terlalu dibanggakan jika dikira dengan nilai wang yang dicurahkan berbanding dengan undi yang diperolehi. Meskipun mengekalkan kedudukan 17-15 di DUN Terengganu, kemenangan di Kuala Besut hanyalah dengan majoriti 2592 undi berbanding 2434 pada pilihanraya umum 5 Mei lalu.

Ini bermakna dengan hampir RM500 juta dicurahkan, 15 projek pembangunan dilambakkan dan hampir semua menteri dan pemimpin UMNO serta kerajaan berkampung atau berulang-alik ke Kuala Besut, peningkatan undi yang diperolehi hanyalah 158 sahaja. Terlalu mahal kos yang perlu dibayar untuk kemenangan ini dan hampir tidak berbaloi dengan nilai kemenangan yang diperolehi.

Kalaupun kemenangan ini mahu juga dibanggakan dan membuatkan hati gembira, barangkali yang layak berbuat demikian hanyalah Menteri Besar, Ahmad Said saja. Dengan kemenangan ini dan mengekalkan sttaus quo 17-15, Ahmad Said sekurang-kurangnya akan kekal lagi sebagai Menyeri Besar sehingga 2018.

Jika BN kalah dan kedudukan menjadi 16-16, kedudukan beliau sebagai Menteri Besar tentunya akan tergugat. Tetapi sekarang beliau tentunya boleh tersenyum panjang sehingga tarikh pilihanraya umum akan datang. Kerusi Menteri Besarnya pasti selamat dan tidak tergugat lagi, kecuali kalau ada lagi ADUN BN yang meninggal dunia selepas ini.

Bagi Muhyiddin dan Idris Jusoh yang menjadi Pengarah dan Timbalan Pengarah pilihanraya pula, kemenangan ini tidak mengubah apa-apa kedudukan mereka. Mungkin sekadar menerima pujian dan kata-kata ucapan tahniah saja.

Kedudukan Najib juga tidak berubah. Kemenangan di Kuala Besut ini juga tidak mungkin menjadikan kerusi Presiden UMNO dan Perdana Menteri yang didudukinya bertambah kukuh atau kebal. Isu pilihanraya kecil jelas berbeza dengan isu dalam pemilihan UMNO. Sekiranya ditakdirkan ada pertandingan bagi jawatan Presiden UMNO hujung tahun ini, kemenangan di Kuala Besut ini sama-sekali tidak menjadikan geraf politiknya menaik, bertambah baik atau menjadikan beliau takut ditandingi.

Sokongan pengundi Melayu luar bandar terhadap UMNO yang dicapai dalam kemenangan di Kuala Besut ini tidaklah terlalu menghairankan. Kemenangan 133 kerusi dalam pilihanraya umum lalu pun disumbangkan oleh pengundi Melayu di kampung-kampung, luar bandar dan pedalaman. Sokongan mereka kepada UMNO dan BN adalah kerana keyakinan mereka UMNO masih memperjuangkan kepentingan Melayu di samping adanya pemimpin seperti Muhyiddin yang masih kuat jiwa Melayunya.

Iulah sandaran sokongan pengundi Melayu luar bandar kepada UMNO.

Dalam erti kata yang lain, pengundi Melayu rata-ratanya menolak sikap liberal, terbuka dan jiwa 1Malaysia yang cuba diterapkan oleh Najib. Hanya kerana masih adanya Muhyiddin dan lain-lain pemimpin yang meletakkan “Melayu dahulu” yang masih ada dalam UMNO yang masih menambat hati mereka ini terhadap UMNO.

Meskipun Muhyiddin menyifatkan kemenangan di Kuala Besut adalah hadiah hari jadi kepada Najib yang menyambut ulang tahun kelahirannya ke 60, hakikatnya hadiah ini tidaklah begitu berharga kepada Najib. Berbanding Ahmad Said yang dihadiahkan dengan kekal sebagai Menteri Besar melalui Kuala Besut dan Muhyiddin yang lebih diberi pujian atas kedudukannya sebagai Pengarah Pilihanraya, Kuala Besut sebenarnya hanya memberi makna yang kecil bagi Najib.

Bahkan yang lebih dibimbangi Najib kiranya aura kemenangan Kuala Besut ini lebih menyerlahkan kehebatan Muhyiddin berbanding dirinya menjelang Perhimpunan UMNO hujung tahun ini. (SH 25/07/2013)

Kongsikan artikel ini
Updated: 26 March 2019 — 1:28 pm

Leave a Reply

avatar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

  Subscribe  
Notify of