Ketua Pemuda UMNO: Proksi Anak Bekas PM Lawan Menantu Bekas PM

Apabila Pemuda UMNO Johor membuat keputusan agar jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia terbuka untuk dipertandingkan, maksud tersiratnya tidaklah sukar difahami. Meskipun mereka memberi alasan untuk menyuburkan sistem demokrasi, alasan pokoknya ialah untuk memberi ruang kepada Naib Ketua Pemudanya, Razali Ibrahim bertanding jawatan itu menentang Khairy Jamaluddin.

Razali kini sudah pun melebihi usia 40 tahun dan tidak boleh berada lagi dalam Pemuda UMNO, kecuali menjadi Ketua Pemuda kerana Perlembagaan UMNO menetapkan hanya bagi jawatan ketuanya yang tidak tua-tua dan sentiasa digelar “pemuda”.

Sementara KJ mengalu-alukan sesiapa juga yang mahu mencabarnya, Razali pula masih berdiam diri lagi dan akan memberi keputusan dalam masa yang sesuai nanti. Beliau mungkin sedang memikirkan semasak-masaknya apakah mahu mencabar KJ atau meninggalkan dunia Pemuda UMNO begitu saja tetapi secara logiknya jika beliau tidak mahu bertanding, beliau sudah boleh memberi jawapan lebih awal.

Namun dengan menangguh-nangguh untuk memberi jawapan yang pasti menunjukkan keinginan untuk bertanding itu ada dalam dirinya.

Dalam hubungan ini, langkah yang diambil oleh Pemuda Johor yang mahukan jawatan Ketua Pemuda terbuka untuk dipertandingkan sebenarnya tidak lebih sebagai usaha merisik khabar dan meninjau-ninjau respon daripada Pemuda bahagian-bahagian seluruh negara.

Sekiranya respon yang diperolehi memuaskan hati dan boleh dijadikan asas untuk menyertai persaingan, tidak ada sebab Razali tidak mahu bertanding menentang KJ, walaupun dalam kerajaan jawatannya hanyalah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri manakala KJ pula adalah Menteri Belia dan Sukan.

Perbezaan jawatan dalam kerajaan tidak menjadi masalah kerana ia boleh ditampung melalui sokongan daripada pihak-pihak atasan yang menaunginya. Ini pernah berlaku ketika Zahid Hamidi yang tidak memegang apa-apa jawatan dalam kerajaan tetapi menang jawatan Ketua Pemuda pada 1996 walaupun pencabarnya ketika itu mempunyai jawatan menteri dan menteri besar. Zahid menang kerana Anwar yang menjadi Timbalan Presiden dan Timbalan Perdana Menteri menaunginya ketika itu.

Dalam politik UMNO, Razali juga mempunyai penauntnya. Razali dikenali sebagai anak didik kepada Hishammuddin Hussein, Naib Presdien UMNO dan Menteri Pertahanan sekarang ini. Beliau pernah menjadi Setiausaha Sulit kepada Hishammuddin dan kemudian bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO Muar pada tahun 2000 tetapi tewas.

Bagaimanapun kerana hubungan Hishammuddin yang rapat dengan Menteri Besar Johor ketika itu, Ghani Othman, beliau dikatakan telah melobi agar Razali dipilih sebagai calon pilihanraya bagi kerusi Parlimen Muar pada tahun 2004. Selepas pilihanraya itu, Hishammuddin yang ketika itu menjadi Ketua Pemuda UMNO Malaysia telah melantik Razali sebagai Ketua Pemuda UMNO Johor.

Sejak itu bintangnya menyinar dalam Pemuda UMNO dan kemudian menang jawatan Naib Ketua Pemuda UMNO pada pemilihan 2009 menewaskan Reezal Merican.

Apa pun tanggapan ramai mengenai Razali, kedudukannya sebagai anak didik Hishammuddin adalah sesuatu yang sukar ditanggalkan sehingga ada yang berkata, dikerat 14 pun Razali tetap akan menganggap Hishammuddin sebagai bos dan mentornya dalam politik.

Jika Razali bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO, pemilihan UMNO hujung tahun ini akan menyaksikan paling ramai pemimpin dari Johor menawarkan diri untuk bertanding. Dengan Muhyiddin dan Hishammuddin sudah sedia ada sebagai Timbalan Presiden dan Naib Presiden dari Johor, Razali sebagai calon Ketua Pemuda juga dari Johor, bagi jawatan Ketua Wanita UMNO pula kemungkinan dua tokoh dari Johor iaitu Halimah Siddique dan Azalina Othman Said akan turut menyertai pertandingan kali ini.

Andainya Menteri Besar Johor, Khaled Nordin mahu mencuba lagi bertanding jawatan Naib Presiden UMNO di mana beliau hanya kalah tipis pada 2009 lalu, bermakna lebih ramai pembesar-pembesar dari Johor mahu menguasai UMNO melalui pemilihan kali ini. Itu belum dikira lagi yang bertanding bagi jawatan Ahli Majlis Tertinggi UMNO.

Kebarangkalian Razali bertanding bagi jawatan Ketua Pemuda UMNO sukar ditolak bukan saja kerana faktor umurnya yang tidak boleh lagi berada dalam dunia kepemudaan selain menjadi ketua, tetapi juga untuk kepentingan mengukuhkan lagi kedudukan bos dan mentornya Hishammuddin dalam hireaki UMNO. Dengan Razali sebagai protegenya menjadi Ketua Pemuda, secara automatik kedudukan Hishammudin dalam UMNO menjadi lebih kukuh berbanding Naib-Naib Presiden yang lain, bahkan peluangnya mengekalkan jawatan itu menjadi lebih mudah lagi kali ini.

Selain dilihat penyertaannya dalam pertandingan itu sebagai proksi kepada Hishammuddin, untuk mencabar KJ yang berjawatan menteri penuh, Razali juga mungkin terpaksa memohon sokongan daripada penyokong-penyokong Mukhriz Mahathir yang kini sudah menjadi Menteri Besar Kedah.

Mukhriz yang kalah bersama Khir Toyo ditangan KJ dalam pemilihan 2009 lalu dikatakan mahu mencuba kerusi Naib Presiden pula kali ini. Atas perkiraan menang-menang, Mukhriz tentunya akan meminta para penyokongnya dalam Pemuda supaya menyokong Razali untuk menewaskan KJ dan seterusnya akan membuka laluannya lebih mudah kepadanya untuk memenangi jawatan Naib Presiden UMNO bersama-sama dengan Hishammuddin.

Dengan kedudukan ini, penyertaan Razali dalam perebutan jawatan Ketua Pemuda ini sebenarnya adalah menjadi proksi kepada dua anak bekas Perdana Menteri iaitu Hishammuddin dan Mukhriz manakala KJ yang bakal dilawannya pula adalah menantu bekas Perdana Menteri.

Ini sekaligus menjadikan perebutan jawatan Ketua Pemuda UMNO kali ini paling glamour, berprestij dan mempunyai nilai pasaran paling tinggi. (SH 24/07/2013)

Kongsikan artikel ini
Updated: 26 March 2019 — 1:28 pm

Leave a Reply

avatar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

  Subscribe  
Notify of